Tuesday, August 18, 2009

Di sebalik kemilau FFM22

Di sebalik kemilau FFM22


AFDLIN SHAUKI DAN PARA PELAKON PAPADOM di FFM22.


FESTIVAL Filem Malaysia ke-22 (FFM22) telah berlangsung di Kota Kinabalu dengan majlis penutupnya yang meriah dan gemilang. Para pemenangnya juga telahpun diketahui.

Tetapi, sejauh manakah kilauan kemeriahan FFM kali ini mampu sama mencapai matlamat FFM22 iaitu meletakkan Filem Malaysia ke Persada Dunia?

FFM22 menggariskan objektif yang cukup baik kali ini. Antaranya meraikan kejayaan pengamal industri filem dan merangsang usaha memartabatkan industri perfileman tanahair dengan menggalakkan penghasilan karya filem yang bermutu dan diterima di peringkat global. Kedua, memasyarakatkan filem dengan mencintai filem tempatan di kalangan masyarakat.

Daripada barisan pemenang FFM22 kali ini, sebenarnya memperlihatkan satu perkembangan yang cukup menarik. Para pemenang FFM22 kali ini dikuasai oleh filem-filem dan karyawan dari generasi muda. Tiga filem generasi baru yang cukup menonjol adalah Papadom, Setem dan Talentime.

Filem Papadom arahan Afdlin Shauki memenangi anugerah Filem Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik dan Skor Muzik Terbaik. Kejayaan filem ini diikuti oleh filem Setem arahan Kabir Bhatia yang memenangi suntingan, fotografi dan penataan seni terbaik. Filem Talentime arahan Yasmin Ahmad memenangi anugerah Pengarah dan Lakonlayar Terbaik (Sayangnya Yasmin Ahmad telah meninggal dunia sebelum sempat menerima hadiah Pengarah Terbaik). Selain nama-nama pengarah ini, Yusry Halim (Cicakman), Shamsul Yusuf (Bohsia), Effendee Mazlan dan Fariza Azlina Isahak (Kami: The Movie) dan James Lee (Histeria) adalah juga pengarah generasi muda.

Dalam tulisan saya tentang filem-filem tempatan 2008 (Skrin, 6 Jan. 2009) saya nyatakan perkembangan industri filem tempatan tahun 2008 cukup menarik kerana kemunculan begitu banyak pembikin filem generasi muda. Mereka bukan sahaja berpotensi tetapi filem-filem mereka diberi pendekatan yang berbeza berbanding dengan filem-filem yang dihasilkan oleh pengarah generasi terdahulu. Keberanian yang dibawa oleh pembikin filem generasi baru inilah yang mampu mengembang dan memajukan filem tempatan dalam jangka masa panjang.

Apa yang penting keyakinan untuk meletakkan filem tempatan ke persada dunia akan ada di tangan pembikin filem generasi muda. Malah sebenarnya kita mempunyai begitu banyak pembikin filem generasi baru yang cukup berpotensi dan bersemangat berdasarkan sejumlah besar filem-filem pendek yang dihasilkan oleh para graduan dari institusi pengajian tinggi. FFM22 dengan berani telah mengiktiraf pembikin filem generasi baru.

Tiga filem ini iaitu Papadom (yang masih belum ditayangkan), filem Setem dan Talentime membawa pemikiran generasi baru Malaysia dan pendekatan gaya penceritaan mereka sudah tidak terikat kepada satu kaum sahaja.

Tetapi saya lebih percaya, filem yang mampu meletakkan filem Malaysia di persada dunia adalah filem yang mampu mengangkat emosi dan tema kemanusiaan yang sejati, sama ada filem tersebut memfokus kepada kehidupan satu kaum sahaja atau tidak, ia tidak menjadi persoalan utama. Yang penting filem tersebut dihasilkan dengan kualiti pemikiran dan mampu mengangkat emosi kemanusiaan yang unik dan sensitif.

FFM22 kali ini juga meletakkan matlamat untuk memasyarakatkan filem tempatan. Pada saya matlamat ini jauh lebih penting. Memasyarakatkan filem Malaysia bermakna meletakkan rasa kepunyaan dan rasa kasih kepada setiap filem tempatan oleh penduduk negara. Inilah aspek yang terasa bukan sahaja kurang, malah menjadi aneh apabila sebahagian masyarakat negara ini seakan tidak merasa kasih dan mencintai filem-filem negara mereka sendiri.

Dengan bangga mereka menolak dan merendahkan taraf filem tempatan. Sebagaimana anehnya sebahagian masyarakat negara ini yang tidak meyakini kemampuan bahasa kebangsaan sendiri, sehingga perlu dibuat kempen dan slogan mencintai bahasa kebangsaan. Inilah juga senario yang berlaku kepada filem-filem tempatan kita. Hingga memerlukan kempen dan slogan untuk menarik minat masyarakat negara ini menyokong seni filem tempatan.

Hal-hal sebegini tentulah sesuatu yang aneh di India, Jepun, Korea dan malah di Thailand. Kecintaan yang tebal terhadap seni filem tempatan menyebabkan seni dan industri filem mereka berkembang maju bukan sahaja daripada segi kualiti tetapi juga perkembangan industrinya. Akhirnya yang untung adalah masyarakat dan negara itu sendiri.

Perlu diingat, seni dan industri perfileman tidak harus dilihat dari sudut hiburannya sahaja, tetapi seni filem sudah menjadi ukuran kreativiti dan pemikiran sesuatu bangsa sepertimana karya sastera menjadi ukuran kepada perkembangan tamadun sesuatu bangsa.

Filem bukan sahaja arena untuk para karyawan dan seniman berkarya tetapi melalui filem juga puluhan dan ratusan para profesional terlibat dalam menghasilkan sesuatu produksi. Tidak hairan jika negara-negara seperti Amerika, Jepun, Korea, Hong Kong dan kini Thailand memberikan perhatian utama kepada pembangunan industri filem mereka.

Justeru itu, antara meletakkan sasaran global dan memasyarakatkan filem, matlamat memasyarakatkan filem tempatan menjadi objektif yang cukup penting. Ini kerana objektif inilah yang akan menentukan perkembangan dan kemajuan seni dan industri filem tempatan.

Namun sekali lagi matlamat ini akan hanya mampu dicapai jika pembikin filem kita mampu memberikan filem yang berkualiti, menghiburkan dan tentunya pemikiran yang digarap tidak merendahkan intelektual khalayak penonton. Hanya dengan cara ini filem kita mampu berada di persada filem dunia.

No comments: