Thursday, August 20, 2009

Dokumentari Paradigm sempena kemerdekaan

Dokumentari Paradigm sempena kemerdekaan

PENGISIAN program menarik sepanjang Bulan Kemerdekaan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan dilengkapi dengan dokumentari Inggeris Khas Merdeka berjudul Paradigm.

Dokumentari 13 episod yang menemui penonton mulai 3 Ogos lalu setiap Isnin jam 11.05 pagi menerusi TV1 mengupas secara terperinci perkembangan sektor ekonomi dan sosial tanah air terutama bidang perikanan, perusahaan getah, Jabatan Perkhidmatan Awam, perniagaan dan sebagainya yang menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara.

Setiap bidang yang dipaparkan, contohnya membabitkan perikanan akan cuba menyusuri perkembangan industri perikanan negara kita. Malah turut ditonjolkan pendekatan tradisional menangkap ikan serta teknologi moden yang semakin berkembang pesat kini.

Manakala menerusi perusahaan getah pula, penonton berpeluang menyaksikan kemajuan industri getah di Malaysia. Selain itu turut diberikan tumpuan ialah terhadap usaha kerajaan dalam mencapai matlamat bidang ini dalam usaha memajukan ekonomi negara.

Dalam bidang industri minyak, penonton dipertontonkan kejayaan industri ini sejak tahun 1957 yang memaparkan karakter utama dari Padang Rengas yang berkongsi kisah suka duka mencapai kejayaan.

Episod seterusnya mengetengahkan transformasi industri pengangkutan di Malaysia. Sebelum itu Paradigm juga turut memaparkan pengangkutan tradisi hingga kemajuan yang dicapai kini menerusi pengangkutan udara dan sebagainya. Sokongan yang diberikan kerajaan untuk menyokong industri ini selari dengan perkembangan ekonomi negara.

Kupasan tajuk Jabatan Perkhidmatan Awam pula menunjukkan kemajuan yang dicapai menerusi sektor perkhidmatan awam negara kini yang pastinya jauh berbeza berbanding dulu. Selain itu diselitkan juga soal kesihatan, keselamatan, pendidikan serta perkembangan intelektual di Malaysia sejak tahun 1957 hingga kini.

Menerusi bidang hartanah, Paradigm menyajikan nilai dan kemajuan dicapai bidang ini sejak 1957 dan sekali gus di Malaysia dengan nilai pelaburan dan evolusi dalam industri ini. Selain itu turut dipaparkan bidang pembuatan di mana penonton bakal berkongsi perkembangan industri ini yang diinspirasikan dari dua negara, Jepun dan Korea.

No comments: