Saturday, August 15, 2009

Mesti Tonton: Mesej tajam di sebalik District 9

Mesti Tonton: Mesej tajam di sebalik District 9




Filem: District 9

Genre: Fiksyen Sains, Aksi

Pengarah: Neill Blomkamp

Pelakon: Sharlto Copley, Jason Cope, Robert Hobbs, Vanessa Haywood, David James, Mandla Gaduka, Louis Minnaar, William Allen Young, Nick Blake, Kenneth Nkosi, Sylvaine Strike

Penerbit: Peter Jackson

Tayangan: Mulai 13 Ogos

APABILA Peter Jackson bertindak menerbitkan filem fiksyen sains, District 9, ramai peminatnya membuka mata dan ternanti-nanti, apakah filem daripada produser dan pengarah trilogi The Lord of the Rings (LOTR) itu sekali lagi bakal membawa pembaharuan dalam penceritaan dan persembahannya?

Lalu, apabila District 9 yang diarahkan anak didiknya, Neill Blomkamp, memasuki panggung mulai 13 Ogos, pasti saja peminat Jackson mengharapkan kehebatan serupa, atau lebih daripada filem garapan tokoh filem dari New Zealand itu sendiri.

Nyata, District 9 tidak menghampakan walaupun ia bukan lagi datangnya daripada sentuhan kreativiti Jackson. Jackson sendiri dilaporkan berbangga dengan pencapaian pengarah muda berusia 29 tahun dari Johannesburg, Afrika Selatan itu. Sudah semestinya kerana District 9 sebuah karya asal yang berdiri kukuh atas ketulenannya, bukan daripada komik ataupun siri kartun tayangan televisyen.

Kisah bermula dengan kemunculan sebuah kapal angkasa makhluk asing yang tersergam menghiasi langit bumi Johannesburg. Kononnya, makhluk asing sudah pun memulakan perhubungan dengan manusia di bumi kira-kira tiga dekad yang lalu. Namun, kedatangan kapal angkasa terbabit bukan untuk bermusuh, sebaliknya mereka ialah pelarian yang mencari perlindungan di planet ini.

Makhluk asing berkenaan ialah bangsa terakhir daripada golongan mereka dan akibat tekanan masyarakat dunia, pelarian dari angkasa itu ditempatkan di sebuah kawasan diberi nama District 9 oleh kerajaan Afrika Selatan. Bagaimanapun, mereka dilayan sebagai pendatang, dengan penempatan itu tidak ubah sebuah kawasan setinggan yang huru-hara.

Apabila masyarakat mula berasakan bahang atas kehadiran pelarian yang dipanggil ‘udang’ itu, penyelenggaraan dan pengurusan makhluk asing terbabit diserahkan kepada sebuah syarikat swasta dikenali sebagai Multi-National United (MNU). Syarikat ini lebih berminat mencari jalan bagaimana untuk memahami teknologi senjata ciptaan makhluk itu.

Sehingga kini, MNU gagal menemui jalan untuk menggunakan senjata yang dicari-cari, sehinggalah seorang kakitangan mereka, Wikus van der Merwe (Sharlto Copley) yang ditugaskan mengetuai operasi pemindahan makhluk ke kawasan baru, terdedah dengan bahan teknologi kimia pendatang asing itu.

Insiden terbabit menyebabkan tubuh lelaki ini berubah. Tanpa disedari, dia menjadi kunci kepada senjata yang menjadi misteri buat pakar MNU. Menyedari dirinya menjadi lelaki paling dikehendaki, Winkus tidak ada tempat perlindungan selain District 9! Di situ, dia terpaksa bersekongkol dengan makhluk asing dikenali sebagai Christopher.

Dipersembahkan secara rakaman kamera pegangan tangan, pada mulanya ia nampak janggal. Ketika itu, bayangan filem Cloverfield mula kelihatan. Namun, apabila kisahnya mula berkembang, penonton akan khusyuk mengikuti detik demi detik yang ditayangkan.

Menakjubkan apabila watak yang dihidupkan menggunakan teknologi CGI seperti Christopher masih mampu menyentuh perasaan. Ketelitian pada penghasilan gerak wajah dan lirik mata Christopher, membuahkan hasil yang sukar untuk dinafikan keajaibannya.

Pelakon utamanya, Copley, pula memberikan aksi meyakinkan sebagai lelaki yang pada awalnya kelihatan lurus, tetapi berubah karakter sebaik saja menyedari dia menjadi pelarian, tidak ubah sebagaimana makhluk asing yang berada di bawah pengawasannya.

Apa-apa pun, District 9 lebih bermakna apabila kita menyedari, ia bukan sekadar sebuah persembahan fiksyen sains mengenai makhluk asing, sebaliknya sebuah kritikan sosial terhadap layanan yang diterima sesetengah penduduk di Afrika Selatan.

Pengasingan dan layanan buruk yang diterima makhluk asing itu satu metafora cukup memedihkan, membayangkan penindasan pernah berlaku menerusi sistem pemerintahan terdahulu.

No comments: