Sunday, August 9, 2009

Ria Resty : Lapan jam terapung di laut

Lapan jam terapung di laut

Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed

Ria Resty (tengah) bersama rakan artis sezaman dengannya.

Ria Resty Fauzy terkenang saat berdepan dengan maut gara-gara bot hampir karam

PENGALAMAN hanyut selama lapan jam yang hampir meragut nyawa apabila bot dinaiki karam di Tanjung Pinang, Indonesia sering membuatkan penyanyi evergreen, Ria Resty Fauzy, 43, sedar betapa hidup sebenarnya singkat. Beliau tidak pernah rasa serik untuk meneruskan kerjaya nyanyian biarpun berdepan dengan seribu satu cabaran.

Biarpun peristiwa dihanyutkan itu sudah 22 tahun berlalu, namun Ria masih tidak lupa, malah ia sentiasa menjadi igauan hingga hari ini. Ketika kejadian, Ria yang pernah popular dengan lagu Cintaku Sampai Ke Ethiophia dan Cintaku Sedalam Lautan Atlantik bersama dua penyanyi tempatan dan beberapa pemuzik dalam perjalanan pulang ke Jakarta, Indonesia selepas mengadakan persembahan di Tanjung Pinang.

Bagaimanapun, mereka tidak bernasib baik apabila bot yang dinaiki hampir karam dan terapung-apung selama lapan jam di tengah lautan, sebelum ditemui sekumpulan nelayan di situ.

Wajah Ria Resty sekarang pada usia 43 tahun.

Sambil merenung jauh, Ria akui, “Semuanya sudah lama berlalu, tetapi saya rasa baru seperti semalam detik cemas itu berlaku. Ketika itu, saya hanya fikirkan mati. Saya tak fikir kami semua akan selamat kerana kami terapung-apung di tengah lautan. Mungkin akan datang ribut, gelombang besar dan bot akan tenggelam bila-bila masa. Bagaimanapun, saya tak putus-putus berdoa supaya terselamat daripada musibah ini.

“Kami juga tidak membawa bekalan makanan, jadi selama lapan jam saya terpaksa berlapar. Secara kebetulan, kami bertolak daripada jeti di Tanjung Pinang selepas subuh, jadi semua yang berada di dalam bot tidak sempat bersarapan pagi. Mujurlah ada yang membawa kopi dan biskut, saya membuat kopi dengan air laut. Terpaksalah menelannya kerana perut saya kosong dan dalam keadaan bot yang terumbang-ambing, ada yang muntah dan pening kepala.

“Bagaimanapun, Tuhan masih menyayangi kami, selepas lapan jam bot yang dinaiki dibawa arus, sekumpulan nelayan menemui bot kami. Mereka membantu kami hingga tiba ke jeti seberang. Memang ketika itu, saya rasa trauma dan tidur malam saya tidak pernah lena terbayangkan detik yang berlaku. Apa pun, sudah ditakdirkan saya dilahirkan sebagai anak seni, seribu satu perasaan yang hadir hanyalah seketika.

“Apa yang berlaku, saya tidak pernah menjadikan ia titik noktah dalam perjalanan seni, malah saya belajar daripada pengalaman. Saya akui bukan mudah merentasi hidup sebagai anak seni, saya cukup belajar dengan apa yang berlaku selama lebih dua dekad bergelar anak seni,” katanya.

Menyanyi sejak usia empat tahun

RIA Resty Fauzy atau nama sebenarnya, Resty Restiati dilahirkan di Jakarta, Indonesia pada 22 Jun 1966. Beliau adalah anak pertama pasangan Fauzi dan Etty iaitu wartawan dan jurukamera TVRI. Ria mula menunjukkan bakat dalam bidang seni sejak berusia empat tahun.

Di usia semuda itu, Ria sudah berani tampil di khalayak ramai, bahkan sering mengadakan persembahan di majlis rasmi. Ketika di bangku sekolah rendah, Ria ditawarkan kontrak menyanyi di Taman Ria Monas dan Taman Impian Jaya Ancol selama dua kali sebulan dengan bayaran RP1,750.00.

Namun bagi Ria bukan nilai wang yang diterima menjadi perkara utama sebaliknya pengalaman dan peluang untuk mengasah bakat yang lebih penting. Tambahan ketika itu, Ria sering diundang menjadi artis pembuka persembahan kepada penyanyi terkenal, Hetty Koes Endang.

“Saya bersyukur sudah diberi ruang dan peluang ketika usia yang muda. Selepas menyanyi secara sambilan di Taman Ria Monas dan Taman Impian Jaya Ancol, saya hanya mengimpikan menghasilkan album solo. Saya juga gembira dalam usia yang muda, saya sudah mampu mengumpul wang simpanan untuk membiayai persekolahan.

“Kesempatan ditawarkan merakamkan album hadir dengan tidak sengaja. Saya masih ingat lagi ketika itu, saya mengadakan persembahan di sebuah kafe di Mangga Besar, Jakarta. Ketika itu, kafe itu sedang mencuba sistem bunyi baru. Saya menyanyi diiringi kumpulan pemuzik kafe itu. Salah seorang pemain muzik adalah Allahyarham Kamal iaitu pemain bass kumpulan D’lloyd. Arwah merakam suara saya secara suka-suka dan tanpa pengetahuan, rakaman itu dibawa ke Akurama Record.

“Pihak Akurama Record tertarik dengan vokal saya walaupun orang atasan label itu masih agak ragu-ragu. Saya diminta menjalani uji bakat. Hasilnya, pihak Akurama Record berpuas hati dan menawarkan kontrak rakaman album dan lahirlah album pertama saya berjudul Cintaku Sedalam Lautan Atlantik.

“Album Cintaku Sedalam Lautan Atlantik bukanlah album pertama saya, malah sebelum itu, saya pernah merakamkan album bersama Jackson Record, tetapi entah kenapa, rakaman itu tidak diedarkan. Kemudian saya ditawarkan kontrak oleh syarikat Kelompok Usman Bersaudara. Malangnya, kontrak berakhir begitu saja tanpa saya sempat merakamkan lagu.

“Akhirnya impian bergelar artis rakaman terlaksana apabila bersama Akurama Record. Bersama syarikat ini, saya menghasilkan 13 album. Saya bersyukur kesukaran yang dilalui akhirnya ada hikmah di sebaliknya. Saya memperoleh lima Golden Record dengan minimum jualan album untuk satu Golden Record adalah 300,000 unit. Bukan itu saja, saya juga mendapat penghargaan dari HDX Award dan BASF Award,” katanya yang sudah menghasilkan 25 album dalam tempoh lebih dua dekad dalam bidang seni.

"Hidup tidak sentiasa di atas"

RIA akui, kejayaan penjualan albumnya mengubah kehidupannya dan keluarga. Royalti yang diterima membuatkannya mampu memiliki dua rumah dan kenderaan mewah. Anugerah yang diterimanya juga memberi kesempatan kepadanya mengunjungi negara luar seperti Brazil, Jerman dan Belanda.

“Alhamdullilah, jadual persembahan saya semakin padat. Saya terus menyanyi dari pentas ke pentas, kota ke kota yang lain. Malah saya juga sampai ke Malaysia, Brunei, Singapura dan Eropah untuk menyanyi. Ia adalah sesuatu yang tidak pernah saya fikirkan selama ini. Saya melalui sesuatu yang luar biasa ketika itu, tetapi saya sering ingat di mana bumi dipijak dan langit dijunjung. Saya tak pernah lupa diri.

“Bagaimanapun, perubahan besar dalam muzik sedikit sebanyak memberi tempias kepada saya. Secara perlahan tapi pasti, penjualan album saya semakin menurun. Saya menerima hakikat, hidup tidak sentiasa di atas, saya tidak perlu rasa kecewa. Di saat kerjaya dan populariti yang melonjak, saya sudah bersedia untuk tenggelam seiring dengan putaran waktu,” katanya.

Menceritakan soal peribadinya, Ria berkata dia berkahwin dengan seorang peguam, Krisna Ryacudu pada 1990 dan kini, mereka dikurniakan tiga cahaya mata lelaki. Walaupun berkahwin dan sibuk dengan urusan rumah tangga, dirinya tetap menyanyi walaupun tidak serancak ketika zaman anak dara.

“Nyanyian sudah menjadi darah daging saya, malah saya tidak mampu berpisah dengan bidang nyanyian. Mujurlah suami memahami dan memberi restu. Biarpun tidak sesibuk dulu, kerjaya nyanyian saya terus berjalan dan kini, saya terbabit dengan Misi Kebudayaan Indonesia ke Eropah,” katanya yang kini sibuk mempromosikan album The Best of Ria Resty Fauzy yang berada di pasaran awal tahun lalu.

Info

  • RIA Resty Fauzy atau nama sebenarnya, Resty Restiati dilahirkan di Jakarta, Indonesia pada 22 Jun 1966. Beliau adalah anak pertama pasangan Fauzi dan Etty iaitu wartawan dan jurukamera TVRI. Ria mula menunjukkan bakat dalam bidang seni sejak berusia empat tahun.

  • Di usia semuda itu, Ria sudah berani tampil di khalayak ramai, bahkan sering mengadakan persembahan di majlis rasmi. Ketika di bangku sekolah rendah, Ria ditawarkan kontrak menyanyi di Taman Ria Monas dan Taman Impian Jaya Ancol selama dua kali sebulan dengan bayaran RP1,750.00.

  • Ria berkata dia berkahwin dengan seorang peguam, Krisna Ryacudu pada 1990 dan kini, mereka dikurniakan tiga cahaya mata lelaki. Walaupun berkahwin dan sibuk dengan urusan rumah tangga, dirinya tetap menyanyi walaupun tidak serancak ketika zaman anak dara.
  • No comments: