Saturday, August 15, 2009

Lan tak bimbang kekurangan The Typewriter

Lan tak bimbang kekurangan The Typewriter
Oleh Esme Johari Wahab
esme@hmetro.com.my

BAGI Azlan and The Typewriter, bermula langkah pertama dan bertatih dari bawah mengajarnya untuk kembali bangkit menyahut cabaran dunia hiburan dalam usaha mencapai impian kemuncak karier bersaing di persada antarabangsa.

Selepas meninggalkan kumpulan indie, Meet Uncle Hussin (MUH), dua bulan lalu, bekas vokalis dan pemain gitar, Lan, mendapat inspirasi baru selepas bertunang dengan wanita disayangi, Normala Hassan, 11 Ogos lalu.

Apa lebih menarik, dia akan menggunakan gitar baru, Gretsch untuk persembahan pertama kumpulan itu di Kangar, Perlis, minggu ini. Sebelum ini, Lan menggunakan Fender ketika beraksi bersama MUH.

Sewaktu ditemui di sesi Rakaman Akustika Raya di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Lan meluahkan rasa hati, impian serta menyatakan perbezaan Meet Uncle Hussin (MUH) dan Azlan and The Typewriter, masih tidak difahami ramai pihak.

“Terus-terang saya katakan, The Typewriter tiada pengalaman membuat persembahan di hadapan penonton berbanding MUH kerana lebih banyak menghabiskan masa menjalani latihan di rumah tetapi saya tidak bimbang mengenai kekurangan itu.

“Saya perlu kreatif, membimbing segala yang baru, kumpulan baru, persefahaman baru dan masa depan baru tidak pernah dilalui. Jika dulu main gitar utama dan menyanyi dalam MUH, sekarang saya main gitar rentak dan menyanyi.

“Saya tidak takut malah yakin impian mencapai impian melonjak The Typewriter melonjak ke peringkat antarabangsa, sesuatu tidak pernah dicapai bersama MUH sepanjang sembilan tahun. Pengalaman itu sudah berlalu, biarkan, kerana fokus saya membantu kumpulan ini (Typewriter),” kata penyanyi berusia 27 tahun itu.

Lan berkata, The Typewriter mampu beraksi dengan baik serta tidak banyak berbeza dengan MUH dari segi kemahiran bermain gitar, setiap anggota tahu dan faham peranan masing-masing dan sentiasa mahu menghasilkan sesuatu paling baik.

“Saya tidak bimbang, kami kerap berlatih perbaiki kelemahan, dapatkan keserasian dan persefahaman lebih baik. Masalah ada pengalaman atau sebaliknya bukan isu kerana saya pernah bersama dan sudah lama mengenali mereka dan tahu apa kekuatan dan kelemahan mereka,” kata Lan.

Single pertama Azlan and The Typewriter, Kelibat Si Penyair dilancarkan, bulan lalu.

Mengapa pilih Typewriter? Azlan berkata: “Alat mekanikal itu adalah peralatan menulis sudah lama seperti muzik, jadi saya rasa nama itu sesuai bagi kumpulan ini dan saya meminati kumpulan dari United Kingdom, seperti band lama dari Liverpool, The Beatles dan kumpulan alternatif dari Sheffield, Arctic Monkeys.

“Saya memerlukan sesuatu memberi inspirasi, jadi perlu memahami cara-cara untuk meningkatkan kemajuan karier saya dan Gretsch iaitu gitar kedua saya dan jenama itu pernah digunakan oleh legenda gitar, Chet Atkins.

Mengenai masa depan dan alam rumah tangga bakal ditempuh, Lan berkata, dia mengikat tali pertunangan selama dua tahun tetapi mungkin perkahwinan mungkin dipercepatkan setahun lebih awal.

“Sejak mengenalinya setahun lalu, dia (Normala) tidak terlalu garang, tegas, menegur saya secara terbuka dan saya juga boleh menegurnya. Saya memerlukan seseorang sepertinya untuk memperbaiki diri dan pembangunan karier.

Lan dan MUH, popular melalui Lagu Untukmu, menjuarai Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-23, Januari lalu tetapi keadaan menjadi kusut selepas Lan dikatakan tidak sehaluan dengan pemain gitar, Afat dan Taja (bass) gara-gara disiplin dan kontrak rakaman.

Mengulas mengenai masalah disiplin, terlebih tidur dan sering tiga lewat sesi latihan, Lan berkata, dia tidak sangka ceritanya sampai ke tahap itu, diperbesar-besarkan seolah-olah menunjukkannya seorang yang teruk, tidak boleh diharap dan tidak berdisiplin.

“Jika saya cakap itu, ini, orang mengatakan saya punca masalah. Saya masih baik dengan MUH, mereka juga bermula dari bawah selepas ini kerana hingga sekarang, saya pun masih tidak tahu siapa pengganti saya dalam MUH,” kata Lan.

No comments: