Wednesday, August 19, 2009

Judul filem, pengisian dan mentaliti penonton

Judul filem, pengisian dan mentaliti penonton


SOFIA Jane dalam satu babak filem Perempuan, Isteri dan...


ISU filem-filem kita yang menghadapi masalah bukanlah perkara baru. Sejak dari dulu lagi, filem-filem kita memang sudah ada macam-macam masalah.

Daripada masalah yang remeh-temeh seperti judul filem sampailah kepada pengisian apa yang hendak kita 'sumbatkan' dalam sesebuah filem. Isu-isu seperti itu memang tidak pernah selesai sampailah sekarang.

Suatu ketika dulu contohnya, pengarah U-Wei Haji Saari pernah tampil dengan filem arahannya yang berjudul Perempuan, Isteri dan Jalang. Isu judul filem beliau itu memang cukup sensasi.

Namun, kerana perkataan 'jalang' yang dikatakan kurang sopan bunyinya itu, judulnya terpaksa dihadkan kepada Perempuan, Isteri dan ...

Berapa ramai penonton yang membuat andaian seperti itu? Sampai sekarang kita tidak pasti. Adakah yang kata begitu orang kampung, orang bandar atau siapa mereka itu?

Mungkin kita kenalah akur dengan pandangan pihak-pihak yang amat prihatin dalam isu-isu seperti itu. U-Wei pun mungkin sudah faham.

Terbaru penerbit Raja Azmi Raja Sulaiman juga dikatakan terpaksa menukar judul filem terbaru terbitannya yang pada asalnya berjudul Anu Dalam Botol kepada ... Dalam Botol.

Judul-judul baru itu kedengaran lebih padat dan sensasi. Ini kerana, ... (titik-titik atau dot dot) itu sendiri boleh menimbulkan tandatanya kepada para penonton. Barangkali ada sedikit tarikan di situ.

Tetapi penerbit dan pengarah seperti U-Wei dan Raja Azmi mungkin boleh sesak nafas dibuatnya. Apa yang penting, filem-filem mereka akhirnya mesti ditayangkan juga di pawagam-pawagam. Kalau tidak, rugilah keluar duit sampai RM1 juta untuk bikin filem.

Secara tidak disedari keprihatinan kita itu mengundang persoalan yang lain pula. Kita seolah-olah masih bengap dalam menentukan mana lebih penting, soal judul filem atau 'apa yang ada' dalam sesebuah filem itu.

Sebab itu tidak hairanlah, judul-judul filem kita mesti gempak atau hebat bunyi-bunyinya. Barulah boleh tarik ramai penonton ke pawagam.

Soal cerita apa, itu perkara nombor dua. Apa yang penting ialah kutipan tiketnya mesti bertaraf box-office. Penerbit perlu untung. Para penonton memuji atau menyumpah seranah selepas keluar panggung, itu perkara nombor tiga.

Dalam hal ini, kadang-kadang kita pelik juga macam mana filem-filem yang bagus jalan ceritanya seperti tidak kisah pula fasal judul-judul filem mereka. Misalnya filem dengan judul Taken, Sign, Unbreakable dan sebagainya.

Oh! terlupa pula kita. Itu adalah filem-filem Hollywood yang kos pembikinannya menyamai atau melebihi bangunan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang terletak di Hulu Klang, Selangor.

Namun, tidak dinafikan kita ada filem Melayu yang bagus daripada segi jalan cerita dan falsafahnya. Contohnya, filem berjudul Wayang arahan Dr. Hatta Azad Khan yang ditayangkan di pawagam seluruh negara sedikit waktu dulu.

Sayangnya, filem itu dikatakan kurang mendapat sambutan ramai ketika tayangannya. Mungkin judul filem itu yang tidak sensasi antara penyebabnya.

Selain isu judul-judul filem, penerbit dan pengarah filem kita juga selalu sahaja berdepan dengan masalah kecelaruan matlamat dalam menerbitkan sesebuah filem.

Paling ketara soal pengisian dalam sesebuah filem. Ketika isu mat-mat rempit bermaharajalela di jalan-jalanraya, maka kita pun sibuklah menerbitkan filem tentang remaja yang berlumba haram.

Kita kononnya mahu mengajar para penonton supaya menjauhi gejala-gelaja yang tidak sihat seperti bohsia, dadah atau pertaruhan haram terutamanya di kalangan remaja.

Sedangkan tanpa disedari, babak yang dipaparkan dalam filem-filem sebegitu lebih mengajar golongan muda menjadi sebaliknya. Mungkin mereka akan menjadi 'lebih pandai' daripada sebelumnya.

Ini kerana ramai remaja yang pada mulanya tidak tahu tentang gejala-gejala sosial seperti itu menjadi lebih hebat daripada apa yang telah dipaparkan menerusi filem.

Jika benarlah para penerbit filem kita mahu mendidik golongan muda menjadi lebih baik, tumpuan sepatutnya ditujukan bukan kepada anak-anak muda, tetapi khusus buat kalangan ibu bapa.

Sebabnya, ibu bapa merupakan pencetus utama dalam mencorak warna-warni kehidupan masa depan anak-anak mereka. Sama ada menjadi anak yang baik atau sebaliknya.

Pendidikan seharusnya bermula sejak dari kecil di rumah dan bukannya di atas motosikal, kereta atau di jalan-jalanraya sesudah anak-anak dewasa.

Tetapi sehingga kini, belum pun terdengar ada penerbit atau pengarah filem kita yang mahu menerbitkan filem-filem sebegitu.

Soal siapa mahu mengajar siapa dalam medium perfileman juga tidak timbul. Para penonton masuk panggung kerana mereka mahu mencari hiburan atau menimba pengalaman baru.

Tugas penerbit atau pengarah filem seharusnya memerah idea bagaimana mahu menghasilkan karya-karya yang bermutu. Para penonton mengambil iktibar atau sebaliknya, itu bukan kuasa penerbit mahupun pengarah filem.

Isu judul filem atau perkara remeh-temeh yang lain sepatutnya sudah tidak timbul lagi. Kalaulah perkara-perkara seperti itu masih menjadi isu, maka kita mungkin boleh menyamakan mentaliti para pembikin filem kita lebih kurang sama dengan tahap pemikiran para penonton.

Ini kerana, golongan yang dikategorikan sebagai salah satu trend setter dalam masyarakat, para penerbit dan pengarah filem kita sepatutnya melangkaui tahap pemikiran audiens mereka.

Jika tidak, filem-filem kita bukan sahaja tidak akan pergi ke mana, jauh sekali ke persada dunia, malah para penonton juga akan terus membandingkan filem-filem kita dengan filem-filem dari luar negara. Sampai bila-bila.

No comments: