Thursday, August 20, 2009

Rabbani takkan terkubur

Rabbani takkan terkubur

Oleh Sakini Mohd Said
sakini@hmetro.com.my

KEMBALINYA vokalis utama kumpulan nasyid Rabbani, Allahyarham Mohamad Asri Ibrahim ke Rahmatullah Khamis lalu, masih segar di ingatan dan dirasai hinggalah saat ini.

Perjuangannya bersama Rabbani dalam memartabatkan irama nasyid, tidak pernah jemu di kala melodi muzik Barat begitu dibanggakan generasi muda masa kini. Rabbani sedia mendekati minat generasi muda kepada irama pop dengan merakamkan lagu Pergi Tak Kembali pada 1999, kemudian Intifada pada 2000.

Dua lagu itu membuatkan Rabbani lebih mendapat perhatian generasi muda hingga dipilih peminat sebagai Artis Nasyid Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2001 (ABPBH2001) dan mengekalkan gelaran itu lapan tahun berturut-turut.

Sebagai vokalis utama Rabbani, sememangnya Allahyarham lebih dikenali atau dalam erti kata lain menonjol berbanding anggota lain. Justeru, bagaimana dengan perjuangan Rabbani selepas ketiadaannya? Apatah lagi dalam waktu terdekat ini, Rabbani menjayakan persembahah di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya, Ramadan ini.

Salah seorang anggota Rabbani yang juga teman rapat Allahyarham, Azadan Abdul Aziz, 36, berkata, pemergian Asri tidak bermakna berakhirnya perjuangan Rabbani dalam menyampaikan dakwah serta menyinari irama nasyid negara.

Katanya, anggota yang lain akan meneruskan perjuangan itu kerana sedar betapa bersungguh-sungguhnya semangat arwah menaikkan nama Rabbani hingga saat menutup mata.

“Bukan mudah untuk Rabbani sampai ke tahap ini dan tidak mungkin kami akan biarkan ia berkubur begitu saja. Kami tahu perjalanan yang perlu dilalui Rabbani selepas ini akan lebih sukar.

“Apatah lagi, ramai mengenali Rabbani menerusi kelunakan suara arwah tetapi kami semua tidak pernah terasa atau kecil hati apabila pembabitan anggota lain tidak begitu dikenali berbanding arwah.

“Bagi kami, pemergian arwah bukanlah satu kehilangan tetapi ada hikmah di sebaliknya. Mungkin sudah tiba masanya untuk anggota Rabbani yang lain lebih berdikari dan tampil dengan bakat masing-masing. Lagipun, dia selalu cakap… “Ana mahu kamu semua jadi macam ana”…kerana ingin ahli Rabbani lain juga dikenali.

“Jadi, untuk memenuhi hasrat arwah, kami akan cuba mengemudi perjalanan Rabbani sebaik mungkin dengan menerapkan segala pembelajaran dan pengalaman yang diperoleh sepanjang bersama arwah. Semangat perjuangan ustaz akan kami jadikan perisai untuk terus melangkah. Inilah cabaran buat kami.

“Berkaitan siapa yang bakal menggantikan tempat Asri, kami tiada perancangan mencari anggota baru untuk diketengahkan, sebaliknya ingin menunaikan hasrat arwah yang menginginkan anggota Rabbani lain tampil berani ke depan,” kata Azadan ketika ditemui selepas majlis tahlil di Rabbani Productions (M) Sdn Bhd, Taman Manjalara, baru-baru ini.

Majlis tahlil yang diadakan selepas Isyak itu dihadiri rakan artis seperti anggota Hijjaz, Inteam dan Saujana.

Kata Azadan, mereka memilih pejabat Rabbani untuk majlis tahlil itu selepas beberapa hari di rumah ibu arwah di Kampung Bukit Lanchong kerana ingin mengimbau kembali kenangan susah senang, perahan idea bersama dengan insan yang mesra disapa Ustaz Asri ini.

“Selepas kematian arwah Khamis lalu, inilah kali pertama kami menginjakkan kaki ke pejabat tanpa kehadiran insan bernama Ustaz Asri. Janggal rasanya. Rasa sedih dan hiba menyelubungi diri kami.

“Barang-barang arwah dalam biliknya langsung kami tidak usik ataupun ubah. Bagi kami, biarlah ia begitu kerana itulah pengalaman terakhir bersama arwah di pejabat. Baju terakhir yang dipakainya pun masih tergantung dan kami biarkan saja.

“Sukar sebenarnya kerana di sinilah tempat kami bekerja dan memerah idea untuk Rabbani. Kejayaan dan keperitan setiap dari kami bermula dari sini. Tetapi, kami anggap seperti tiada apa berlaku kerana yakin semangatnya akan sentiasa bersama,” katanya.

Mengenai persembahan di Hotel Singahsana yang dimeterai dua hari sebelum pemergian arwah, Azadan berkata, ia tetap diteruskan sepanjang Ramadan ini kerana ia menjadi aktiviti wajib Rabbani setiap tahun.

“Tahun ini menandakan sudah 18 tahun Rabbani menjalin kerjasama dengan hotel itu. Kami akan mengadakan persembahan bermula 4 Ramadan.

“Sudah tentu ada kelainan dalam persembahan kali ini. Sekiranya dulu, Ustaz Asri akan menerajui sebagai vokalis, kali ini kami semua tampil menyanyi bersama-sama,” katanya.

Kata Azadan, mereka juga bakal tampil dengan satu lagu istimewa sebagai penghargaan kepada perjuangan Allahyarham dalam irama nasyid. Lagu yang menyentuh kepada erti persahabatan itu tercetus daripada cadangan peminat dan rakan terdekat.

“Rabbani juga akan bekerjasama dengan Raihan dan Hijjaz dalam masa terdekat ini untuk menghasilkan satu lagu atas permintaan isteri arwah, Halizah Shahadan,” katanya.

Sementara itu, Halizah atau lebih mesra dipanggil Noor Jannah, 39, mengakui agak sibuk ketika ini menguruskan anak-anak serta beberapa perkara penting. Katanya, semua itu dapat mengelakkan dirinya daripada terus teringatkan arwah suami.

Katanya, anggota Rabbani dan rakan lain banyak membantunya dalam menghadapi situasi itu.

“Sekarang ini, kakak sibuk menguruskan majlis tahlil dan beberapa perkara, jadi tidak teringat sangat. Tetapi, tidak tahulah selepas ini. Cuma, kakak tahu walau apa keadaan sekalipun mesti kuat semangat kerana anak-anak masih kecil lagi. Banyak perkara yang perlu dilakukan dan tanggungjawab semakin besar.

“Namun, kakak bersyukur kerana anggota Rabbani yang lain serta rakan begitu mengambil berat akan keadaan kami. Anak-anak pula dilihat sudah dapat menerima kenyataan.

“Cuma kekadang ada yang menangis. Apabila jadi begitu, kakak panggil semua anak kumpul bersama dan beri nasihat serta motivasi buat mereka. Apa kakak tekankan ialah pelajaran itu penting dan jangan sesekali kesedihan merosakkan prestasi akademik.

Lagipun, ada dua anak kakak yang bakal menghadapi peperiksaan besar, Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Jadi, kakak tidak mahu mereka begitu sedih hingga terganggu pelajaran,” katanya.

Asri meninggal dunia akibat serangan jantung. Allahyarham meninggalkan enam cahaya mata, Mohd Nasimuddin, 15, Mohd Fathi, 14, Nur Atikah, 12, Mohd Ilham, 10, Soffiyah Munawwarah, 6, dan Hamdi Rabbani, 5.

No comments: