Wednesday, August 19, 2009

Mawi tak serik buat ‘stunt’

Mawi tak serik buat ‘stunt’
Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

FILEM Aduh Saliha yang menjadi filem sulung Asmawi Ani atau Mawi belum juga siap, namun peminat tetap dapat melihat aksi lakonannya menerusi filem Jin Notti terbitan KRU Studios yang akan ditayangkan pada hari raya pertama nanti.

Bukan hanya mengembangkan bakat dalam bidang lakonan, malah Mawi menyahut cabaran melakukan sendiri aksi stunt (lagak ngeri) sehingga mengalami kecederaan di bahagian lutut kanan selepas penggambaran babak pergaduhan dalam filem arahan Azhari Zain itu.

Dia yang melakonkan watak Aziz, seorang pegawai polis dalam filem itu menganggap kecederaan kecil berkenaan berlaku secara tidak sengaja dan tak menjejaskan perjalanan penggambaran.

Katanya, kecederaan berkenaan berlaku ketika penggambaran satu babak pergaduhan dalam kelab malam. Ketika hendak melakukan aksi lompat, entah bagaimana kedudukan Mawi tidak stabil menyebabkan dia berlanggar dengan kerusi dan meja berhampiran.

“Apa yang memeritkan ialah apabila saya terjatuh atas skru yang terlekat pada sebuah meja. Ia menyebabkan saya luka dan kesan calar pada lutut sebelah kanan.

“Bagaimanapun kecederaan itu tidak begitu serius. Saya cuma sengal pada lutut. Selepas kejadian itu saya cuma berehat selama 15 minit, sebelum menyambung gambaran semula dan lebih berhati-hati.

“Waktu itu Ekin turut berada di lokasi. Dia juga risau melihat keadaan saya. Namun, saya yang belum berkahwin dengan Ekin ketika itu memaklumkan kepadanya supaya tidak perlu risau,” katanya ketika ditemui pada sesi prebiu filem itu, baru-baru ini.

Penyanyi yang popular dengan lagu Aduh Saliha itu mengakui gementar menantikan reaksi peminat terhadap filem lakonannya itu.

Apapun, kata pemuda kelahiran Felda Taib Andak, Kulai, Johor ini, dia tetap berpuas hati kerana dapat melakukan sendiri aksi stunt itu biarpun ia filem pertama lakonannya.

“Memang puas apabila dapat melakukan sendiri aksi stunt dalam filem ini. Sebagai pelakon baru saya tidak berasa kekok untuk melakonkan aksi stunt. Malah saya juga pernah mempelajari serba sedikit ilmu silat sebelum ini.

“Biarpun dalam filem ini tidak menunjukkan aksi silat, namun ketika aksi bergaduh saya dapat menggunakan ilmu silat yang pernah dipelajari.

“Saya akan terus buat ‘stunt’ sendiri jika ada peluang untuk berlakon lagi, namun tengok pada aksi juga, kalau aksi yang agak bahaya, saya akan serahkan kepada yang lebih pakar,” kata Mawi

Mengenai lakonannya selepas menyaksikan sendiri filem itu, Mawi memaklumkan sedikit lega dan pada waktu sama berdebar menantikan reaksi orang ramai.

“Saya agak takut dengan reaksi orang ramai sebaik menonton filem ini. Maklumlah ini filem pertama saya. Apatah lagi tiada pengalaman langsung dalam lakonan.

“Saya bersyukur kerana mendapat gandingan pelakon yang mantap dan kenal lama. Di samping bimbingan dan tunjuk ajar daripada pengarah (Azhari),” katanya.

Mawi yang digelar Raja SMS pernah dinobatkan Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian tiga tahun berturut-turut pada 2005 hingga 2007 turut aktif dalam bidang belakang tabir. Syarikatnya, MW Entertainment yang ditubuhkan dua tahun lalu sudah menerbitkan beberapa program televisyen.

Projek pertama di bawah syarikat MW Entertainment ialah telemovie komedi - Rumah Baru, Bini Baru, Baru Raya yang dijadualkan siarannya di Astro Prima pada hari raya kedua nanti. Program berkenaan turut menampilkan Ekin dan beberapa pelakon undangan.

Selain itu program travelog, Langkah Mawi yang menjalani penggambaran di Melbourne, Australia, India dan Hong Kong. Jika tiada aral produksi Mawi juga dijangka menerbitkan satu lagi drama 13 episod.

No comments: