Tuesday, August 18, 2009

RM50,000 milik ibu tunggal

RM50,000 milik ibu tunggal


SITI NURHALIZA akan menjadi tetamu istimewa Suria FM untuk slot rancangan Lagu Berduit Ekstra.


TEKA-TEKI siapakah yang bertuah untuk membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000 bagi kempen Lagu Berduit Suria FM yang dianjurkan oleh stesen radio popular, Suria FM akhirnya terjawab.

Jumaat lalu, wang RM50,000 itu diumumkan menjadi milik seorang ibu tunggal dari Kota Bharu, Kelantan, Ida Sharihanim Shaari, 33.

Pemilihan Ida untuk kempen Lagu Berduit Suria FM dengan kolaborasi One Drop Perfumes itu dilakukan secara rambang daripada lebih 20,000 SMS yang diterima pada 14 Ogos lalu menerusi segmen Breakfast@Suria.

Sebaik sahaja diumumkan sebagai pemenang pada jam 9.50 pagi, Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin bersama krew Breakfast@Suria, Tuah dan Zizi serta Kak V, membuat kejutan dengan terus menuju ke rumah pemenang berkenaan.

Walaupun lokasinya nun jauh di Pantai Timur namun Emran, Tuah, Zizi dan Kak V tetap muncul di Taman Mesra, Pengkalan Chepa, Kota Bharu semata-mata mahu menyerahkan replika cek bernilai RM50,000.

Ida yang kelihatan terkejut apabila ditemui oleh tenaga kerja Suria FM memberitahu, kemenangan tersebut pastinya meninggalkan kenangan yang terindah untuk dirinya.

"Kemenangan ini umpama satu keajaiban yang tidak pernah saya fikir sebelum ini. Malah saya yakin ia mampu mengubah hidup saya dan keluarga selepas ini.

"Terus-terang saya katakan, saya akan menggunakan duit ini bagi menampung perbelanjaan pendidikan dua orang anak lelaki saya yang berumur 13 dan tujuh tahun. Terima kasih diucapkan kepada Suria FM atas durian runtuh ini. Selepas ini saya akan terus setia mendengar Suria FM.

"Bahkan saya juga akan memastikan bahawa semua teman dan keluarga saya turut menjadi pendengar stesen radio yang dikenali dengan tagline Muzik Terbaik Tanpa Henti ini," katanya dalam lontaran suara gembira dan teruja.

Kempen Lagu Berduit Suria FM yang bermula sejak 20 Julai lalu meraih sambutan dan tumpuan paling hebat jika dibandingkan dengan kempen-kempen yang pernah direalisasikan oleh Suria FM sebelum ini.

Seramai 66 orang pendengar sudah menjadi pemenang dengan keseluruhan wang tunai yang ditawarkan bernilai RM 100,000.

Daripada jumlah itu, seramai 30 orang berjaya memenangi RM500, 35 orang membawa pulang RM1,000 manakala Ida menjadi insan paling bertuah menerima RM50,000.

Memandangkan sambutan yang diterima daripada khalayak cukup luar biasa maka Pengarah Urusan One Drop Perfumes, Josafri Johari mengumumkan untuk menambah jumlah wang sebanyak RM10,000 lagi kepada seorang lagi pendengar bertuah Suria FM.


IMRAN (tiga dari kanan) menyampaikan replika cek wang tunai RM50,000 kepada Ida Sharihanim (bertudung hitam) di Pengkalan Chepa baru-baru ini.


Wang tunai itu akan dihadiahkan kepada pendengar bertuah sepanjang minggu ini menerusi Lagu Berduit Ekstra dengan menampilkan lagu daripada penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza iaitu Biarlah Rahsia.

Berita baik untuk para peminat Suria FM, Siti juga akan berada di studio Suria FM pada bila-bila masa sepanjang minggu ini.

Sebaik sahaja penyanyi jelita itu mendendangkan lagu tersebut secara langsung, pendengar perlu menghantarkan SMS dengan menaip LB dan kirimkan ke 33988.

Paling mengujakan, Siti sendiri yang akan bertindak memilih seorang pemenang untuk kempen Lagu Berduit Ekstra.

Dalam pada itu, Emran berkata, beliau amat berbesar hati apabila diberitahu Siti Nurhaliza turut mendengar Suria FM.

"Kesudian Siti untuk datang ke studio Suria FM pada bila-bila masa dalam minggu ini untuk Lagu Berduit Ekstra yang bernilai RM10,000 juga membuatkan kami di Suria FM begitu terharu dengan sokongannya.

"Jadi kepada semua pendengar, pastikan stesen radio Suria FM menjadi pilihan anda setiap masa dan di mana-mana jua anda berada," jelasnya.

Selain penyerahan hadiah kepada Ida, sebuah majlis penyerahan cek telah diadakan di pejabat Suria FM yang terletak di ibu negara baru-baru ini.

Acara yang berlangsung dalam atmosfera santai dan sederhana itu menyaksikan seramai 12 orang pemenang Lagu Berduit Suria FM dari sekitar Lembah Klang menerima cek masing-masing yang bernilai RM500.

Pemenang lain pula bakal menerima cek mereka menerusi khidmat kurier sebelum Hari Raya Aidilfitri nanti.

Untuk mengetahui sebarang maklumat lanjut tentang kempen itu, jangan lupa untuk melayari laman web www.suriafm.com.my.

No comments: