Sunday, August 9, 2009

Borak Paknil: Prihatin virus H1N1

Borak Paknil: Prihatin virus H1N1

ASSALAMUALAIKUM! Makin seram pula bila seorang demi seorang gugur menjadi mangsa Influenza A H1N1, senang cerita ‘selesema babi’. Paknil cukup gerun bila bayi juga menjadi mangsa.

Setahu Paknil, ini antara wabak yang cepat merebak dan menggegarkan seluruh dunia.

Dalam kerajaan kita bersungguh mencuba pelbagai pendekatan untuk mengatasi masalah ini, virus ini makin berani pula menyerang.

Kalau dilihat di lapangan terbang, kerajaan negara kita yang tampak cukup beriya memantau mereka yang masuk ke negara kita supaya penyakit yang ‘diimport’ dari luar ini dapat disekat. Siap dengan peralatan canggih dan kakitangan perubatan yang sedia menunggu untuk membuat saringan.

Berbeza di Indonesia. Ketika Paknil di sana untuk Anugerah Planet Muzik baru-baru ini, Paknil lihat pemantauan mereka tidaklah seketat kita. Sekadar mengedar borang kesihatan untuk diisi dan setiba di pintu masuk negara mereka, borang itu cuma dikutip dan penumpang terus bergerak ke imigresen.

Ketika di lapangan terbang juga Paknil lihat tiada yang memakai topeng muka. Bukan kata di Indonesia, di Amerika pun Paknil tidak nampak kesungguhan rakyat dan kerajaan mereka untuk membendungnya.

Ketika Paknil menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Los Angeles (LAX) sewaktu mengikuti rombongan pemenang Anugerah Skrin yang lalu, Paknil dapati mereka juga seperti mengambil ringan penyakit ini. Di LAX langsung tiada alatan pengimbas suhu badan dipacakkan sebagai langkah berjaga-jaga.

Pegawai imigresen di sana lebih runsingkan keselamatan negara mereka daripada pengganas. Cukup banyak prosedur dan soalan yang harus dilalui oleh pelawat negara itu berbanding pemeriksaan kesihatan.

Bukan kata di lapangan terbang, di mana-mana pun Paknil lihat rakyat mereka seperti menjalani kegiatan harian seperti tiada apa yang menakutkan berlaku.

Paknil yang mula-mula bertopeng merasa malu pula bila ada di khalayak kerana mereka masih bebas ke hulu ke hilir terutama bila ada di tempat awam tanpa memakai topeng.

TV mereka juga tidak banyak menghebahkan prosedur pencegahan selesema babi ini. Mungkin tidak gerun dengan kematian angkara wabak ini kerana jumlah kematian harian di negara mereka akibat gejala jauh lebih tinggi.

Ada yang mengatakan, kerajaan negara kita yang berlebih-lebih dalam menangani masalah wabak ini. Sekarang bila angka kematian makin meningkat, baru mereka menghargai tindakan kerajaan kita.

Syabas kepada Kementerian Kesihatan yang terus berusaha menyekat wabak ini. Untuk memastikan setiap pekerja kesihatan sentiasa bersedia memberi bantuan, semua cuti untuk kakitangan kesihatan turut dibekukan.

Pelbagai iklan dan pengumuman dibuat untuk terus menyedarkan rakyat akan bahaya penyakit ini.

Ada sekolah, pusat latihan PLKN dan pusat pengajian tinggi yang terpaksa ditutup kerana bimbang ia melarat dan meragut lebih banyak mangsa.

Kita sudah tidak sebebas dulu lagi. Kita digalakkan supaya mengurangkan aktiviti luar kerana wabak ini boleh merebak melalui udara dan sentuhan.

Paknil pun perlu melalui prosedur pemeriksaan suhu badan setiap hari kerana Astro mengambil langkah memeriksa setiap individu yang memasuki pusat penyiaran kami di Sungai Besi.

Memanglah menyusahkan, tetapi demi kebaikan diri sendiri dan semua pihak, kita harus merelakan. Kita kena akur bahawa serangan penyakit ini bukan perkara main-main.

Paknil kadangkala hairan juga bila melihat masyarakat kita masih mengambil mudah akan masalah ini walaupun ia menjadi tajuk berita utama setiap hari.

Ada yang masih malas untuk menggunakan tisu menutup mulut ketika batuk dan bersin, sedangkan itu adalah cara awal yang terbaik dilakukan untuk membendung virus ini daripada merebak.

Jika penyakit ini tidak dikawal, kita takut negara kita mungkin lumpuh apabila undang-undang darurat pula terpaksa dilaksanakan supaya rakyat tidak terus menjadi mangsa virus H1N1.

Harap-harap janganlah sampai macam tu. Ketika itu nanti baru kita merindui kebebasan pergerakan kita yang pernah kita kecapi sebelum wabak ini menyerang.

Ketika itu juga mungkin kita akan berkurung di rumah sendiri dan banyak pula syarikat, sekolah dan tempat awam yang terpaksa ditutup.

Seharusnya kita beramai-ramai berganding tangan tak kira bangsa, agama dan keturunan untuk berjuang memastikan penyakit ini tidak merebak.

Tapi sayang, sebahagian daripada kita lebih gemar berganding bahu beramai-ramai melakukan demonstrasi jalanan hingga menakutkan lagi rakyat yang sedang dihimpit dengan keresahan akibat penyakit ini.

Pada Paknil, ketika ini kita harus ketepikan perbezaan ideologi, fahaman politik dan perjuangan masing-masing agar masalah selesema babi ini ditangani segera.

Seharusnya kita membantu kerajaan untuk mengurangkan ketegangan dalam masyarakat dan bukan menambah tekanan keselamatan di bumi sendiri.

Duit juga banyak dibazirkan dalam usaha membanteras kegiatan protes jalanan ini ketika kita juga diuji dengan keadaan ekonomi negara yang perlahan.

Malah berjuta ringgit kerugian pula yang terpaksa ditanggung oleh orang ramai akibat ada pihak yang lebih gemar menyusahkan negara.

Kasihanilah rakyat kita yang mahu melalui kehidupan dengan tenang daripada ditambah dengan masalah.

Boleh tak lupakan dulu perjuangan peribadi masing-masing dan bersama beri tumpuan mencari jalan keluar dari kekangan penyakit yang kita sendiri tidak tahu akan kesudahannya?

Setakat artikel ini ditulis, kerajaan masih belum lagi menghalang penganjuran konsert yang menghimpunkan orang ramai.

Kalau hendak diikutkan, di konsert terbukalah penyakit ini senang merebak.

Dalam beribu yang datang menonton konsert, mungkin ada seorang dua menjadi ejen pembawa kuman H1N1 ini. Ketika ini, kemungkinan lebih ramai pula terdedah kepada bahaya penyakit ini.

Paknil bukan nak menakutkan pembaca semua tapi jika kita mengambil langkah pencegahan, tidak mungkin senario yang Paknil katakan tadi akan berlaku. Nauzubillah!

Kita harus bersyukur kerana aktiviti anak seni masih berjalan seperti biasa. Penggambaran drama dan filem masih rancak berlangsung dan begitu juga dengan aktiviti nyanyian.

Malah ketika ini kami rancak menyiapkan program TV untuk hidangan Hari Raya nanti. Paknil sendiri seperti tidak menang tangan dalam memenuhi tuntutan program untuk Aidilfitri nanti.

Harap-harap masalah ini dapat kita tangani bersama secepat mungkin supaya Hari Raya kita nanti akan lebih bererti seperti yang sudah-sudah. Takut pula bila ketika Hari Raya, kita terpaksa berkurung di rumah apabila penyakit makin tidak dapat dibendung. Bayangkan.

Wassalam.

No comments: