Wednesday, August 19, 2009

"Biarlah kali ini sampai mati"

"Biarlah kali ini sampai mati"


kucupan daripada suami buat isteri tercinta.


TINGGALKAN spekulasi dan hindarkan daripada melemparkan dakwaan yang bukan-bukan. Sebaliknya, doakanlah kebahagiaan pasangan merpati sejoli ini yang baru saja bergelar suami isteri.

Itulah harapan yang dipanjatkan oleh komposer terkenal, Mohd. Faizal Maas atau Ajai yang memilih Norliza Mohamad Ilias atau Liza sebagai suri di hati.

Seluruh kerabat seni sebelum ini sedia maklum, Ajai dan Liza adalah pasangan kekasih.

Perkara itu bukan rahsia lagi, lebih-lebih lagi sejak setahun yang lalu, Ajai dan Liza sering dilihat berdua dalam pelbagai acara.

Selepas rumah tangga yang dibina dengan penyanyi terkenal, Nurul berakhir, Ajai pada awalnya pernah terfikir untuk melupakan hasrat untuk berkahwin lagi.

Ini kerana, pengalaman gagal dalam perkahwinan pertama seperti 'mimpi ngeri' buat komposer yang juga seorang penyanyi masyhur ini lagi.

Namun, kalau sudah namanya takdir, Ajai tidak mampu menolaknya, jauh sekali untuk bercakap takbur menghindar jodoh yang ditetapkan buatnya.

"Pada awalnya, saya bimbang akan gagal dan kecewa lagi, tetapi bila difikir-fikirkan, siapa saya untuk menghalang ketentuan Ilahi.

"Saya terima jodoh saya kali ini dan tentunya saya tidak lupa untuk memanjatkan doa kepada Allah agar perkahwinan saya kali ini kekal sampai mati," Ajai menyuarakan harapannya.

Kebetulan pula, jodoh kedua Ajai kali ini juga wanita yang berasal dari Pulau Mutiara, Pulau Pinang sama seperti negeri asal kelahiran bekas isteri terdahulu.

"Ini semua kerja Tuhan. Saya sendiri tidak menyangka jodoh saya kali ini juga dengan orang Pulau Pinang," kata Ajai sambil mengukir senyuman penuh makna.

Bertemu jodoh kali kedua pada usia 34 tahun, kata Ajai, dia percaya kematangan akan datang seiring dengan masa apatah lagi isterinya kali ini berbeza usia tiga tahun daripadanya.

Liza yang berusia 37 tahun dari kaca mata Ajai merupakan seorang wanita yang memiliki 98 peratus ciri-ciri yang dimilikinya untuk dijadikan calon isteri.

Paling utama personaliti kelahiran Johor itu menjelaskan, Liza yang juga Pengurus Acara dan Pengurusan Artis di syarikat rakaman milik Ajai, Wake The Baby Sdn. Bhd. turut disenangi anak tunggalnya, Ayu Nazirah, 11.


AYU NAZIRAH (kiri) di samping papanya, Ajai (tengah) dan mama barunya, Liza.


"Saya gembira kerana Liza faham kedudukan saya yang mempunyai seorang anak. Lebih membuatkan saya bersyukur ialah hubungan Liza dan Ayu sangat akrab.

"Ini membuatkan saya tidak teragak-agak untuk menamatkan zaman duda saya dengan Liza," ujar Ajai menceritakan hubungan akrab anaknya dengan isterinya itu.

Ajai dan Liza juga memilih untuk bernikah menjelang bulan Ramadan kerana itulah tarikh paling ideal buat mereka selepas semua kerja sudah dibereskan.

"Kalau ikutkan kami merancang awal tahun, lepas tu tunda pertengahan tahun. Semuanya tak jadi sebab banyak kerja yang perlu diuruskan.

"Alhamdulillah, akhirnya 15 Ogos merupakan tarikh yang paling ideal dan kerana itu kami memilih untuk melangsungkannya," kata Ajai menjelaskan persoalan banyak pihak yang tertanya-tanya bila mereka akan mendirikan masjid.

Dan kini, semuanya sudah berakhir. Ajai mahu mengajak isterinya memberi tumpuan pada kehidupan baru yang akan mereka lalui.

Sayang sekali, Ajai dan Liza tidak ada perancangan untuk berbulan madu memandangkan keadaan semasa yang tidak mengizinkan lebih-lebih lagi disebabkan penularan wabak H1N1 yang membimbangkan.

"Tinggalkan dulu bab bulan madu kerana yang penting ialah kami mahu melalui kehadiran bulan Ramadan bersama-sama," bersemangat Ajai menceritakan hasrat menyambut bulan puasa dengan isteri tercinta.

Sekali lafaz

SEMENTARA itu, Ajai dan Liza diijab kabul dalam satu majlis akad nikah yang diadakan cukup sederhana di Masjid Negeri, Pulau Pinang.

Ajai sah bergelar suami Liza dengan hanya sekali lafaz di hadapan Penolong Pendaftar Nikah Bandaraya Pulau Pinang, Mansor Taib.

"Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar," demikian reaksi Ajai pada wartawan sejurus selepas dinikahkan.

Pada majlis pernikahan itu, Ajai menghadiahkan Liza wang hantaran berjumlah RM15,000 serta mas kahwin berjumlah RM1,001.

Tidak ketinggalan sepasang kasut dan beg tangan berjenama Louis Vuitton serta hantaran-hantaran lain.

Sementara Liza pula menghadiahkan suaminya itu sebentuk cincin jenama Bulvgari, sebuah telefon bimbit Blackberry dan beberapa hantaran lain.

Liza yang tidak putus-putus mengukir senyuman selepas bergelar isteri Ajai juga memanjatkan kesyukuran kerana perkahwinan mereka berdua berjalan lancar.

"Insya-Allah saya akan cuba menjadi isteri yang solehah dan ibu yang baik kepada Ayu (anak tirinya)," ikrar Liza.

Liza bagaimanapun, tidak akan sama sekali memisahkan hubungan Ayu dengan ibu kandungnya, Nurul.

Sebaliknya, Liza akan memikul tanggungjawab ketika Ayu berada bersama-samanya.

"Tidak sukar untuk mendidik Ayu kerana dia seorang anak yang baik dan mudah mendengar kata," kata Liza lagi.

No comments: