Kru Noradz Productions bergambar di hadapan papan tanda Hotel JW Marriott Jakarta pada malam pengeboman. |
Kru Noradz Productions terkenang tragedi pengeboman di Jakarta
"NASIB baik kami tukar hotel penginapan. Jika tidak, tentu kami sudah jadi tajuk berita," demikian kata Penerbit Eksekutif Noradz Productions, Fazreen Abdul Wahab, yang nyaris maut dalam tragedi pengeboman Hotel JW Marriot di Jakarta, Indonesia baru-baru ini.
Katanya, mengikut perancangan asal, beliau dan kru penerbitannya sepatutnya menginap di hotel berkenaan, yang juga sebahagian daripada penaja penggambaran dokumentari khas, Ewah Aidilfitri untuk Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sana.
“Kami tiba pada 16 Julai. Jika diikutkan perancangan asal, Hotel JW Marriot sepatutnya menjadi hotel rasmi kami selama seminggu penggambaran berlangsung di Jakarta. Namun, berlaku sedikit masalah teknikal, menyebabkan kami bertukar ke hotel lain yang terletak berhampiran.
Fazreen Abd Wahab |
“Hati saya kurang sedap setibanya di hotel itu. Rasa gerun semacam mahu menginap di situ. Padahal, ia antara hotel paling mewah dengan kawalan keselamatan cukup ketat di Jakarta. Entahlah, tiba-tiba teringat hotel itu pernah dibom dulu... itu yang tukar pergi hotel lain,” katanya.
Dalam kejadian jam 8 pagi, 17 Julai lalu itu yang dipercayai didalangi militan warga Malaysia, Noordin Mat Top, sembilan terbunuh, manakala 55 yang lain cedera parah. Ia kejadian pengeboman kedua di hotel mewah itu dalam tempoh enam tahun.
Bercerita lanjut pengalamannya itu, Fazreen berkata, ketika kejadian, beliau sedang bersarapan pagi bersama kru penerbitannya di Hotel Cipta, tidak jauh dari tempat kejadian.
“Sebenarnya, kami tidak tahu pun ada pengeboman sebab tiada gegaran dirasakan, apa lagi bunyi letupan. Yang kedengaran pun cumalah bunyi siren, selain jalan sesak yang kami boleh nampak dari tingkap restoran hotel. Itu pemandangan biasa di Jakarta.
“Tiba-tiba kami nampak banyak sangat konvoi tentera, selain orang berlari-lari. Nampak suasana kecoh sangat. Ketika itulah, saluran berita di sana menyiarkan lintas langsung mengenai kejadian pengeboman itu. Kami tergamam dan berpandangan sesama sendiri,” katanya.
Beliau berkata, tidak dapat digambarkan perasaannya, begitu juga kru penerbitan lain sebaik mendapat tahu hotel yang sepatutnya mereka menginap sepanjang penggambaran itu, terbabit dalam pengeboman berkenaan.
“Bom meletup jam 8 pagi di kawasan kafe. Pada waktu yang sama, kami sedang bersarapan pagi, juga di kafe cuma di hotel berbeza. Bayangkan kalau kami meneruskan rancangan untuk menginap di hotel sama dan sedang bersarapan pagi di kafe, tempat bom itu meletup!
“Tidak dapat dibayangkan bagaimana agaknya kalau kami berada di situ... mungkin sudah jadi tajuk berita agaknya. Barulah masing-masing teringat suami, isteri dan anak-anak di Malaysia. Inilah yang dinamakan `berpantang maut sebelum ajal,” katanya.
Sebaik kejadian itu mendapat liputan meluas media seluruh dunia, Fazreen berkata, telefon bimbitnya tidak berhenti-henti berdering, malah tidak ubah seperti seorang broker saham.
“Yang pertama sekali telefon ialah majikan saya, Datuk Adzhar Sulaiman bertanya khabar kami di sana, manakala selebihnya rakan wartawan dan anggota keluarga untuk mengetahui perkembangan lanjut kejadian itu. Seumur hidup, tidak pernah saya menerima panggilan (telefon) sebanyak ini,” katanya.
Katanya, pengalaman itu tidak akan dilupakan sepanjang hidupnya, malah menganggap keputusannya sebagai ketua rombongan berkenaan bertukar ke hotel lain sebagai langkah bijak.
“Ini antara pengalaman menakutkan pernah saya alami sepanjang 15 tahun terbabit dengan kerja produksi. Sebelum ini saya pernah tengok stuntman mati di depan mata selepas terjatuh dari sebuah apartment ketika penggambaran filem seram, Jangan Pandang Belakang.
“Benarlah selalu orang cakap, percayalah pada gerak hati. Disebabkan gerak hati inilah, saya membuat keputusan menukar hotel penginapan di Jakarta. Biarpun tidak semewah Hotel JW Marriot, yang penting semua selamat,” katanya.
Biarpun menghadapi ancaman pengganas, ia tidak sedikit pun melemahkan semangatnya, begitu juga kru penerbitan lain untuk meneruskan penggambaran dokumentari itu yang turut mendapat kerjasama beberapa artis terkenal negara berkenaan termasuk Acha Sepriatasa.
“Banyak juga masalah kami hadapi, terutama kesesakan lalu lintas sebab jalan ditutup. Akibatnya, kami sering lewat tiba ke lokasi penggambaran. Namun, kami bersyukur penggambaran berjaya disiapkan mengikut jadual. Nantikan kemunculan dokumentari ini di TV1 pada hari raya ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment