Thursday, August 20, 2009

Gosip kuatkan cinta Siti, Datuk K

Gosip kuatkan cinta Siti, Datuk K

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin


SITI, Faizal dan Saiful Apek antara gandingan hebat untuk Lantera Aidilfitri Siti Nurhaliza.

Kontroversi mengenai rumah tangga kerap dibangkitkan menjelang ulang tahun perkahwinan mereka

JIKA pasangan lain menantikan ucapan tahniah di hari ulang tahun perkahwinan mereka, lain pula ceritanya dengan penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, Saban tahun dia menanti apa pula kisah sensasi mengenai rumah tangganya yang akan didedahkan, seterusnya membangkitkan kontroversi.

Tiga tahun melayari bahtera rumah tangga iaitu sejak 21 Ogos 2006, belum pernah sekali penyanyi itu dapat melayari kehidupan rumah tangganya dengan tenang. Sabah tahun ada saja kisah kurang enak mengenai rumah tangga bersama usahawan terkenal Datuk Seri Khalid Mohamed Jiwa timbul seakan direka pihak yang seolah-olah kurang senang melihat kebahagiaan mereka.

Tahun pertama heboh kisah Siti dipukul Khalid sehingga lebam, malah lebih kejam ada yang mendakwa Siti mengalami keguguran gara-gara tindakan suaminya. Memasuki tahun kedua perkahwinannya pula, heboh cerita Siti dimadukan dengan seorang pramugari. Manakala tahun ini, timbul cerita Khalid menghadiahkan kereta mewah kepada pelakon cantik Rozita Che Wan.

Mungkin inilah yang dinamakan dugaan bergelar selebriti. Namun tidak pernah sekali penyanyi kelahiran Kampung Awah, Pahang itu naik angin setiap kali kepastian cuba dicungkil. Sebaliknya pertanyaan media sering kali dibalas senyuman manis penyanyi itu, cukup untuk menepis segala spekulasi tidak berasas. Melihat Siti dan suami yang sering berpegangan tangan penuh erat setiap kali tampil berdua juga sudah cukup membuktikan betapa bahagianya Siti sejak bergelar seorang isteri.

“Setiap kali apabila tibanya ulang tahun perkahwinan kami, Siti sentiasa ternanti-nanti apa pula kisah mengenai rumah tangga kami yang akan dibangkitkan. Jika tidak datang dari kami, ia datang dari orang luar. Mungkin inilah cabaran buat Siti dan suami tetapi cerita-cerita seperti itu jugalah yang merapatkan lagi hubungan rumah tangga kami,” kata penyanyi yang ditemui sebaik selesai rakaman program istimewa sempena Aidilfitri, Lentera Aidilfitri Datuk Siti untuk saluran Astro Ria yang bakal menemui penonton pada hari raya pertama jam 4 petang.



Begitu pantas masa berlalu, kata Siti, dalam tidak sedar sudah tiga tahun dia meninggalkan zaman solonya. Jika tahun lalu dia dan suami mengadakan majlis doa selamat sempena ulang tahun perkahwinannya, tahun ini pasangan itu masih belum merancang sebarang acara tetapi berkemungkinan mengadakan majlis serupa sebagai mengambil keberkatan Ramadan yang jatuh sehari selepas tarikh perkahwinan mereka.

“Masa berlalu begitu pantas, pejam celik, pejam celik sudah tiga tahun usia perkahwinan kami. Alhamdulillah sepanjang tempoh itu, suami menjaga Siti dengan cukup baik sekali. Kami lebih memahami karakter masing-masing, malah hubungan sebagai suami isteri juga bertambah erat apabila rumah tangga kami dihujani kontroversi.

“Kami belum mempunyai sebarang perancangan untuk meraikan ulang tahun ketiga ini, berkemungkinan kami akan mengadakan majlis doa selamat seperti tahun lalu. Mungkin juga akan diadakan sekali solat tarawih memandangkan keesokannya hari pertama umat Islam berpuasa,” katanya yang akan menjalani ibadat puasa di tanah air.

Bagaimanapun kehadiran Ramadan tahun ini bagi penyanyi itu tidak lagi seindah tahun-tahun sebelumnya. Ini kerana buat pertama kali dia serta adik beradiknya tidak lagi dapat meraikan Ramadan bersama ayahanda tercinta yang pulang ke Rahmatullah pada Februari lalu. Sebelum ini hati Siti cukup sensitif apabila berbicara mengenai bapanya itu, tetapi ketika ditemui minggu lalu, penyanyi wanita popular tanah air itu semakin tabah menerima suratan takdir pemergian insan yang selama ini menjadi tulang belakang kepada kejayaannya.

“Tahun ini mungkin Siti akan berpuasa di Kuala Lipis atau mungkin Siti akan pujuk emak supaya berpuasa di rumah Siti memandangkan arwah abah sudah tak ada lagi. Sejak berkahwin, Siti memang jarang dapat berbuka bersama keluarga tetapi memori bersama arwah masih lagi terpahat erat dalam ingatan. Siti ingat lagi arwah abah tak suka makan sahur, bagaimanapun dia akan tetap bangun pagi untuk menemani anak-anak makan,” katanya yang akan turut menjalani ibadat puasa di Melbourne kerana menemani suami menghantar anak ketiga mereka Mohd Ashraf menyambung pengajian di Melbourne, Australia.

Serasi dengan Apek, kagumi Faizal Tahir

SETIAP kali menjayakan program, sering kali wajah pelawak terkenal Saiful Apek turut kelihatan di majlis yang dijayakan penyanyi nombor satu negara iti. Kali ini, wajah Apek sekali lagi menghiasi program dijayakan Siti Nurhaliza, Lentera Aidilfitri.

Akui Siti, dia selesa bersama Apek malah sudah lebih lima tahun mereka bekerjasama sejak kali pertama dalam persembahan Minggu Setiausaha. Manakala, tahun ini buat pertama kalinya pula Siti bergabung vokal dengan Faizal Tahir.

Apek turut mengakui selesa dapat bekerjasama dengan seorang penyanyi hebat seperti Siti Nurhaliza, malah sukar baginya untuk menolak pelawaan penyanyi tersohor itu.

“Memang saya tidak pernah menolak setiap kali Siti mengundang saya untuk persembahan. Saya selesa dan serasi bekerja dengan dia,” kata Apek.

Dalam program selama sejam itu nanti, penonton bakal dihiburkan dengan rangkaian lagu popular Siti Nurhaliza. Lebih istimewa lagi, buat pertama kalinya juga Siti akan berduet dengan Faizal Tahir. Malah ketiga-tiga mereka turut berduet bersama.

Antara lagu yang didendangkan ialah Ku Mahu, Pastikan, Apa Guna Berjanji, Bosanova, Cintamu dan Di Taman Teman. Sementara lagu duet dinyanyikan bersama Faizal Tahir ialah Lucky, Mahakarya Cinta dan Dialah Di Hati. Sementara itu, Faizal turut membuat persembahan solo menerusi lagu Sampai Syurga dan Bencinta. Manakala lagu Suratan Atau Kebetulan dinyanyikan bersama oleh ketiga-tiga artis berkenaan.

Siti berkata, dia mengagumi peserta One In A Million musim pertama itu kerana kekuatan vokalnya. Dia juga amat berterima kasih kerana Faizal tidak menolak undangannya walaupun penggambaran program itu tertangguh beberapa kali, begitu juga dengan Apek.

“Faizal memiliki vokal yang baik, memandangkan Siti pun tidak pernah bergabung dengan dia, jadi rasanya tidak salah Siti mengundangnya dalam persembahan ini. Siti meminati lagu Faizal malah teringin membawakan lagunya. Pada kesempatan ini, Siti ambil peluang nyanyikan lagu Mahakarya Cinta dan ternyata lagu itu bukan mudah untuk dibawakan,” katanya.

Faizal pula berkata, dia berbesar hati kerana lagunya diminati seorang penyanyi hebat. Selama ini dia hanya mengikuti perjalanan seni penyanyi bernama Siti Nurhaliza dan tidak pernah mengimpikan dapat bekerjasama dengannya. Justeru, apabila Siti mengundangnya membuat persembahan bersama, dia tidak mampu untuk menolak.

“Alhamdulillah ketika mula-mula diberitahu bahawa Datuk Siti menjemput saya untuk menyanyi di dalam salah sebuah programnya, terus terang saya terkejut dan sudah lama menunggu saat ini. Bagaimanapun pada mulanya saya menyangka hanya diundang sebagai artis jemputan tetapi tak sangka pula dapat berduet dengannya.

“Macam mana gila pun Faizal Tahir tetapi apabila pertama kali bersua muka dengan Datuk Siti di atas pentas, saya akui berasa gementar dan berharap semoga Datuk berpuas hati serta tidak serik bekerja dengan saya,” katanya.

No comments: