Thursday, August 20, 2009

Rahim Maarof muda di pentas

Rahim muda di pentas

Oleh Esme Johari Wahab
esme@hmetro.com.my

RAHIM Maarof mula dikenali ketika tampil selaku vokalis kumpulan heavy metal, Whitesteel, satu daripada lima kumpulan mengetengahkan muzik berat ketika bersaing dalam Battle of the Bands (BOTB) pada pertengahan 1980-an.

Aksi lincah beraksi mungkin tidak sehebat lebih 20 tahun lalu, tetapi pada usia mencecah pertengahan 50-an, kelibat Rahim masih seperti seorang penyanyi muda malah masih popular dengan mendapat undangan persembahan di kelab atau majlis rasmi.

Rahim, penyanyi yang menempa nama melalui album solo 1988, ‘Cinta Kristal’, menyatakan beliau tidak mengamalkan awet muda seperti minum air akar kayu atau makan ulam-ulaman setiap hari untuk memastikannya kelihatan muda.

“Paling penting makanan berkhasiat. Saya tidak menetapkan apa perlu dimakan hari ini, apa saya perlu ada untuk esok malah tidak mempunyai sebarang menu istimewa. Cukup sekadar mengatakan makanan berkhasiat dan satu daripadanya ialah sayur-sayuran.

“Saya tidak berpantang mengamalkan jenis minuman menjaga kelunakan suara. Saya bersyukur kerana dapat bertahan hingga sekarang,” kata Rahim dalam satu temu ramah bersama Rap, baru-baru ini.

Rahim mendedahkan antara sebab dia kelihatan ceria: “Rasa seperti orang muda setiap kali naik pentas membuat persembahan, tetapi berasa tua apabila turun semula. Apapun, saya tidak kisah mengenainya kerana bermatlamat terus menghiburkan peminat selagi termampu,” kata Rahim.

Beliau baru menyiapkan projek demo single terbaru, ‘Tuhan Tolonglah’, berduet bersama artis rap Malaysia, Caprice yang diketengahkan dalam program Shout Awards 8TV, 17 Julai lalu.

Mengenai persembahan sekarang, Rahim berkata, sambutan peminat tetap sama seperti dulu.

“Beza sekarang, saya banyak mendapat undangan menyanyi di kelab golf, majlis rasmi atau kelab malam berbanding konsert besar.

“Bagaimanapun, tahun ini jemputan seperti itu berkurangan berbanding tahun lalu apabila saya beraksi di 11 tempat berbeza. Bilangan penonton tidak ramai seperti zaman dalam BOTB, persembahan konsert atau karnival dan saya dapat terima kerana keadaan sentiasa berubah.

“Saya selesa buat banyak persembahan di hadapan penonton tidak terlalu ramai kerana lebih mudah mengawal emosi, perasaan dan penghayatan mereka. Jika terlalu ramai, penonton sukar dikawal dan bising,” kata Rahim.

Mengenai pembabitan awal Rahim Maarof and Whitesteel, Rahim berkata, konsep muzik Whitesteel memang jenis berat dan ketika itu mereka cenderung dengan muzik alunan bunyi gitar ‘heavy metal atau ‘speed metal’ dengan pengaruh Iron Maiden dan Saxon.

Whitesteel dikenali melalui lagu ‘Sengketa’ dan ‘Sampai Jumpa Lagi’.

Empat lagi kumpulan BOTB I dan BOTB II adalah Ella and The Boys, Lefthanded, Bloodshed dan SYJ.

“Saya tidak lagi bersama Whitesteel, sudah lebih 16 tahun membawa haluan masing-masing. Saya masih berhubungan dengan bekas pemain bass Whitesteel II, ditubuhkan pada pertengahan 90-an, Eddie, kini bersama Thunderstorm, tetapi yang lain saya tidak dapat hubungi. Bagaimanapun, difahamkan ada yang menjalankan perniagaan sendiri,” katanya.

No comments: