Saturday, August 15, 2009

FILEM ...Dalam Botol : Masa undian ditambah

Masa undian ditambah

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

SAMBUTAN baik undian SMS untuk mencari dua bintang utama membawakan watak Ruby dan Ghaus untuk filem ...Dalam Botol, membuatkan penerbit filem itu, Raja Azmi Raja Sulaiman memanjangkan tarikh undian kepada 24 Ogos ini.

Sepatutnya undian pencarian pelakon menerusi akhbar Harian Metro dan akhbar portal, Murai itu tamat semalam (Jumaat), tetapi pihaknya akan mengumumkan pemenangnya pada 28 Ogos dalam satu majlis berbuka puasa.

Raja Azmi berkata, pada hari itu nanti pihaknya akan mengadakan majlis berbuka, majlis pelancaran dan mengumumkan pemenang undian. Turut diumumkan, pelakon yang akan pegang watak Ruby dan Ghaus.

Katanya, tiga calon pelakon untuk watak Ruby ialah Adi Putra, Arja dan Kefli AF manakala tiga calon untuk watak Ghaus, Fauzi Nawawi, Norman Hakim dan Wan Raja.

“Pemilihan pelakon bergantung 100 peratus kepada undian peminat. Siapa di antara mereka yang terpilih menerusi undian SMS itu akan terus diambil berlakon. Saya mesti bersikap adil terhadap peminat dan tidak akan melakukan sebarang pindaan.

“Jika itu pelakon yang mereka pilih, bererti dia ramai peminat dan mereka hendakkan sangat dia melakonkan watak Ruby dan Ghaus. Bagi saya, semua pelakon bagus dan pening hendak memilih yang mana satu. Oleh itu, langkah terbaik adakan undian SMS, biar peminat tentu siapa,” katanya.

Dalam pada itu, Raja Azmi juga sedang mencari pengarah menggantikan Shahdan Hashim yang menolak untuk mengarah filem itu kerana jiwanya tidak dapat meresapi watak yang bertukar jantina. Jelasnya ada tiga pengarah menawarkan diri.

“Dengan penolakan Shahdan, ramai pula yang menawarkan diri untuk mengarah. Yang seorang itu beritahu saya, dia sukakan jalan cerita filem itu. Pengarah kedua pula berkata, dia teringin sangat hendak bekerja dengan Raja Azmi dan pengarah ketiga pula pernah mengarahkan beberapa drama dan teringin mencuba mengarahkan filem.

“Tetapi mengarahkan filem Dalam Botol ini bukan untuk cuba-cuba tetapi saya mahukan pengarah yang memang boleh mengarah. Pengarah yang pernah buat filem itu tak berani mengarahkan filem ini apa lagi mereka yang baru hendak mencuba mengarah filem.

“Sekarang saya sedang berbincang dengan Osman Ali sama ada dia bersetuju untuk mengarahkan filem ini. Bagaimanapun, Osman minta meneliti skrip dulu untuk melihat sejauh mana dia boleh menjiwai setiap watak itu. Keputusan siapa yang bakal mengarah belum muktamad lagi. Saya akan umumkan pada sidang media nanti,” katanya.

Tambahnya, penggambaran filem itu akan dimulakan secepat mungkin selepas raya ini iaitu sebaik saja mendapat keputusan siapa pelakon dan pengarahnya.

“Penggambaran akan dimulakan sebelum saya pergi menunaikan fardu haji pada November ini bersama Kak Tun (Zaitun Mohd Jiwa),” katanya.

Sibuk hendak menerbitkan filem baru, Raja Azmi masih sempat menguruskan majlis pertunangan anak sulungya, Puteri Suraya Mohd Jailani, 24, dengan Shahdan, pada 9 September ini.

“Teringin sangat hendak menimang cucu dan selalu saya berfikir bilalah Suraya hendak berkahwin. Dia macam perangai bapanya yang pemalu. Habis kerja Suraya asyik terperuk di rumah dan tak ada kawan lelaki.

“Tetapi saya perasan Suraya ada ‘sesuatu’ dengan Shahdan yang saya anggap seperti anak sendiri sejak dia mula bekerja dengan Penerbitan JAS pada 1997. Kebetulan Shahdan pun yatim piatu. Apabila Shahdan datang ke rumah, saya lihat Suraya suka berbual dengannya dan jika Shahdan datang menonton bola sepak di rumah, selagi Shahdan tak balik, dia pun tak tidur meskipun dah lewat malam.

“Saya terus bertanya padanya, nak tak kalau saya kahwinkan dengan Shahdan yang dipanggil anak saya Uncle Shahdan. Saya kata padanya, saya bertanya sekali saja, kalau suka beritahu cepat. Dalam keadaan tersipu-sipu, dia kata mengangguk suka.

“Dalam kereta saya bertanya kepada Shahdan hendak tak saya kahwinkan dia dengan Suraya. Shahdan tergelak dan tak percaya soalan itu keluar dari mulut saya. Seperti mana Suraya, saya juga beritahu Shahdan perkara sama, saya tanya sekali saja. Dia pun suka.

“Selepas kedua-duanya suka, saya pun minta pandangan Jailani. Katanya, jika kedua-dua dah suka, dia sebagai bapa menurut saja, yang penting Suraya bahagia. Kakak dan abang Shahdan sudahpun datang merisik minggu lepas. Insya-Allah mereka akan disatukan selepas tiga atau enam bulan dari tarikh pertunangan,” katanya.

Menurut Raja Azmi dia tiada masalah bermenantu Shahdan kerana dia cukup mengenal muda itu.

“Beza umur mereka 10 tahun (Shahdan, 34) dan saya harap mereka boleh melayari bahtera rumah tangga dengan baik,” katanya.

No comments: