Wednesday, August 19, 2009

Program realiti perkenalkan budaya tempatan

Program realiti perkenalkan budaya tempatan


Lam Swee Kim (empat dari kanan) bersama dengan krew produksi dan sebahagian daripada peserta Discover Smiles Zoom! Malaysia pada majlis sidang media di Menara Kuala Lumpur, baru-baru ini.


ANDA seorang rakyat Malaysia, tahu berbahasa Melayu, melepak di kedai mamak sambil melayan teh tarik atau menikmati mi rebus sambil berbincang tentang rancangan TV tempatan terbaru.

Tetapi, sebagai rakyat Malaysia, adakah anda tahu cara membuat kulit kuih popiah dengan betul, menari tarian tradisional Melaka, Dondang Sayang ataupun membuat penonton tersenyum dengan persembahan wayang kulit.

Semua ini mungkin nampak remeh tetapi kenyataannya ramai yang lebih tahu memasak spaghetti dengan betul dan lebih arif menari tarian moden ketika di kelab malam daripada menguasai tarian tradisi sendiri.

Atas kesedaran itu, 8TV mempersembahkan sebuah program realiti Discover Smiles Zoom! Malaysia yang cukup menghiburkan dan berbeza dengan program-program realiti yang sedia ada.

Discover Smiles Zoom! Malaysia yang memulakan siarannya pada 29 Julai lalu, setiap Rabu pukul 9.30 malam diacarakan oleh pengacara jelita, Aishah Sinclair.

Dengan kerjasama Esso Malaysia Berhad (Esso), ExxonMobil Malaysia Sdn. Bhd. (Mobil) dan Kementerian Pelancongan Malaysia, rancangan realiti ini menguji pesertanya dengan cabaran berkenaan kebudayaan masyarakat setempat.

Program ini menampilkan 48 orang peserta warganegara Malaysia yang akan memulakan perjalanan merentasi Semenanjung Malaysia dan menyelesaikan tugasan-tugasan yang telah disediakan.

Sebagai sebuah negara yang penuh dengan sejarah dan budaya yang berbeza-beza, Discover Smiles Zoom! Malaysia juga akan membawa penonton meneroka kawasan-kawasan yang menarik sekitar Semenanjung Malaysia.

Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan, Pemasaran dan Komunikasi 8TV, Lam Swee Kim berkata, Discover Smiles Zoom! Malaysia merupakan program realiti TV pertama 8TV yang menampilkan dan mempromosikan lokasi-lokasi pelancongan tempatan.

"Rancangan ini bukan sekadar program realiti biasa. Anda dapat menyaksikan peserta-peserta berdepan dengan beberapa tugasan mencabar pada setiap minggu.

"Yang menariknya, kebanyakan lokasi yang kami pilih merupakan tempat yang amat menarik tapi kurang diketahui ramai terutamanya generasi muda," ujarnya pada satu sidang media memperkenalkan Discover Smiles Zoom! Malaysia di Menara Kuala Lumpur, di sini baru-baru ini.

Tambahnya, Discover Smiles Zoom! Malaysia dapat membuka mata orang ramai untuk lebih menghargai tempat-tempat menarik di Malaysia disamping mengenali sesebuah tempat dan masyarakat dengan lebih mendalam.

Setiap minggu, dua kumpulan yang terdiri daripada dua orang setiap kumpulan akan berentap sesama sendiri.

Peserta-peserta perlu memandu ke destinasi yang telah ditetapkan dan mereka akan diuji dari segi pengetahuan am, sejarah dan budaya.

Setiap kumpulan akan dibekalkan dengan kad ExxonMobil 'Smiles' dengan jumlah mata tertentu yang membolehkan mereka mendapatkan petrol, makanan dan minuman.

Bagaimanapun, setiap kumpulan perlu bijak mengatur perbelanjaan sehingga perjalanan mereka tamat.

Destinasi-destinasi pilihan antaranya Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Perlis, Kedah, Pahang, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Perak, Kuala lumpur dan Selangor.

Setiap minggu, pemenang akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM3,000, 50,000 mata kad 'Smiles' dan dua botol minyak hitam Mobil-1 (4 liter setiap botol).

Pemenang tempat kedua pula akan membawa pulang wang tunai RM1,000, 30,000 mata kad 'Smiles' dan dua botol minyak hitam Super 2000 (4 Liter setiap botol).

Menurut Lam lagi, untuk musim pengenalan ini, negeri-negeri cabaran hanyalah di sekitar Semenanjung Malaysia dan jika mendapat sambutan, 8TV akan membawa peserta menjelajah ke Sabah dan Sarawak pula pada musim akan datang.

"Selain itu, kami juga ada membuat pertandingan antara selebriti iaitu Alif Satar, Alvin Wong, Anith OIAM dan Baki Zainal.

"Mereka akan menjelajahi sekitar Kuala Lumpur sahaja tetapi penonton akan terkejut kerana walaupun mereka orang Kuala Lumpur tetapi tidak mengetahui sepenuhnya selok belok bandar mereka sendiri," ujarnya.

Menariknya, selain berhibur, program ini juga tidak lupa dengan golongan yang kurang bernasib baik.

Setiap mata yang dikumpulkan dalam kad 'Smiles' sewaktu pertandingan berlangsung akan didermakan kepada badan-badan kebajikan yang terpilih di dalam setiap episod.

No comments: