Saturday, August 15, 2009

Tunggu kejutan Ella esok

Tunggu kejutan Ella esok

Oleh Esme Johari Wahab
esme@hmetro.com.my

AGAK jarang berita mengenai Ratu Rock, Ella disiarkan akhbar atau majalah. Mungkin sikap Ella yang hanya mahu menjalani fotografi jika ada produk baru untuk diperkenalkan.

Ella yang pernah mencatat sejarah sebagai artis Malaysia pertama merakamkan album penuh di Amerika Syarikat, kembali dengan buah tangan terbaru dengan album Ella-Greatest Hits yang turut menampilkan tiga lagu baru - Puisi Hamba, Jiwa Setia dan Mencari.

Kata Ella, rakaman untuk tiga lagu baru itu dimulakan awal tahun, tetapi pada April barulah berjaya disiapkan.

"Mastering dilakukan di Kuala Lumpur, tetapi adunan dilakukan di Australia. Untuk album ini Ella gunakan khidmat komposer baru bernama Amir kerana saya sukakan hasil kerjanya walaupun dia orang baru.

"Saya tak kisah dia baru atau lama asalkan muzik dihasilkan bagus kerana tidak sampai hati nak bagi peminat dengar kalau lagu itu tak bagus," katanya.

Kini Ella yang genap berusia 43 tahun pada 31 Julai lalu, bersedia menghiburkan peminat melalui konsert bertemakan 'Ella, People and Place' with Powershot Promo Tour pada jam 8 malam di Mist Club, Bangsar, esok.

Vokalis wanita masih unggul bertahan selaku ratu rock Malaysia sejak lebih 20 tahun lalu, berhasrat menampilkan sedikit kelainan pada persembahan itu bagi menghidupkan kembali semangat peminat yang sentiasa menjadi keutamaan setiap kali beraksi.

"Saya harap peminat dapat menerima kehadiran saya dan sememangnya tidak mahu mengecewakan peminat. Saya berjanji memberikan aksi persembahan terbaik dan berbesar hati dapat mengadakan semula konsert sejak sekian lama tidak bertemu peminat.

"Saya mahu memberikan sedikit kelainan, tetapi tidak akan memberitahunya kerana mahu memberi kejutan. Saya pasti mereka terhibur dengan tiga lagu baru disertakan daripada album terbaru 'Greatest Hits Ella'. Jadi, tunggu konsert itu," kata Ella atau nama sebenar, Norazila Aminuddin.

Konsert tajaan Canon Marketing (Malaysia) itu diadakan selaras dengan peranan Ella sebagai duta jenama kamera terlaris pasaran itu sekali gus menjayakan kempen jualan kamera Canon Powershot diadakan sekarang.

Apa lebih menarik, peminat berpeluang mendapat tiket melalui pemilik dan bukan pemilik Canon menyaksikannya. Pemilik kamera Canon hanya perlu membawa kamera Canon mereka kepada mana-mana Kedai Konsep Canon di Klang, mengisi borang mudah bagi membolehkan mereka mendapatkan empat tiket untuk menyaksikan persembahan ratu rock itu.

Kepada bukan pemilik Canon yang mahu menyaksikan Ella, mereka hanya perlu memotong iklan Canon dalam akhbar dan menunjukkannya kepada mana-mana Kedai Konsep Canon serta isi borang mudah bagi mendapatkan dua tiket.

Tiket jualan persembahan di Mist Club itu mula dijual di Kedai Konsep Canon pada 8 Ogos lalu dan pusat itu terdapat di Suria KLCC, Mid Valley Megamall, Sunway Pyramid, Pavilion KL, e@Curve, Low Yat Plaza dan Pusat Beli Belah 1 Utama.

Dengan pengalaman luas membuat persembahan antarabangsa di Amerika Syarikat, Jepun, Hong Kong, Indonesia, Singapura, Brunei dan China, konsert itu dapat memberi kepuasan peminat yang sudah lama menantikan kemunculan semula vokalis yang popular dengan lagu seperti Pengemis Cinta dan Permata Biru.

Gandingan Ella dan The Boys pernah menjuarai Battle of the Bands (BOTB) pada pertengahan 1980-an dan muncul sebagai artis Malaysia pertama menghasilkan album video melalui Ella-Mood (1991)

Bekas duta popular beberapa iklan kasut dan jeans dan memperbaharui komitmennya bersama Canon pada 6 Julai lalu.

Vokalis itu turut menempa sejarah industri hiburan tanah air sebagai artis Malaysia pertama meraih anugerah platinum sebanyak lima kali.

Ella mencatat nama sebagai artis wanita mencatat jualan paling laris bagi vokalis wanita, melalui Ella USA, terjual lebih 350, 000 unit dan satu-satunya artis rock wanita Malaysia masih bertahan hingga sekarang.

No comments: