Saturday, August 15, 2009

Brad Pitt didorong jadi Datuk Bandar

Brad Pitt didorong jadi Datuk Bandar

NEW ORLEANS, Amerika Syarikat 14 Ogos - Idea mendorong Brad Pitt menjadi Datuk Bandar New Orleans telah menimbulkan banyak perbualan di sekitar bandar raya ini, walaupun beliau dilihat tidak layak.

Malah, idea itu turut menyebabkan aktor itu ketawa pada satu temu bual di televisyen semalam.

Ramai penduduk dilihat memakai kemeja-T bertulis Brad Pitt for Mayor (Brad Pitt bertanding Datuk Bandar) sejak pertengahan Jun lalu, apabila seorang profesor Universiti Tulane dan dua adik-beradik yang memiliki kedai kemeja-T New Orleans menyertai sebuah kempen untuk menyakinkan Pitt untuk bertanding jawatan itu.

Pelakon itu telah mengasaskan organisasi Make It Right pada tahun 2007 untuk membina rumah-rumah kos rendah bagi penduduk berpendapatan rendah dan mereka yang kehilangan rumah semasa taufan Katrina.

Setakat ini, lebih sedozen rumah telah dibina di Lower 9th Ward menerusi program tersebut, manakala lapan lagi sedang dalam pembinaan.

"Dia seorang lelaki berkeluarga, dan kamu tidak perlu bimbang dia akan terlibat dengan rasuah.

"Lagipun dia akan membantu industri perfileman di New Orleans dan memberi sinar baru di bandar ini," jelas Drew Cambre, 26, yang bekerja di kedai pastri di bandar ini, selain mempunyai pelekat tertera Brad Pitt for Mayor pada komputer ribanya.

Sementara itu, Pitt memberitahu NBC Today, beliau sedar mengenai pakaian itu, namun hanya ketawa mengenai idea tersebut.

"Saya tidak ada pilihan. Sambil berjenaka beliau berkata, 'Saya sedang memperjuangkan perkahwinan gay, tiada agama, membenarkan marijuana dan mengecualikannya daripada cukai.''

Pitt adalah benar mengenai peluangnya, sekurang-kurangnya sehingga pilihan raya Datuk Bandar akan datang, beliau dan teman wanitanya, Angelina Jolie telah membeli sebuah kediaman mewah daripada seorang lelaki Perancis pada tahun 2007.

Untuk layak bertanding, calon Datuk Bandar mesti menjadi penduduk New Orleans untuk sekurang-kurangnya lima tahun sebelum tarikh pilihan raya.

Pemilihan Datuk Bandar dijadual diadakan pada 6 Februari 2010. - AP

No comments: