Wednesday, August 19, 2009

Dengarnya...: Sibuk nafi tapi nikah juga

Dengarnya...: Sibuk nafi tapi nikah juga

DULU beriya-iya menafikan, sekarang sudah jadi suami isteri. Inilah realiti dan penyakit di kalangan segelintir artis atau personaliti dalam dunia hiburan. Hakikatnya hubungan cinta rahsia Akhil Hayy dan Waheeda berakhir di jenjang pelamin.

Kalau Cik Normah nak sebut bukan Waheeda dan Akhil Hayy saja contoh yang ada. Banyak, tapi tak payah nak sebut semuanya. Yang pasti di kalangan artis, baik personaliti, pelakon atau penyanyi, mereka akan buat drama dulu sebelum akhirnya dilihat di atas pelamin.

Dalam hal Akhil Hayy dan Waheeda pula, dulu tak nak mengaku, sekarang sudah terang lagi bersuluh. Lalu tidak hairanlah jika buka laman sesawang atau portal hiburan, termasuk SMS yang disiarkan di akhbar ada yang menempelak pasangan ini. Memang pedih, tapi itulah hakikat yang harus diterima setiap mereka yang selalu menjadi perhatian masyarakat.

Teman Cik Normah ada menghantar SMS berkata, memanglah perkahwinan mereka itu sudah tertulis. Cik Normah akur soal jodoh ini bukan kuasa kita. Cuma apakan daya apabila hati sudah suka, dunia ibarat ‘ana yang punyalah’.

Teringat Cik Normah kepada cerita rakan baik Akhil yang juga seorang jurugambar termasuk beberapa orang lagi rakan wartawan yang dikatakan baik dengan Waheeda. Kononnya, demi menjaga hati dan permintaan mereka supaya pernikahan itu dilaporkan selepas majlis selesai. Akhirnya, mereka reda juga biarpun majlis itu dihidu ramai lagi rakan wartawan.

Lucunya, salah seorang daripada mereka itu berseloroh akhirnya ‘ana juga yang tertipu’. Ini kerana pada mulanya majlis itu hanya mengundang wartawan tertentu saja. Tapi apa boleh buat, benda yang tak dijangka ini bukan kehendak kita. Ikutkan memang boleh teman wartawan terbabit tulis saja berita awal mengenai majlis pernikahan mereka pada hari itu.

Tak apalah perkara sudah berlalu. Waheeda pun sudah rasmi bersara dari bidang seni. Cuma Cik Normah tak tahu sampai bila ‘dendam’ orang terhadap penafian mereka itu berlanjutan. Tapi sebaik-baiknya, kita lupakan perkara itu. Seperti kata Akhil, tutup buku lama, buka buku baru. Macam mana pun, luka itu memang boleh disembuhkan, tapi parutnya susah nak hilang.

Cik Normah yakin ada manusia yang tidak mudah memaafkan orang lain dan terus-terusan akan mencari kesalahan pasangan itu. Ini perkara biasa. Ketika ini, Cik Normah tunggu juga kesudahan cinta Norman Hakim dan Memey Suhaiza. Abby pula macam mana agaknya kesudahan cintanya dengan pelakon baru bernama Zul. Diam saja kebelakangan ini.

No comments: