Sunday, August 9, 2009

Kumpul dana HIV

Kumpul dana HIV

SABAN hari, lebih 10 rakyat negara ini disahkan memiliki virus HIV. Malah menurut kajian, ratusan anak kecil yang tidak berdosa turut menerima nasib malang itu.

Apakah salah mereka yang langsung belum mengetahui kehidupan di dunia? Aids bukan untuk diwarisi! Namun, kealpaan mengakibatkan anak tidak berdosa ini dipandang sinis oleh masyarakat.

Untuk itu, dalam memberi sokongan dan dorongan kepada anak kecil yang menghidapi penyakit ini meneruskan kehidupan mereka, Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) terpanggil bagi mewujudkan tabung kebajikan kanak-kanak menghidap HIV/Aids.

Program Karya1 Malaysia Charity Bazaar yang dianjurkan oleh Biro Muda Karyawan ini akan berlangsung pada 16 Ogos ini bermula jam 12 tengah hari hingga 6 petang di tingkat tiga, Kompleks Amcorp Mall, Petaling Jaya.

Presiden Karyawan, Freddie Fernandez, berkata: “Kami mengalu-alukan semua artis untuk mengambil bahagian dengan menjual barangan peribadi mereka atau apa saja produk untuk tujuan dana Yayasan Aids Malaysia bagi kanak-kanak yang memerlukan.

“Tambah menarik, artis terkenal tanah air seperti Dayang Nurfaizah, Amelia, Ifa Raziah, Aizat, Faizal AF, Ikhwal, Stacy, Dafi, Angeline Wong, Andrew Tan, Sivakumar, Boy Iman, Syahrul dan ramai lagi bakal menghangatkan lagi suasana apabila mereka mengesahkan kehadiran untuk majlis berkenaan,” katanya.

Suria FM pula bersetuju menjadi radio rasmi bagi program berkenaan. Dalam masa sama, deejay popular mereka akan memeriahkan suasana pada hari itu sebagai pengacara.

Orang ramai yang tidak mahu melepaskan peluang berhibur sambil beramal dijemput hadir untuk bersama-sama memeriahkan acara ini, di mana pelbagai persembahan pentas daripada pelbagai artis popular akan turut diadakan.

Kepada artis dan selebriti yang berminat untuk terbabit dalam pengisian dana ini, sila hubungi Shaliza di talian 012-3152185.

No comments: