Sunday, August 9, 2009

Suntikan antarabangsa KRU

Suntikan antarabangsa KRU

Oleh MOHD NASIF BADRUDDIN
mnasif@hmetro.com.my

KONSEP 1Malaysia yang digagaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak di abad ke-21 kini diterjemahkan oleh KRU menerusi buah tangan terbaru mereka, filem Merong Mahawangsa berlatarkan abad ke-2.

Jarak masa lama berkenaan tidak menjadi penghalang buat kumpulan trio tiga beradik itu memaparkan perpaduan kaum yang wujud sejak zaman kerajaan Langkasuka lagi.

Memperincikan konsep itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KRU Studios, Norman Abdul Halim yang juga penerbit filem ini berkata, kebanyakan filem epik sebelum ini hanya memaparkan satu tamadun saja, tetapi Merong Mahawangsa menonjolkan tamadun semua bangsa.

“Filem ini amat menarik dan bertepatan dengan konsep 1Malaysia kerana menampilkan kaum Melayu, Cina, India dan kuasa besar dalam satu masa.

“Filem epik-aksi ini bukan saja mengetengahkan nama besar dari pelbagai kaum sebagai pelakon utamanya, malah mengangkat seni pertahanan diri seperti silat dan kungfu yang sinonim dengan kaum Melayu dan Cina,” katanya ketika ditemui Selebriti di Pantai Chendering, Terengganu baru-baru ini.

Merealisasikan misi meluaskan sayap ke pentas antarabangsa, Norman berkata, dia yakin filem kelapan terbitan mereka ini mampu menerjah ke pasaran luas dengan mensasarkan memasuki pawagam sekurang-kurangnya di 20 negara.

Katanya, filem yang menelan belanja RM8 juta, iaitu yang kedua termahal selepas Puteri Gunung Ledang itu turut mendapat bantuan geran daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Filem yang mengambil masa 65 hari penggambaran itu menjalani 95 peratus penggambaran di sekitar pantai di Terengganu dan selebihnya di Kuala Lumpur dan Kuantan, Pahang.

“Penerbitan Merong Mahawangsa juga bertujuan membantu kerajaan memperkenalkan khazanah negara pada mata dunia. Sebahagian besar filem ini menggunakan bahasa Inggeris iaitu kira-kira 70 peratus, manakala selebihnya bahasa Melayu klasik dan bahasa Cina.

“Justeru kita menampilkan adiwira yang boleh berkomunikasi dalam dua bahasa dan pelakon terbaik yang diberi peranan ini ialah Stephen Rahman-Hughes yang terkenal sebagai Hang Tuah dalam Puteri Gunung Ledang The Musical,” katanya yang menjangkakan filem ini ditayangkan menjelang September 2010.


Dalam memberikan ‘suntikan antarabangsa’ terhadap filem terbaru itu lagi, filem berkenaan turut dibarisi bintang antarabangsa lain iaitu Jing Lu (China), Gavin Stenhouse (United Kingdom), Henrik Norman (Sweden), Craig Fong (Australia) dan Keith Chong (Hong Kong).

Tidak ketinggalan Datuk Rahim Razali, Wan Hanafi Su, Khir Rahman, Jehan Miskin, Cat Farish, Ummi Nazeera, Ravi Sunderlingam, Kuswadinata, Mano Maniam, Cico, Vanida Imran dan bekas Ratu Cantik Malaysia/Miss Universe, Deborah Henry.

Malah ia turut menggunakan khidmat 18 pakar lagak ngeri yang pernah beraksi bersama aktor terkenal Hong Kong, Jackie Chan.

Yusry Abdul Halim selaku pengarahnya pula berkata, skrip filem dihasilkan dengan merujuk kepada buku dan sumber Internet serta kajian yang dilakukan kru produksi.

“Apa menarik, sebanyak empat kapal dibina dan diubah suai untuk dijadikan props. Malah kos keseluruhan set dan props ini saja menelan belanja hampir RM2 juta.

“Jika filem Eropah memaparkan kegemilangan tamadun Rom dan filem Hong Kong dengan tamadun Cina, dalam Merong Mahawangsa kita menggabungkan mereka di Langkasuka.

“Keunikan inilah yang bakal menarik perhatian ramai selain elemen aksi, humor dan pelbagai lagi yang dimainkan oleh setiap pelakonnya,” katanya.

Ditanya cabarannya, Yusry berkata, mengarah filem berskala besar seperti ini lagi besar masalah dan penat lelahnya. Ini termasuklah cabaran dari segi cuaca, set, pelakon dan masalah luar jangka.

“Apa yang penting adalah kerjasama dan koordinasi setiap kumpulan kecil diwujudkan melancarkan gerak kerja filem ini.

“Babak yang paling sukar adalah babak akhir iaitu perang besar kerana ia memerlukan pelakon yang ramai dan set yang besar. Namun ia berjaya diselesaikan dengan jayanya dan hanya tinggal 10 peratus lagi untuk disiapkan penggambaran sepenuhnya,” katanya.

Menjelaskan pembikinan filem ketiga arahannya itu, Yusry memberitahu, selepas menyiapkan skrip, dia memvisualkan ceritanya dalam bentuk ‘story board’ terlebih dahulu sebelum diterjemahkan ke bentuk sinematografi.

Malah skrip yang digunakan ini adalah versi ke-16 selepas diubahsuai demi mendapatkan hasil terbaik selepas skrip awal disiapkan setahun lalu.

No comments: