Wednesday, August 19, 2009

Ratu Solo Wangi

Ratu Solo Wangi

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my


SOFIA JANE sebagai Ratu Solo Wangi.

Berikan apa saja watak kepada Sofia Jane, dia tidak pernah menghampakan

SOFIA Jane Hisham bukan nama asing di persada seni. Malah sejak 90-an lagi, aktres jelita kepada tiga orang anak ini antara penyeri di layar perak. Siapa boleh lupa watak panas sebagai Zaleha yang pernah dipegangnya menerusi filem penuh kontroversi, Perempuan, Isteri dan ......

Begitu juga wataknya sebagai gadis kasar dalam filem Cinta Kita di sisi aktor, Arman Graseka. Paling tidak pun sebagai Tun Teja dengan pesona wajah yang cukup jelita dengan warna bibir merah menyala di dalam Puteri Gunung Ledang.

Tak dilupakan watak Mona, wanita yang cukup taksub dengan kecantikan di dalam filem Susuk yang ditayangkan tahun lalu.

Memulakan kerjaya lakonan seawal usia belasan tahun hingga kini hampir ke ambang 40-an, isteri kepada Meor Zain Azman ini pernah melakar kejayaan dalam Anugerah Skrin 2007.

Ketika itu, Sofia dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik selepas melakonkan watak isteri yang teraniaya dalam drama terbitan JS Pictures (milik Sheila Rusly dan suaminya, Jinggo) berjudul Sebuah Ijtihad. Ternyata percaturan Sofia melakukan come back membuahkan hasil apabila pelawaan Sheila Rusly diterimanya.

SOFIA JANE merasmikan pembukaan butik Bahari Asyek di Plaza Shah Alam, baru-baru ini.

Bagaimanapun, hakikatnya selepas mendirikan rumah tangga pada 1995 dan memikul tugas sebagai suri rumah, dalam setahun kemunculannya di kaca TV dan filem agak terbatas dan boleh dikira dengan jari saja kemunculannya sebagai pelakon. Bukan kerana terlalu selektif atau mewujudkan nilai eksklusif, sebaliknya Sofia mempunyai alasannya sendiri.

"Bukan tiada tawaran berlakon yang datang, cuma faktor masa yang tidak bersesuaian. Bayangkan tawaran yang diterima datang dalam tempoh yang dekat seperti contoh penggambaran akan dilakukan minggu depan tanpa memberikan skrip terlebih dulu sedangkan saya lebih suka benda yang teratur.

"Sebagai contoh, dulu, skrip filem akan dapat dua bulan sebelum memulakan penggambaran. Berbeza sekarang, skrip itu boleh datang pada saat akhir. Saya akui bukan jenis kategori pelakon yang spontan, hari ini dapat skrip, esok lusa juga boleh terus berlakon. Saya lebih suka mengkaji watak dan mendalami dulu tuntutan skrip.

"Tapi ada juga pelakon yang dalam kategori spontan. Sebab itu, saya senang bekerjasama dengan mereka yang memahami cara bagaimana saya bekerja. Setidak-tidaknya apabila sebati dengan karakter, ia akan memudahkan saya memulakan tanggungjawab sebagai pelakon di lokasi," katanya yang ditemui Hip sewaktu melancarkan butik Bahari Asyek di Plaza Shah Alam baru-baru ini.


Sesekali muncul di kaca TV atau skrin lebar, lalu tanggungjawab lebih besar untuk memastikan hasil dan mutu lakonannya pada tahap yang mampu memuaskan hati pengarah di samping menunggu reaksi penonton yakni penggemar bakat lakonannya.

"Kalau saya meletakkan diri saya sebagai peminat pun, nescaya saya mengharapkan pelakon kegemaran akan memberikan prestasi yang baik dan kelainan dalam setiap watak yang diamanahkan. Sebagaimana saya mengharapkan kejutan terhadap lakonan pelakon kegemaran, saya sendiri pun mahu menampilkan sisi watak lain yang boleh ditonjolkan kepada penonton.

"Saya sendiri sukakan kejutan dan ingin melihat sejauh mana mampu saya tawarkan variasi lakonan yang ada. Ia seperti menguji diri sendiri sama ada saya dapat menuju ke arah yang diharapkan. Kita sendiri sebagai pelakon tidak akan tahu jangkaan penonton. Bimbang juga penonton akan muak dengan lakonan saya atau terus menyukai persembahan saya," katanya..

Tahun ini, sekali lagi Sofia menerima tawaran Sheila Rusly membintangi drama 20 episod arahan Azman Yahaya atau Jinggo berjudul Cucu Betong yang dijangka siarannya di TV3 pada hujung tahun ini. Tidak sia-sia usaha Sheila menawarkan watak bunian kepadanya hingga membuka hati Sofia lagi.

Cucu Betong adalah sambungan kepada Anak Betong yang pernah disiarkan di TV3 sebelum ini. Memegang watak sebagai Ratu Solo Wangi, Sofia berkata, watak fantasi sebegitu memang cukup diminatinya. Apatah lagi sejak kecil, golongan sepertinya cukup menggemari ceritera dongeng seperti Cinderella, Snow White atau apa saja watak seperti bergelar puteri. Watak itu seperti membawanya ke zaman kanak-kanak.

"Gara-gara solekan yang dikenakan untuk watak itu, anak-anak saya pun terkejut dan melihat saya bukan seperti Mama mereka. Selalunya, saya pulang ke rumah tanpa menanggalkan solekan dan lebih selesa mencucinya di rumah. Sampai di rumah, secara tidak langsung mereka berpeluang melihat wajah saya dengan solekan di wajah.

"Di sini, saya melihat aspek solekan dan kostum memainkan peranan penting untuk mengubah mood dan karakter pelakon. Ia secara tidak langsung memberi perasaan berbeza kepada saya. Untuk watak ini juga saya berbahasa baku. Saya senang bekerja dengan produksi Sheila dan sebab itu saya menerima tawaran ini," katanya.

Terpikat cara Kabir Bhatia

IBU kepada Arissa (13), Khadija (9) dan Soraya (6) ini tanpa berselindung memberitahu drama yang sedang ditontonnya kini ialah Nur Kasih. Sambil berseloroh, Sofia memberitahu jangan sesekali mengganggunya pada Jumaat jam 9 malam kerana ketika itu tumpuan penuh diluangkan untuk menonton drama terbabit.

Menurut Sofia, dia turut akan menonton drama atau filem yang membabitkan lakonan rakannya seperti Vanidah Imran. Malah menerusi drama Nur Kasih arahan Kabir Bhatia itu juga pelakon kegemarannya, Liza Othman turut berlakon.

"Bagi saya drama itu mempunyai jalan cerita yang bagus dan Kabir berjaya mengubah sisi lain yang ada pada pelakonnya. Sebagai contoh, saya melihat lakonan Abang Jalal (merujuk kepada Datuk Jalaluddin Hassan) seperti sewaktu awal kemunculannya hingga berjaya membuatkan saya menitiskan air mata.

"Begitu juga dengan kemunculan beberapa pelakon lain termasuk Remy Ishak. Sebelum ini sewaktu dia berlakon filem Anak Halal, saya tidak melihat impak kehadirannya. Tetapi ia berbeza dengan lakonannya dalam drama ini. Sinematografi sentuhan Kabir juga berjaya menggamit perhatian penonton.

"Kabir termasuk pengarah fotografinya bijak menangkap emosi penonton dengan warna dan objek yang indah dalam setiap karyanya. Kita seolah-olah boleh merasai apa yang ingin ditonjolkan. Setakat ini, saya baru saja ketinggalan menonton tiga episod drama ini kerana mengikut suami bercuti ke Hawaii," katanya yang secara kebetulan kerap berlakon dengan pelakon yang seangkatan dengannya berbanding generasi baru.

PROFIL: Sofia Jane

  • NAMA SEBENAR: Sofia Jane Hisham
  • TARIKH LAHIR: 14 Februari 1972
  • TEMPAT LAHIR: London, England
  • ADIK-BERADIK: Anak sulung daripada tiga beradik
  • STATUS: Berkahwin (9 September 1995)
  • SUAMI: Meor Zain Azman Datuk Meor Mohamed Taib
  • ANAK: Arissa, Khadija dan Soraya
  • FILEM: Mira Idora, Harry Boy, Kekasih Awal & Akhir, Cinta Kita, Perempuan, Isteri dan ..., Jimi Asmara, Suratan Kasih, Puteri Gunung Ledang, Susuk

No comments: