Saturday, August 15, 2009

MADONNA : Makin tua, makin mahal

Makin tua, makin mahal

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my




Madonna jana RM980 juta dalam satu persembahan

DIA akan mencecah usia 51 tahun, esok. Tetapi, jika dilihat kepada penampilan dan caranya bekerja, wanita ini langsung tidak menunjukkan tanda-tanda dia semakin dimamah usia. Bahkan, penyanyi yang dilahirkan dengan nama Madonna Louise Ciccone semakin kental melakar sejarah tersendiri dalam industri hiburan dunia.

Lihat saja pada kemunculannya dalam konsert terbaru, Sticky & Sweet Tour, yang kini dicap sebagai siri persembahan paling berjaya oleh mana-mana penyanyi solo, dengan kutipan RM980 juta!

Ia juga muncul projek mega pertama penyanyi Amerika Syarikat ini bersama Live Nation, syarikat barunya selepas berpisah dengan Warner Bros Records.

Pada usia yang sudah mencecah separuh abad, harga Madonna pada hakikatnya semakin meningkat. Bayangkanlah, untuk menyertai Live Nation, dia dibayar RM420 juta bagi tempoh 10 tahun.

Namun, untuk berada pada tahap sekarang bukanlah pengalaman yang mudah buat wanita beranak dua ini. Mula mencari tapak dalam arena seni muzik tiga dekad lalu, dia hanya wanita disertai bakat menari serta kesungguhan untuk berjaya sebagai penyanyi. Lalu, pelbagai jalan susah ditempuh, termasuk ‘menumpang hidup’ bersama penyanyi lain dan pemuzik lelaki lebih berpengalaman.

RAKAMAN lensa majalah Vogue beberapa tahun lalu.

Semuanya mula menampakkan sinar apabila DJ yang juga penerbit album, Mark Kamins terpesona dengan rakaman demo yang dilakukannya, seterusnya memperkenalkan Madonna kepada Sire Records, anak syarikat Warner. Lalu, pada April 1982, muncullah single Everybody, diikuti album Madonna setahun kemudian.

Tidak ada lagi pandangan ke belakang, langkah wanita kelahiran Michigan ini diteruskan sehingga terhasilnya beberapa lagi album yang mendapat tempat di hati puluhan juta peminat di seluruh dunia seperti Like a Virgin (1984), True Blue (1986), Like a Prayer (1989), Erotica (1992), Bedtime Stories (1994), Ray of Light (1998), Music (2000), American Life (2003), Confessions on a Dance Floor (2005) dan terbaru, Hard Candy (2008).

Selepas tiga dekad bergelumang dalam industri muzik, Madonna tentu saja boleh berbangga dengan pelbagai pencapaian dikecapi termasuk bergelar artis wanita paling banyak memilik lagu paling popular di dunia. Terbaru, dia bekerjasama dengan penerbit yang juga DJ Trance terkemuka antarabangsa, Paul Oakenfold, dalam menghasilkan lagu Celebration, karya yang bakal dimuatkan dalam album kompilasi terbaiknya bersama syarikat Warner.

Album terakhirnya bersama syarikat rakaman gergasi yang turut menggunakan judul Celebration itu dijadualkan berada di rak kedai muzik seluruh dunia mulai 21 September nanti. Ia memuatkan 34 trek paling berpengaruh penghibur terbabit sepanjang kariernya berlangsung.

SAAT bahagia Madonna bersama bekas suami, Guy Ritchie.

Madonna dan kepercayaan mistik

SELAIN bakat serta kreativitinya dalam penulisan lagu, penyanyi ini sebenarnya kekal dalam persada seni kerana bijak membentuk semula imej serta penampilan diri setiap kali album barunya bersedia menemui peminat.

Perhatikan perubahan pada gaya pemakaian, fesyen rambut, malah tariannya setiap kali wanita yang turut bergelar pelakon, penerbit dan pengarah ini hadir bersama CD terkini.

Ketika mula-mula tampil di pentas muzik, dia lebih dikenali dengan fesyen bengkung, sarung tangan serta fabrik berenda. Dia juga pernah tampil lebih santai dengan imej kemeja koboi, seluar denim serta bertopi, sebelum menghangatkan dunia dengan leotard merah jambu ketika muncul bersama album Confessions on a Dance Floor, empat tahun lalu.

Ketika ini, Madonna masih lagi meronda beberapa kota di Eropah menerusi siri konsert Sticky and Sweet. Sudah berbulan-bulan dia menjelajah beberapa benua. Sebagaimana popularnya penyanyi ini, begitulah juga masyhur siri persembahan yang dijayakan Madonna. Boleh dikatakan, setiap kali tampil bersama konsert baru, dirinya pasti ditekap kontroversi. Selalunya, konsert penghibur ini diselar tokoh Kristian sebagai melampau serta menghina kesucian agama mereka.

Dilahirkan sebagai penganut Katolik, Madonna kini mengamalkan kepercayaan Kabbalah, fahaman yang lebih menitik beratkan aspek mistik dalam agama Yahudi.

Sebelum ini, videonya yang dilihat antara paling dikenali peminat, Like a Prayer, turut mengundang perdebatan agama apabila dia digambarkan membakar salib serta bercium dengan seorang lelaki yang dipapar menyerupai Isa. Siri jelajah Confessionnya tiga tahun lalu pula menyaksikan bintang Material Girl ini menyalib dirinya sambil memakai mahkota berduri.

Pada Julai lalu, seorang tenaga kerja pembinaan konsertnya di Stadium Marseille, Perancis, terbunuh, apabila sebahagian bumbung pentas runtuh. Dua lagi pekerja berada dalam keadaan serius, manakala empat pekerja lain turut mengalami kecederaan. Tentunya ia perkhabaran tidak enak buat penyanyi ini, apatah lagi apabila konsertnya sering menjadi medan ‘maki hamun’ tokoh agama.

Gagal mempertahan rumah tangga

SELAIN itu, Madonna juga kencang menjadi bahan berita dek tekadnya mengambil dua anak angkat dari negara Malawi, David dan Mercy. Dia didakwa mengetepikan perincian perundangan negara itu dalam usaha menjadikan kanak-kanak lelaki dan perempuan terbabit sebagai sebahagian anggota keluarganya. Selepas perbicaraan yang mengambil masa agak panjang, akhirnya Madonna bergelar ‘ibu’ kepada dua kanak-kanak kulit hitam berkenaan.

Selain Mercy James dan David Banda, Madonna mempunyai dua anak kandung, Lourdes Leon dan Rocco, masing-masing hasil perhubungannya dengan bekas jurulatih peribadi, Carlos Leon dan bekas suami, Guy Ritchie, seorang pengarah British.

Bercerita mengenai perkahwinan, ternyata walaupun kaya raya, Madonna gagal membina rumah tangga berkekalan. Selain beberapa teman lelaki yang pernah singgah dalam hidup wanita tersohor ini, serta Ritchie yang dikahwininya di Scotland pada 22 Disember 2000 (bercerai pada Disember 2008), Madonna juga sempat bergelar isteri kepada aktor Sean Penn. Mereka berkahwin di Malibu, California, pada Ogos 1985 dan perkahwinan itu kekal sehingga September 1989.

Paling baru, penyanyi Vogue itu dikatakan sudah pun memutuskan perhubungan bersama jejaka Brazil, Jesus Luz, selepas bersama hampir lapan bulan. Model tampan berkenaan bagaimanapun nampaknya berjaya mencipta populariti sendiri sebaik saja ‘menempel’ bersama bintang wanita paling berkuasa di pentas hiburan dunia.

Info

Album Madonna

Album studio:

  • Madonna (1983)

  • Like a Virgin (1984)

  • True Blue (1986)

  • Like a Prayer (1989)

  • Erotica (1992)

  • Bedtime Stories (1994)

  • Ray of Light (1998)

  • Music (2000)

  • American Life (2003)

  • Confessions on a Dance Floor (2005)

  • Hard Candy (2008)



    Album kompilasi:

  • You Can Dance (1987)

  • The Immaculate Collection (1990)

  • Something to Remember (1995)

  • GHV2 (2001)

  • Remixed & Revisited (2003)

  • Celebration (2009)



    Album runut bunyi (Lagu Dari Filem):

  • Vision Quest (1985)

  • Who's That Girl (1987)

  • I'm Breathless - Music from and inspired by the film Dick Tracy (1990)

  • With Honors (1994)

  • Evita (1996)

  • Austin Powers: The Spy Who Shagged Me (1999)

  • The Next Best Thing (2000) · Die Another Day (2002)
  • No comments: