Thursday, August 20, 2009

Teruja dipilih Shuhaimi

Teruja dipilih Shuhaimi
Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

IMPIAN pendatang baru, Lana Nordin untuk bekerja di bawah pengarah terkenal, Datin Paduka Shuhaimi Baba tercapai apabila ditawarkan berlakon dalam drama bersiri Waris Jari Hantu terbitan Pesona Pictures Sdn Bhd, yang kini dalam penggambaran.

Kata pelakon kelahiran Kuching, Sarawak ini, dia membawa watak pembantu bernama Natasha atau Nate yang juga penyanyi rakaman dan bercinta dengan Ramon (lakonan pelakon baru Nas T) yang obses kepada ilmu hitam dalam drama itu.

"Selain Allahyarham Yasmin Ahmad, saya juga sudah lama impikan untuk bekerja dengan Shuhaimi. Mulanya, saya tidak percaya apabila diberitahu pihak pengurusan, Shuhaimi menawarkan saya berlakon dalam dramanya itu tanpa melalui proses uji bakat.

"Maklumlah, saya masih baru dalam bidang seni berbanding dengan pelakon popular lain yang sering bekerja dengannya sebelum ini. Namun, selepas diyakinkan pihak pengurusan, saya terus menerima tawarannya tanpa berfikir dua kali. Sekalipun ia hanya watak pembantu, ia cukup bermakna buat pelakon baru seperti saya," katanya.

Lana berkata, dalam drama Waris Jari Hantu, dia ditawarkan watak Nate yang juga peranan baru diwujudkan dalam drama itu. Ia juga sambungan filem Waris Jari Hantu yang menggandingkan Rusdi Ramli (Ari) dan Maya Karin sebelum ini.

"Rusdi masih watak utama dalam cerita ini ini, tetapi Maya pula hanya penampilan khas kerana dia tidak dapat memberikan komitmen dalam penggambaran drama ini. Pelakon lain ialah Linda Hashim dan Bob.

"Sebelum penggambaran dimulakan, saya juga menjayakan sesi latihan selama tiga hari di bawah bimbingan Shuhaimi.

"Pada pandangan saya, Shuhaimi adalah pengarah yang sangat teliti dan terperinci orangnya. Saya tidak takut untuk bekerja dengannya sebaliknya berasa hormat selaku pengarah drama.

"Antara babak menarik, saya perlu menyanyi dalam filem ini dengan suara sendiri. Selain itu, saya juga perlu menjayakan babak Nate dipukul dan ditarik rambut oleh teman lelakinya yang dikuasai ilmu hitam itu.

"Penggambaran drama ini bermula 18 Julai lalu dan dijangka diteruskan sehingga Ramadan ini.

"Selepas drama ini, saya juga mendapat tawaran beberapa projek drama lain selepas Ramadan," katanya.

Sepanjang pembabitannya dalam bidang lakonan, Lana, 30, mengakui sering diberikan watak antagonis dalam drama mahupun filem.

"Saya sering dibawakan watak jahat, perempuan simpanan dan perampas teman lelaki orang. Menurut pengarah, wajah saya yang garang ini memang sesuai dengan karakter sedemikian.

"Terbaru, saya pernah bawa watak perempuan simpanan kepada pelakon Tony Eusoff dalam drama Perempuan yang sudah disiarkan di kaca televisyen," katanya.

Lana berkata, antara drama yang menampilkannya sebagai watak utama ialah drama bersiri 13 episod Cintaku Di Mukah pada Februari lalu. Drama ini juga belum ditayangkan di televisyen lagi.

"Saya bawa watak utama bernama Dayang dalam drama arahan Md Nor Bujang untuk saluran RTM2 itu..

"Apa yang menarik, saya bawa watak gadis bertudung dan perlu bercakap loghat Sarawak dalam cerita ini. Memang saya berasal dari sana, tetapi saya sudah lama menetap di Kuala Lumpur.

"Bagi menjiwai watak ini, saya terpaksa belajar semula loghat Sarawak dengan kaum keluarga yang menetap di sana. Pelakon lain ialah Fazren Rafi dan Rizal AF," katanya.

Drama lain lakonannya ialah telefilem Tuntutan Maut arahan Fairuz Loy untuk TV3.

Sementara itu, kata Lana, dia masih menanti filem lakonannya Gentayangan arahan Zulkiflee M Osman menjengah pawagam tempatan.

"Sebenarnya, penggambaran filem ini sudah siap dua tahun lalu. Selain saya, watak utama filem ini ialah Yasmin Hani, Sheera Iskandar dan Hasnol Rahmat. Saya difahamkan filem ini masih dalam proses suntingan," katanya.

Terus terang, kata Lana, dia kecewa dengan masalah yang berlaku membabitkan filem Gentayangan.

"Maklumlah, saya dan pelakon filem ini terpaksa berkampung di lokasi penggambaran Gentayangan selama sebulan di Melaka. Saya juga buat babak lagak ngeri sendiri dalam filem yang membabitkan 80 peratus babak aksi ini.

"Selepas Gentayangan, saya dapat tawaran bawa watak utama dalam filem Taiko, tetapi sampai sekarang, saya belum diberitahu bilakah filem ini akan memulakan penggambarannya," katanya yang turut menjadi pelakon undangan dalam filem Rempit.

No comments: