Saturday, August 15, 2009

PSC masih berbisa

PSC masih berbisa

>>Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

JIKA sebelah pagi artis tertentu sibuk bermain golf dengan VIP, pada sebelah malam selepas malam kemuncak Festival Filem Malaysia Ke-22 (FFM22), pelakon Kazarudin Saidi atau ada acara sendiri.

Buat julung kalinya pelakon, Kazar yang dikenali dengan watak Degawan dalam drama Susuk memerah keringat di padang bola apabila dilantik mengetuai pasukan, Kelab Sukan Bola Sepak Papar (PSC) pada perlawanan persahabatan menentang Majlis Sukan Negeri Sabah, malam Ahad lalu.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu serentak dengan penganjuran Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22) itu turut disertai bintang bola sepak Sabah dan Kebangsaan seperti Matlan Marjan, Suhaimin Yusof dan Nizamudin Abdul Hamid (bekas pemain kelab PKNS). Aksi bertenaga dipamerkan kedua-dua pasukan memperlihatkan skil permainan bola sepak masing-masing.

Kunjung ke Sabah sempena FFM22 dimanfaatkan sepenuhnya oleh Kazar dengan menyertai pelbagai aktiviti seni dan kebudayaan. Kelapangan pada hari terakhir FFM22 membolehkan Kazar melepaskan 'gian' menendang bola di padang.

Ikut perancangan, perlawanan bola sepak berkenaan turut disertai beberapa artis tempatan yang hadir ke Negeri Di Bawah Bayu itu sempena FFM22. Begitupun, atas sebab tertentu, barisan artis tidak dapat turut serta dalam perlawanan itu.

Menurut Kazar, minat terhadap sukan itu mendorongnya beraksi tidak kira di mana dia berada sekalipun sibuk dengan aktiviti seni. Kesempatan beraksi di samping bekas pemain negeri dan kebangsaan peluang yang cukup ditunggu-tunggu.

"Mungkin mereka (artis lain) tidak berminat menyertai perlawanan itu disebabkan jadual penerbangan yang memaksa mereka bertolak lebih awal. Ada di antara mereka yang sudah menyusun jadual sendiri.

"Saya pula sudah banyak kali menyertai perlawanan membabitkan pasukan ini. Mereka juga sering berkunjung ke Kuala Lumpur untuk perlawanan persahabatan menentang beberapa pasukan termasuk bersama rakan artis.

"Saya mula menyertai pasukan ini sejak dua tahun lalu. Perlawanan kali ini pula cukup menarik kerana buat pertama kalinya berlangsung serentak dengan penganjuran FFM22. Sememangnya, ia perlawanan yang cukup sengit seperti pertembungan dua pasukan yang bertanding dalam liga bola sepak kebangsaan," katanya.

Biarpun mengakui kalau ikut pada faktor kecergasan memang kurang, namun disebabkan minat terhadap bola sepak mendorongnya mengambil bahagian dalam perlawanan itu.

"Ditambah pula minat mendalam pihak pengurusan PSC terhadap sukan itu. Sebelum ini, saya kerap menyertai beberapa perlawanan persahabatan dan pertunjukan membabitkan rakan artis.

"Selain perlawanan persahabatan membabitkan pemain kebangsaan seperti Azman Adnan, Rashid Hasan, Zainal Abidin dan Dollah Salleh," katanya.

"Saya hanya tumpang bermain dengan pasukan ini kebetulan ada kelapangan ketika perlawanan berlangsung. Biarpun tanpa pembabitan ramai artis, saya juga merakamkan terima kasih kepada Adam Salleh (Pengarang Hiburan Harian Metro) yang sudi menerima pelawaan menyertai perlawanan ini," katanya.

Malah Kazar menyifatkan pelantikan sebagai ketua pasukan ketika perlawanan itu sebagai satu penghormatan buatnya biarpun gagal membantu pasukan menjaringkan gol.

Apatah lagi dapat beraksi di samping beberapa bekas pemain negeri dan kebangsaan. Hadir sama menyaksikan perlawanan itu, bekas penjaga gol kebangsaan, Khairul Azman Mohamad. Perlawanan berkesudahan dengan kedua-dua pasukan terikat 4-4.

Mungkin ramai yang masih terkenangkan aksi dan kelincahan pemuda kelahiran Negeri Di bawah Bayu, Matlan Marjan. Ketika kemuncak kerjaya, aksinya menentang England sekitar 1991 mendapat perhatian. Biarpun gagal mengatasi lawan, dua jaringannya cukup bermakna dan memahat sejarah tersendiri buat skuad kebangsaan yang tewas 4-2 dalam perlawanan itu.

Aksi Matlan mendapat pujian ramai pemerhati bola sepak. Kali terakhir Matlan bersama pasukan Sabah ketika meraih gelaran juara Piala FA 1995 sebelum didakwa terbabit dalam gejala rasuah bola sepak yang menular ketika itu. Begitupun, aksi dan semangat cintakan permainan bola sepak tidak pernah padam buatnya. Malah Matlan sendiri sehingga kini, masih aktif bermain bola sepak.

Sementara itu, Pengurus PSC, S S Chung berkata, perlawanan itu sebahagian daripada aktiviti kelab, malah sejak ditubuhkan sekitar 1989, pelbagai program dan perlawanan bola sepak giat diadakan di seluruh negara.

"Ini perlawanan penutup menentang MSN sebelum bulan puasa. Sepanjang tahun ini, kami sudah mengatur 20 perlawanan yang berlangsung di sekitar Sabah di mana pasukan ini mencatat 16 kemenangan, dua kali seri dan kalah. Penubuhan pasukan ini cukup terkenal dengan penampilan pemain bola sepak kebangsaan dan legenda bola sepak Sabah.

"Dengan cara ini, kami memberi peluang kepada masyarakat luar bandar terutama di sekitar Sabah untuk melihat aksi bekas pemain kebangsaan. Selain Sabah, kami juga ada menganjurkan perlawanan persahabatan di Kuala Lumpur dan Thailand.

"Apa yang lebih membanggakan pihak kami, biarpun tanpa penaja tetap, kelab ini berjaya bertahan sehingga kini. Apabila ada perlawanan di luar Sabah, kita bertuah kerana mempunyai bantuan dan sokongan daripada individu tertentu yang sudi menaja pasukan.

"Setiap kali perlawanan membabitkan PSC, kira-kira 3,000 hingga 12,000 penonton memenuhi kapasiti stadium menyaksikan perlawanan. Paling mencipta sejarah apabila lebih 15,000 penonton hadir menyaksikan perlawanan membabitkan kelab ini ketika di daerah Semporna," katanya.

Minat terhadap sukan itu mendorong Chung untuk menguruskan kelab berkenaan walaupun dia sendiri kurang aktif bermain bola sepak. Minat sejak kanak-kanak memberi kepuasan kepadanya apabila melihat pasukan yang ditubuhkan hampir dua dekad itu cukup dikenali di negeri di bawah bayu itu.

Bintang bola sepak Sabah, Matlan Marjan yang menyertai kelab itu sejak 1995 juga sebagai pengasas dan membimbing barisan pemain muda.

Tambah Chung, PSC kini mempunyai lima pasukan iaitu PSC Senior Sabah yang diketuai Matlan Marjan, PSC Junior Sabah pula dilahirkan Khairul Azman Mohamad, PSC Artis Kuala Lumpur dan akan datang penubuhan dua pasukan PSC bawah 20 tahun dan 15 tahun yang akan dilancarkan selepas Aidilfitri nanti.

Dalam pada itu, Chung yang meminati aksi bekas pemain kebangsaan seperti James Wong, Hassan Sani, Arwah Mokhtar Dahari dan Dollah Salleh yang juga ketua pasukan PSC Kuala Lumpur memaklumkan pasukan PSC akan berkunjung ke Kuala Lumpur bagi menentang Pilihan TV3 di Stadium Mini Shah Alam, Seksyen 13, Shah Alam, jam 8.30 malam ini.

No comments: