Sunday, August 9, 2009

Lirik mahal Nana

Lirik mahal Nana
Oleh SHAKILAWATI ABD RAHMAN

DENGAN hanya menghafal lirik, sesiapa saja boleh membawa pulang hadiah hingga RM1 juta. Tidak kira anda suri rumah, tentera, jururawat, pelajar atau apa saja pekerjaan, jika sudah tertulis rezeki itu milik anda pasti pulang dengan senyuman.

Itulah yang dijanjikan menerusi program Jangan Lupa Lirik (JLL) yang kini sudah masuk musim kedua. Program yang dikendalikan hos nombor satu negara, Aznil Nawawi, itu mencatat sejarah tersendiri apabila disaksikan kira-kira 1.1 juta penonton minggu lalu.

Lebih membanggakan apabila format program dari Amerika Syarikat ini melahirkan pemenang yang membawa pulang wang bernilai RM100,000 pada 11 Julai lalu.

Ganjaran besar itu menjadi milik Noor Liana Azmi, 25, yang baru saja menamatkan pengajian di Universiti Tenaga Nasional (Uniten), sekali gus membuktikan tiada yang mustahil jika peserta benar-benar bersedia dan bijak mengatur strategi.

Pertemuan dengannya dan Aznil, Selasa lalu, Liana atau mesra disapa Nana berharap kemenangan itu dapat memberi inspirasi kepada orang ramai untuk mencuba.

“Dengan menghafal lirik sesiapa saja boleh memenangi RM100,000 dan jika lebih bertuah mungkin RM1 juta. Jangan takut kerana Aznil banyak membantu malah dia akan pastikan peserta tidak pulang dengan tangan kosong.

“Sebahagian wang yang saya menangi akan diperuntukkan untuk ayah dan kakak menunaikan haji dan selebihnya saya akan melabur dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Public Mutual.

“RM10,000 lagi untuk saya bergembira dan merealisasikan impian berkunjung ke stadium Old Trafford untuk melihat pasukan bola sepak kesayangan, Manchester United,” katanya sambil menyarankan supaya peserta sentiasa peka dengan klu yang diberikan Aznil dan berfikir panjang sebelum mengunci lirik.

Menceritakan pengalaman menyertai program itu, Nana berkata mulanya dia meletak sasaran membawa pulang RM5,000 saja dan tidak menyangka sama sekali dapat bertahan hingga ke lagu bernilai RM500,000.

“Ketika menonton program ini di rumah, saya rasa ia senang tapi bila mengambil bahagian barulah saya tahu ia tidak semudah yang disangka.

“Suasana di studio, sorakan penonton, cahaya lampu dan kamera di sana sini buat saya gugup. Serba tidak kena jadinya tapi saya cekalkan hati.

“Sebelum menyertai program ini, saya berlatih menyanyi di karaoke dengan rakan-rakan. Macam-macam lagu saya praktik tapi tidak satupun yang keluar. Paling susah lagu bernilai RM25,000 iaitu Bila Ku Rindu Ku Sebut Nama Mu dendangan Siti Fairuz.

“Banyak kali saya mengalirkan air mata tanda syukur bermula dari lagu bernilai RM25,000. Bila diumumkan memenangi RM100,000 saya seperti bermimpi. Maklumlah sebelum inipun duit paling banyak saya pegang adalah RM5,000, itupun hasil menyanyi selama sebulan di beberapa tempat termasuklah Hotel Concorde, Hard Rock dan Uniten,” katanya sambil memberitahu JLL adalah pertandingan realiti pertama yang disertai.

Pengaruh dan daya tarikan yang ada pada Aznil membantu peningkatan jumlah penonton JLL. Setiap program yang dikendalikannya tidak pernah menghampakan dan terbukti JLL diangkat sehebat Akademi Fantasia, Macam Macam Aznil dan Tom Tom Bak.

“Kalau lihat trek rekod JLL, kami bermula dengan jumlah penonton yang sedikit. Bagaimanapun saya bersyukur program ini semakin diterima apabila masuk musim kedua malah saya difahamkan minggu lalu mencatat jumlah tertinggi iaitu 1.1 juta penonton.

“Untuk menjayakan program ini, saya tidak boleh ikut 100% format asal Don't Forget The Lyrics kerana budaya kita jauh berbeza dari Amerika Syarikat.

“Di sana kesilapan peserta menjadi bahan lawak tetapi di sini kita mahu menyuntik semangat peserta untuk memenangi pertandingan dan bukan untuk menghilangkan keyakinan mereka.

“Menerusi program ini saya dapat berkongsi perasaan peserta selain memahami pelbagai karektor. Sama seperti peserta, saya tidak tahu apa lagu di sebalik kategori yang dipaparkan di skrin. Ia membuatkan saya turut sama berdebar,” katanya.

Sambung Aznil seboleh mungkin dia mahu peserta pulang dengan gembira dan kerana itu akan membantu peserta selagi terdaya.

“Menerusi JLL juga saya belajar untuk menolong peserta dengan cara saya. Saya suka lihat air muka gembira peserta bila berjaya membawa pulang hadiah biarpun serendah nilai RM500.

“Hati saya tersentuh bila ada sesetengah daripada mereka menyifatkan jumlah itu sudah cukup besar. Seperti yang kita ketahui peserta datang dari pelbagai latar belakang, ada antara mereka suri rumah tangga, ibu yang baru menimang cahaya mata dan penghantar pizza.

“Puas hati dapat lihat mereka tidak pulang dengan tangan kosong. Sebab itulah sebelum mereka mengunci lirik saya akan bagi klu kerana tak mahu mereka gagal.

“Kejayaan Nana harus dijadikan contoh. Dia bijak dan cukup tenang mengatur strategi,” katanya.

No comments: