Thursday, August 20, 2009

Sinar baru Yuni

Sinar baru Yuni

Oleh Adam Salleh
adam@hmetro.com.my



"Sepi hati, terjadi lagi
mungkin sampai mati, aku sepi
biar senyum hadir di hariku
namun itu hanya ada di bibir, di bibir saja."

SEBAGAIMANA dialun dalam filem Sepi, begitulah tafsiran pelbagai pihak terhadap Yuni Shara, 37. Suaranya yang gemersik dan mendayu-dayu menyanyikan lagu tema filem arahan Khabir Bhatia itu seolah-olah refleksi situasi dihadapi saat berstatus ibu tunggal dengan dua kali perceraian.

Barangkali ramai tidak menyedari, pada ketika filem Sepi terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB) itu hangat ditayangkan di seluruh negara pertengahan tahun lalu, Yuni pula diasak hal peribadi.

Tanggal 21 Mei 2008, Yuni yang berkahwin kali pertama pada 1993, memfailkan permohonan cerai terhadap suami keduanya dan pada 17 Jun tahun sama, kedua-duanya membawa haluan masing-masing.

Itu cerita lara tahun lalu, 2009 seolah-olah menghadirkan sinar baru buat Yuni. Ketika dihubungi di Jakarta, semalam, Yuni yang baru kembali dari Makasar, menjayakan persembahan sempena Hari Kemerdekaan Ke- 64 Indonesia, sukar menidakkan kesepian hatinya kini terisi dengan kehadiran Raffi.

Menariknya jika perkahwinan kedua, suaminya itu lebih tua 15 tahun daripadanya, teman lelaki barunya pula pelakon muda yang nama penuhnya Raffi Ahmad, berjarak 15 tahun muda daripada Yuni.

"Saya diperkenalkan kepada Raffi oleh Melly (komposer Melly Goeslow). Hubungan saya dengan dia hakikatnya belum setahun jagung, sekitar tujuh bulan saja. Namun, saya sudah dapat rasakan keserasian malah dua anak saya mulai selesa dengan kehadiran Raffi yang dipanggil 'om' (pak cik) itu," katanya.

Jarak usia apatah lagi dengan status jandanya bagi Yuni bukan penghalang untuknya menjalin hubungan murni bersama Raffi. Melalui perbualan telefon, Yuni sempat berseloroh betapa hubungan dengan lelaki muda tidak jauh persamaan di sebalik hubungan Siti Khatijah dengan Rasulullah s.a.w.

"Dalam hubungan, yang kita cari adalah keikhlasan jika mahu membina mahligai bersama. Bersama Raffi boleh saya katakan dia teman lelaki yang baik terhadap saya. Di awal perhubungan kami, dia memanggil saya 'bonda' gelaran teman terhadap saya, tetapi kini dia panggil saya 'sayang'.

"Perkataan sayang itu menambah keyakinan saya terhadap Raffi. Cuma saya belum berani membuat kenyataan mahu akhiri perhubungan ini dalam ikatan suci. Sebabnya, saya masih memerlukan sedikit masa untuk mencari lebih keserasian selain mohon petunjuk dari Allah melalui solat istikarah," katanya.

Pada awal perhubungan Yuni dan Raffi, kedua-duanya cuba merahsiakan diri daripada media. Bagi Yuni, terbit simpati kerana Raffi terpaksa mempertahankan diri apabila hubungan mereka dihidu wartawan.

"Di awal hubungan Raffi selalu menghindar jika ditanya wartawan. Dia masih muda, tiba-tiba dia dekat dengan saya dan mungkin ini hal yang baru buat dia. Saya pun pada awalnya tidak mahu berkongsi hal peribadi, tetapi bila rasa bersikap rasional, ia semakin meringankan beban saya.

"Buat saya Raffi adalah orang luar biasa. Dia sangat sayangkan saya dan anak-anak," katanya.

Melalui satu program hiburan TV di Jakarta baru-baru ini, Yuni dan Rafi diusik pengacara. Menariknya Yuni menyifatkan Raffi bukan saja pemalu tetapi 'adinda' kepada dirinya.

"Dia (Raffi) kan adinda saya. Kekasih itu bahasa hati. Adindaku itu sering dikata 'playboy', tetapi sebenarnya dia bukan 'playboy, dia pemalu," katanya.

Lain di bibir, lain di hati Yuni yang juga kakak penyanyi terkenal, Kris Dayanti ini seolah-olah mahu berteka-teki mahu membuat kejutan pada 9.9.2009. Apabila ditanyakan apa itu tarikh nikahnya, Yuni ketawa kecil kerana baginya tarikh itu unik, tetapi untuk majlis penganugerahan platinum albumnya.

"Saya mahu jadikan tarikh itu bersejarah buat saya. Justeru, bersama pihak pengurusan, kami mahu mengadakan majlis penganugerahan platinum untuk album terbaru Jalan Terbaik,' katanya.

Menurut Yuni, Jalan Terbaik adalah kompilasi lagu nyanyiannya termasuk Sepi yang diberi nafas baru. Album ini mencecah 75,000 unit dalam tempoh sebulan pengedarannya. Jualan memberangsangkan itu membolehkan Yuni menerima anugerah platinum pada Ramadan ini.

Bagaimanapun, kata Yuni, promosi album itu masih berjalan termasuk dia akan ke Kuala Lumpur pada 27 Ogos ini bersama pihak pengurusannya. Cuma apabila diusik apakah dia akan membawa Raffi bersama, kata Yuni, ikutkan hati mahu saja Raffi menemaninya, namun belum masanya lagi.

>Profil

# NAMA SEBENAR: Wahyu Setyaning Budi

# NAMA KOMERSIAL: Yuni Shara

# TARIKH LAHIR : 3 Jun 1972

# TEMPAT LAHIR: Malang, Jawa Timur, Indonesia

# STATUS: Ibu tunggal

# PERKAHWINAN: Raymond Manthey (bercerai), Henry Siahaan (bercerai)

# ANAK: Cavin Obrient Salomo Siahaan dan Cello Obient Siahaan

# TAHUN AKTIF BIDANG SENI : 1990an - sekarang

# ALBUM: Jatuh Cinta Lagi (1990), Hilang Permataku (single - 1991), Salah Tingkah (1992), Aku Percaya (1993), Surat Undangan (single - 1994), Mengapa Tiada Maaf (1995), Selamat Jalan (1997), Pelangi (1997), Disember

Kelabu (1998), Katakan Sejujurnya (2000), Isi Hati (2002), Belaian Sayang (2005) dan Yuni Shara 35 (2007).

* RUNUT BUNYI : Return of the Condor Heroes (1995) dan Meteor Garden - Cinta Yang Ku Mau (2002).

* PENCAPAIAN: Artis Pilihan Dunia Bintang (1994/1995), Penyanyi Terbaik AMI (2001), Jualan Album Terbaik - Mengapa Tiada Maaf (1995), Platinum berkembar empat untuk album Mengapa Tiada Maaf (1995), Platinum berkembar tiga album runut bunyi, Return of the Condor Heroes (1996).

No comments: