Sunday, August 9, 2009

Hazami cekal

Hazami cekal

Oleh FIRDAUS SAHAT

MUNGKIN ramai tertanya-tanya ke manakah menghilangnya Hazami? Malah, kebelakangan ini lagu dendangannya juga jarang diputarkan stesen radio tempatan. Adakah jejaka ini merajuk atau bosan dengan industri?

Menyelami diri penyanyi yang mempunyai semangat juang tinggi ini, perkataan mengalah tidak pernah wujud dalam kamus hidupnya.

“Bukan mudah untuk saya ada dalam bidang seni ini. Sejak dulu pelbagai rintangan hadir hinggalah kini. Namun saya tidak mahu mengalah. Yang penting, Hazami masih ada di dalam industri ini,” katanya.

Tambah lelaki yang mempunyai vokal besar ini, mungkin trend muzik masa kini mengalihkan tumpuan peminat. Malah, lagunya yang jarang diputarkan stesen radio tempatan turut menjadi sebab namanya sedikit tenggelam.

“Secara jujurnya saya tidak menyalahkan sesiapa. Stesen radio juga punya matlamat tersendiri dalam menarik minat pendengarnya.

“Mungkin lagu saya akan diputarkan bila tiba masanya. Trend muzik yang kini tertumpu kepada genre indie, ada pasang surutnya. Bila reda nanti, insya-Allah lagu saya akan kembali diputarkan stesen radio.

“Lagipun, lagu nyanyian saya lebih bercorakkan malar segar. Jadi, tiada sebab mengapa lagu saya akan dilupakan. Jika diikutkan, lagu lama saya masih didengari sehingga sekarang.

“Pun begitu, biar masa menentukannya dan saya yakin lagu saya akan kembali diputarkan bila sampai masanya. Saya akan sentiasa berdoa supaya ia dimainkan semula satu hari nanti,” katanya.

Meskipun situasi ini seakan-akan ‘menyeksanya’ dan membuatkan dirinya semakin jauh daripada publisiti media, hubungannya dengan deejay dan rakan wartawan masih utuh seperti biasa.

“Rasanya pasti ada yang beranggapan saya mempunyai masalah dengan mereka. Namun hakikatnya, tidak. Hubungan saya dengan media cetak mahupun elektronik masih baik. Lagipun sebagai artis, hubungan ini sangat penting.

“Semua yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri. Sebagai penyanyi, saya sedar ia antara dugaan dan halangan yang perlu saya tempuhi,” katanya.

Menyentuh mengenai album berkembarnya berjudul Yang Pertama/ Running, penulis lirik, produser, komposer dan penyanyi ini merencana segala-galanya untuk album itu.

Menerusi syarikatnya, Hazami Records, dia menghabiskan masa hampir empat tahun semata-mata mahu memfokus terhadap produk berkenaan.

Menariknya, album berkembar berkenaan memuatkan sebuah album Inggeris dan sebuah album Melayu. Jelas, Hazami mahu kembali mewarnai dunia muzik tempatan dengan menghasilkan album berkenaan selepas kecewa dengan penerimaan terhadap album ketiga berjudul Nyata tidak lama dulu.

“Apapun, saya tidak menyalahkan mana-mana pihak, lebih-lebih syarikat Warner Music, apabila album berkenaan tidak mendapat sambutan. Bagi saya, itu semua suratan takdir yang perlu saya telan.

“Kini saya hadir dengan album keempat dan kelima dan diedarkan secara berkembar. Selama tiga hingga empat tahun menyepi, fokus saya hanya untuk album ini. Kini, apabila ia selesai, saya akhirnya mampu menarik nafas lega.

“Untuk tempoh itu pasti ada yang menganggap saya melarikan diri kerana tiada berita. Secara jujur, saya memilih untuk menyepikan diri buat sementara waktu, namun percaturan itu nyata salah.

“Sebagai artis, saya tidak boleh menghilangkan diri begitu saja kerana nanti saya juga yang menerima impaknya.

“Buat masa ini peminat yang ingin tahu perkembangan saya boleh melayari www.hazami.com.my. Setidak-tidaknya, ia akan menjelaskan segala-galanya mengenai saya kepada mereka,” katanya.

No comments: