Sunday, August 30, 2009

Jarum Emas: Iktibar isu Kartika

Jarum Emas: Iktibar isu Kartika

Oleh ADAM SALLEH
adam@hmetro.com.my

KATA Manohara, dia alami penderaan seksual. Kata pengantin diberi nafas baru, Akhil Hayy: “Ana akan saman!” Kata Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, pula: “Saya tidak akan saman mana-mana pihak!”

Ketiga-tiga mereka mutakhir ini tidak semena-mena jadi tumpuan media. Bukan mudah mencuri publisiti, sebabnya ada artis sampai beruban dan nak bongkok sabut, tetapi publisiti diterima bukan setakat suam-suam kuku, bahkan tiada langsung.

Di sebalik kontroversi perkahwinan Akhil dan Waheeda serta isu Manohara, siapa sangka ibu dua anak yang didapati bersalah minum arak di sebuah hotel di Kuantan memintas populariti bukan setakat ustaz rock dan model sensasi itu tetapi semua artis di nusantara.

Ikutkan, Kartika bukan penyanyi atau pelakon, apatah lagi model hebat seperti Nasha Aziz atau Amber Chia, sebaliknya cuma model sambilan. Saya tidak perasan bila dia ‘menyambil’ dalam bidang diceburi, namun dek kerana dia dijatuhi hukuman sebat oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Kartika menjadi buruan media.

Yang mahalnya, wartawan yang mengejar Kartika bukan saja di tanah airnya, bahkan wartawan CNN sanggup ke kampungnya di Sungai Siput, Perak, untuk bertemu dengannya.

Beritanya pula bertali arus di AFP dan Reuters, disiarkan pula di beberapa akhbar di Britain seperti The Sun dan Daily Mail, bahkan teruja dibuatnya bila pengantara CNN yang cantik manis, Betty Nguyen di Amerika Syarikat berinteraksi dengan wakil mereka, Anna Coren menemuramah Kartika.

Lebih 20 tahun di bidang kewartawanan, seingat saya belum pernah CNN nak menemuramah secara eksklusif artis atau selebriti kita. Namun kita faham Barat sememangnya ada niat serong pada kita dan Kartika menjadi ‘kambing hitam’ bagi mereka menggambarkan keadaan negatif negara kita.

Sama ada Kartika mahu menagih simpati atau mencari populariti, bagi saya mesej yang boleh kita sampaikan pada Barat jelas betapa arak itu haram, haramlah. Sama seperti babi, haram, haramlah juga.

Gara-gara perintah Allah tidak dihiraukan oleh masyarakat akhir zaman ini, baru kelam kabut kita apabila masing-masing menggelabah kerana semakin ramai manusia ‘kojol’ gara-gara penyakit selesema babi atau ‘swine flu’. Di negara kita saja sudah mencatat 71 kematian.

Saya tertarik dengan kesanggupan Kartika disebat sebagai pengajaran kepada kita kerana minum arak. Ada pro dan kontra, namun harus diingat apa yang menimpa Kartika sebenarnya memberi kesedaran pada artis dan selebriti lain supaya jangan main-main dengan satu daripada dosa besar itu.

Bukan nak kata, saya terkenang satu syarikat produksi yang aktif menerbitkan drama dulu, setiap kali selesai penggambaran, produser dan rakan kongsi menjamu kru dengan karaoke dan arak.

Penyudahnya, syarikat tunggang langgang dan akhirnya gulung tikar kerana tidak tahu bersyukur. Kartika dikira tidak bernasib baik sebab ditahan ketika melayan arak jenis Tiger Beer di Cherating Bay Lounge, Hotel Legend, Cherating, Kuantan, pada jam 11.40 malam, 11 Julai 2008.

Bukan mahu membuka aib, tetapi sukar menidakkan dalam anugerah tertentu melalui majlis dinamakan ‘post party’ pelbagai jenis arak disajikan. Di sebalik samar cahaya, kita boleh lihat seorang demi seorang artis atau selebriti kita yang dipuja di TV dan filem selamba memegang gelas arak.

Barangkali mereka memikirkan tiada apa mahu dirisaukan, namun tidak mustahil akan terjadi apabila berlaku serbuan dalam ‘post party’ begitu. Ia sama seperti artis dan pelakon di lokasi atau studio menghisap rokok sambil berjudi dengan bermain terup.

Mereka anggap ia biasa bagi mengisi masa tetapi jika ada pertaruhan dan ada serbuan, sudah pasti artis atau pelakon ini akan dicekup. Ini bukan main-main buat artis dan selebriti yang ‘tahi arak’. Sebabnya kisah artis ditangkap bermain judi pernah saya paparkan di muka depan Harian Metro pada 15 Ogos 1991 dengan tajuk Artis Filem Ditahan Berjudi.

Ringkasan beritanya: “Seorang pengarah, dua pelakon dan sembilan kru filem ditangkap kerana berjudi di Studio Panca Delima, Hulu Klang, petang semalam. Mereka tangkap selepas menjalankan kerja penyuntingan sebuah filem dokumentari dan pengadunan suara sebuah drama dalam studio, pada jam 5.45 petang. Semua 12 orang berkenaan kemudian dibawa ke balai polis Ampang untuk disoal siasat dan memberi kenyataan.

Mereka hanya dibebaskan kira-kira jam 1 pagi setelah dijamin oleh enam penjamin. Setiap seorang dikenakan ikat jamin RM1,000. Ketika ditangkap hanya beberapa orang memegang daun terup manakala yang lain menjadi penonton.

Difahamkan, sebuah meja, kerusi dan daun terup dibawa ke balai polis sebagai barang bukti. Mereka akan dihadapkan ke Mahkamah Rendah Kajang.”

Pelanduk memang mudah lupakan jerat, tetapi jerat tak lupakan pelanduk. Natijahnya, tidak mustahil dalam ‘post party’ kelak ada artis ditangkap kerana arak. Buat Kartika pula, alang-alang menjadi buruan media, tak mustahil selepas ini ada produser atau pengarah memburunya pula.

Cuma nasihat saya pada Kartika andai terlaksana hukuman sebat itu kelak, usah ‘main politik’ keluar penjara terus memakai tongkat atau berkerusi roda, kelak ditempelak orang belum jadi pelakon sudah pandai berlakon.

ADAM: Salam 1Malaysia, Selamat Hari Kebangsaan.

No comments: