Tuesday, August 18, 2009

Cinta ustaz

Cinta ustaz

Oleh Zaidi Mohamad dan Zul Husni Abdul Hamid
zaidim@bharian.com.my, zhusni@bharian.com.my




'Lantaklah apa orang nak kata'

TIADA prejudis dalam soal cinta kerana ia hak sesiapa saja waima wanita bertudung seperti Waheeda sekalipun. Seperti wanita lain juga penyanyi yang mengambil keputusan untuk meninggalkan dunia hiburan sebaik saja bergelar isteri, ingin dicintai.

Namun ada kalanya dengan imej Islamik yang ditonjolkan penyanyi yang popular dengan lagu Wassini ini, jika salah percaturan dia juga sering menjadi bahan cercaan dan hentaman.

Beberapa siri cintanya yang terdahulu juga berakhir dengan kekecewaan. Malah pernah satu ketika pemilik bernama penuh Norwahidah Abdul Wahab ini tidak mahu terlalu berharap dengan kisah sisi peribadinya. Katanya, dia hanya mampu berserah untuk memikirkan soal kahwin hingga mahu saja urusan pilih menantu diserahkan saja kepada ibu.

Tetapi berbeza dengan kisah kontroversi yang melandanya dengan Ustaz Akhil Hayy, 40, sejak tahun lalu kerana kesudahannya berlainan sekali. Kelmarin, status duda yang dipegang Akhil selama sebulan berakhir apabila bekas penyanyi kumpulan rock D'Riyadh itu memilih Waheeda sebagai isterinya.

Mereka diijabkabulkan di Masjid Jamek Ar-Rahimah, Kuala Kubu Baru tepat jam 12 tengah hari. Hakikatnya, pasangan ini seperti hampir kebanyakan pasangan kekasih selebriti lain yang memilih jalan selamat untuk terus berselindung dan menafikan sesuatu yang dirasakan benar. Mahu atau tidak, ketika artikel ini dibaca, pasti ada yang mula menyumpah seranah mengenai pengakhiran ceritera atau 'sandiwara' mereka selama ini.



"Penamat ini membuatkan saya nampak kebesaran Tuhan. Pakar motivasi Datuk Dr Fadzilah Kamsah pernah cakap setiap dugaan besar yang ditanggung kita, nescaya akan ada lagi perkara besar yang akan terjadi di kemudian hari. Saya harap pernikahan kami akan menjadi penutup kepada kontroversi yang kencang menghambat hidup kami.

"Saya tahu, perkahwinan ini bukan tiket untuk orang di luar sana terus berdiam diri dan memeluk tubuh tanpa terus mencari alasan untuk menghentam kami. Terpulanglah. Lantak apa orang nak cakap. Saya tak mampu untuk menutup mulut mereka. Ini fasa baru hidup kami," katanya yang akan tinggal bersama Akhil di Kota Damansara buat sementara waktu.

Bergaya sedondon dengan rona putih, kemunculan Waheeda itu adalah kali pertama selepas dikatakan 'bersembunyi' menanggung penderitaan sakit dek buatan orang dan tekanan hidup yang dihadapinya gara-gara berkawan dengan Akhil. Ketika majlis itu diadakan, Waheeda sebenarnya masih dalam proses untuk memulihkan penyakit yang dialaminya.

Majlis yang pada mulanya hanya mengundang beberapa wartawan tertentu saja akhirnya turut disertai wartawan lain yang dapat menghidu majlis pernikahan mereka. Malah, biarpun sudah rasmi sebagai pengantin baru, sudah mula ada cerita kurang enak singgah kononnya majlis ini dipercepatkan kononnya Waheeda sudah berbadan dua.

PASANGAN pengantin bersama tetamu dan dua anak Akhil.

Paling teruk, pasangan ini dikatakan sudah berkahwin sebenarnya dan majlis yang diadakan itu sebagai syarat untuk menghebahkan kepada masyarakat. Tidak setakat itu, ada yang menganggap perkahwinan terbabit turut tidak direstui keluarga Waheeda terutama bapanya, Abdul Wahab Yusof.

"Saya hanya menjemput rakan wartawan yang baik saja dengan saya untuk majlis ini. Bukan kerana berat sebelah tetapi wartawan inilah yang selama ini sentiasa berada bersama saya ketika jatuh dan naik. Jadi sebagai balasan wartawan ini berhak untuk diberi keistimewaan menerima jemputan hari perkahwinan saya.

"Orang di luar sana boleh terus membuat andaian. Kalau mereka masih ada masalah dengan kami, teruskan dan selesaikan apa yang patut. Kalau tidak ia akan terus menjadi isu di sini. Saya sendiri tidak mampu memuaskan hati mereka. Tetapi kalau kami meninggal dunia sekalipun bukan mereka yang akan uruskan jenazah.

"Dari dulu orang cakap saya sudah mengandung. Tapi hingga sekarang pun perut di badan saya masih belum nampak. Biasalah manusia cepat berprasangka negatif. Sebagai contoh apabila bapa saya enggan ditemubual wartawan, ada pihak yang mengandaikan dia tidak sukakan Akhil. Kalau tidak restu, kenapa saudara mara keluarga kami sanggup turun menghadiri majlis?" katanya sambil memberitahu bapanya yang teringin bermenantukan Akhil.

Sedia pikul gelaran 'ibu segera'

MENURUT Waheeda, perkahwinan ini sebenarnya simbolik kepada penyatuan dua keluarga. Sambil berseloroh, dia memberitahu belum terfikir soal anak dan berbulan madu kerana yang paling penting ialah untuk terus mengukuhkan ukhuwah sesama keluarga kami.

"Selain bergelar isteri kepada Akhil, saya juga secara tidak langsung sudah menjadi ibu 'segera' kepada dua orang anak yang dijaga Akhil kini. Mahu atau tidak, saya harus bersedia membiasakan diri dan alhamdulillah mereka (Siti Nur Maisarah dan Mohd Syarif Idayatullah) menerima saya seadanya.

"Biarlah saya uruskan mereka sampai ke satu peringkat, mungkin selepas itu barulah kami memikirkan soal anak lagi. Dengan ini juga, saya juga secara rasmi mengumumkan persaraan di dalam bidang seni. Lalu, fokus saya juga kini hanya kepada rumah tangga dan ahli keluarga kedua-dua belah pihak. Biar kami berkenal-kenalan dulu sesama sendiri," kata Waheeda yang memberitahu ibu bapanya juga sudah mempunyai cucu 'segera'.

Sementara itu, Akhil Hayy yang ditemui menyifatkan tanggungjawabnya kini lebih berat apatah lagi menerima kehadiran isterinya dalam keadaan menghadapi tekanan dan masalah hingga sakit. Paling manis juga, pernikahan itu disempurnakan kawan baik Akhil sendiri yang bertindak sebagai Pendaftar Nikah Cerai & Rujuk Hulu Selangor, Zulkhairi Jaid.

Mengimbas kembali detik persahabatan mereka sejak dua tahun lalu, Akhil sendiri dalam kenyataannya sebelum ini cukup menyenangi sikap isterinya itu. Malah alasan yang terus merapatkan mereka apabila disahkan mempunyai ikatan bau-bau bacang sesama sepupu.

"Ini takdir yang tertulis. Sekalipun jika dia (Waheeda) bukan jodoh saya. Mungkin juga jodoh saya dengan orang lain. Sebagai hamba-Nya, saya hanya berserah kepada Tuhan. Saya juga tidak boleh menidakkan ikatan ini tidak mustahil akan tercerna tanpa rasa cinta. Hati saya terbuka untuk memilihnya sebagai isteri.

"Apa yang terjadi juga ibarat doa rakan wartawan yang seperti mendoakan kami disatukan sebagai pasangan suami isteri sebelum ini. Jodoh pertemuan di tangan Tuhan dan harapnya selepas ini tidak akan ada lagi isu yang terus mengaibkan kami. Sama-sama kita tutup buku lama dan buka buku baru. Amanah saya kian membesar untuk membimbingnya dan sama-sama ke jalan yang diredai," kata Akhil yang sewaktu ditemubual enggan memberi komen berkaitan bekas isterinya.

'Saya doakan mereka bahagia'

PERKAHWINAN antara penyanyi nasyid serta pendakwah bebas, Ustaz Akhil Hayy dengan penyanyi, Waheeda tidak mengejutkan bekas isterinya, Maizawati Zainal kerana sudah menjangka hubungan mereka pasti berakhir dengan ikatan pernikahan.

Biarpun pada permulaan agak berat untuk memberi komen kerana enggan lagi dikaitkan dengan bekas suaminya, namun Maizawati, 33, akur serta reda dengan ketentuan Ilahi. Tidak tercalit perasaan terkilan atau terluka, sebaliknya ibu tunggal empat cahaya mata itu memohon supaya semua pihak mendoakan kebahagiaan pasangan itu.

Tenang berbicara dan sesekali berlucu, Maizawati berkata, dia hanya mengetahui mengenai pernikahan itu selepas dihubungi beberapa teman bertanyakan kesahihan berita yang didengar.

"Saya cuma tahu tadi (pagi Ahad). Andai itu yang ditakdirkan untuk bekas suami, saya doakan kebahagiaannya dan semoga pilihannya itu ialah yang terbaik untuk dirinya," katanya tenang.

Pernikahan Akhil dan Waheeda barangkali pada pandangan masyarakat akan menutup segala spekulasi dan kontroversi yang menyelubungi pasangan itu tetapi tidak kepada Maizawati.

Baginya, masyarakat bebas membuat apa saja andaian namun keutamaannya kini adalah bekerja keras demi masa depan dirinya dan anak-anak.

Semalam yang pahit katanya, sudah lama ditinggalkan dan biar semua itu terbang menjadi kenangan yang tidak ingin diimbas atau diingati kembali.

"Hidup perlu diteruskan dan rasanya tidak perlu lagi saya menoleh ke belakang. Hubungan kami sebagai suami isteri pun sudah berakhir, jadi dia bebas membuat apa saja keputusan.

Pernikahan ini juga adalah haknya. Sebagai bekas isteri, saya cuma memohon kebahagiaan akan sentiasa bersamanya," kata Maizawati.

Tambahnya lagi, dia tidak pernah menyimpan dendam atau marah dengan apa yang berlaku kerana akur laluan hidup tidak sentiasa membentangkan jalan yang indah.

"Allah Maha Berkuasa, jadi saya serahkan hidup ini kepada-Nya. Untuk apa saya terus berfikir perkara yang tidak lagi menjadi hak saya. Barang yang lepas untuk apa dikenang. Daripada saya memikirkan perkara itu, lebih baik saya merancang masa depan.

"Saya tidak bersendirian sebaliknya ditemani empat anak yang diberikan Tuhan sebagai amanah untuk saya jaga dengan baik. Membesarkan mereka lebih penting daripada memikirkan perkara tidak berfaedah," katanya.

Hidup kata Maizawati, perlu sentiasa reda dengan ujian Allah dan dia percaya setiap dugaan pasti membentangkan kebahagiaan pada hari muka.

"Sudah rezeki bekas suami saya dia bertemu jodoh dulu.

Soal jodoh semua itu ketentuan Tuhan. Sebagai hamba, saya tidak mahu berburuk sangka. Namun saya percaya, Tuhan menyediakan sesuatu yang baik untuk saya dan anak-anak andai kami gigih berusaha," katanya.

Maizawati berkata, untuk meneruskan hidup dia kini mengusahakan perniagaan abaya, tudung dan kek coklat menggunakan namanya sebagai jenama.

"Saya sedang mencari ejen di seluruh negara untuk mengembangkan perniagaan ini. Mereka yang berminat boleh menghubungi talian 019-6450814 untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya," kata Maizawati.

INFO: Majlis pernikahan

  • Tiada wang hantaran sebaliknya digantikan dengan senaskhah al-Quran di samping mas kahwin berjumlah RM80 serta tujuh dulang hantaran rombongan pengantin lelaki dibalas dengan 11 dulang hantaran daripada pihak perempuan.

  • Menurut Waheeda, pemilihan al-Quran sebagai ganti wang hantaran disifatkannya sebagai pelengkap segala-galanya.

  • Majlis pernikahan sepatutnya diadakan pada 21 Ogos ini sempena menyambut kedatangan Ramadan bagaimanapun atas beberapa sebab ia terpaksa dipercepatkan demi memudahkan saudara mara meluangkan masa menghadiri majlis ini.

  • Majlis bertandang sebelah pengantin perempuan akan diadakan pada 31 Oktober ini di Dewan Bukit Jelutong, Shah Alam dan seminggu selepas itu akan diadakan majlis sebelah pengantin lelaki di Gopeng, Perak.

  • Kata ibu Waheeda, biarpun gosip hebat melanda anaknya dan Akhil sebelum bernikah, dia yakin jika Akhil kuat sebagai jodoh anaknya, maka teruskanlah. Katanya lagi, mereka sekeluarga berharap Akhil dan Waheeda akan terus bahagia menjadi suami isteri dan kekal hingga ke akhir hayat.

  • Bapa Waheeda tidak mahu ditemubual.

  • Dua anak Akhil Hayy, (Siti Nur Maisarah, 12, dan Mohd Syarif Idayatullah, 11, sempat diusik beberapa orang rakan wartawan mengenai panggilan apa yang akan digunakan kepada Waheeda kelak. Ketika ini, mereka membahasakan Waheeda sebagai Auntie Wawa (panggilan manja Waheeda).


Kronologi 'cinta' Waheeda dan Akhil Hayy:
  • Awal 2008: Sudah mula tersebar gosip kencang mengaitkan kononnya Waheeda dan Akhil Hayy menjalinkan hubungan cinta. Malah paling teruk ada yang mengandaikan mereka berkahwin secara diam dan tinggal serumah di Damansara.

  • April 2008: Waheeda pernah memberi kenyataan kepada Hip untuk melupakan dunia hiburan buat selama-lamanya. Bagaimanapun tindakan itu akuinya tiada kena mengena dengan gosip cinta yang membabitkan dia dengan Akhil Hayy. Katanya lagi, apa terjadi persaraan itu akan terjadi pada 2008 juga (dalam masa terdekat).

  • Mei 2008: Kemenangan Waheeda di Anugerah Industri Muzik (AIM15) terus membuatkan penyanyi ini berbelah bagi sama ada mahu terus kekal dengan keputusannya untuk bersara atau tidak. Bagaimanapun sehingga awal hingga pertengahan 2009, Waheeda masih aktif memenuhi tawaran seni.

  • Julai 2008: Akhil Hayy juga tegas dengan pendiriannya menafikan gosip yang dia dan Waheeda sudah berkahwin. Penafian itu dibuatnya ketika pelancaran album Akhil Hayy Nasyid Lagenda 2.

  • Awal 2009: Paling memuncak hingga menjadi isu panas yang cukup menggelegak ialah mengenai kisah laporan portal Murai.com yang mendakwa Waheeda dan Akhil menonton wayang bersama di sebuah pawagam di Petaling Jaya.

  • 14 Januari 2009: Waheeda tampil memberikan kenyataan di dalam Hip. Katanya, mereka menonton wayang pada sebelah malam dan rancangan itu dilakukan pada saat akhir. Waheeda sepatutnya ditemani kawan baiknya, Naurah. Namun, Naurah tidak dapat datang pada saat akhir. Menurut Waheeda lagi, mereka menonton filem berbeza dalam berlainan panggung. Akhil pula menonton filem IP Man pada jam 11.55 malam, manakala

    Waheeda menonton filem KM 31 jam, 12.10 tengah malam

  • Mac 2009: Sewaktu menghadiri sidang media pelancaran drama bersiri TV9, Nana Tanjung, Waheeda menitiskan air mata kerana terus-terusan dihentam dek gosipnya dengan Akhil. Kata Waheeda, dia suka bersama dengan Akhil, namun belum sampai ke tahap bercinta.

  • Mei 2009: Mengejutkan apabila Waheeda akhirnya menjadi isteri kepada Akhil. Bagaimanapun, itu hanya tuntutan watak yang dipegangnya dalam program Cafe Akhil Hayy yang disiarkan di Astro Oasis. Bulan ini Maizawati (bekas isteri Akhil ketika itu) mula bangkit untuk menuntut cerai.

  • Jun 2009: Pada 2 Jun lalu, Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Ipoh, Mohd Ridzuan Mohd Yusof, membenarkan penangguhan kes tuntutan perceraian Maizawati dengan Akhil selepas kedua-dua pihak bersetuju berunding dan

    menyelesaikan kes itu secara baik sehingga 15 Julai ini.

  • Julai 2009: Maizawati dan Akhil sah bercerai talak satu pada 15 Julai di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh melalui proses rundingan secara sulh. Ketika itu, Waheeda terus dilabel sebagai perosak rumah tangga mereka. Waheeda dikatakan orang ketiga yang menjadi punca kepada keruntuhan mahligai perkahwinan itu.

    Pada bulan ini juga, Akhil yang ditemui Hip ketika majlis rakaman program Mega Raya Astro membela dan meminta supaya dihentikan menjatuhkan hukuman kepada Waheeda. Malah ketika ini, juga ada yang meramalkan Akhil dan Waheeda akan berkahwin. Tetapi, Akhil masih memberikan jawapan selamat mengenai perkara terbabit.

  • 16 Ogos 2009: Akhirnya Akhil dan Waheeda disatukan sebagai suami isteri pada tarikh ini.

No comments: