Sunday, August 9, 2009

Sedia sambut Ramadan

Sedia sambut Ramadan

Oleh IZWAN MOHAMAD

SABAN tahun, stesen televisyen di negara ini tidak ketinggalan dalam menyediakan program terbaik untuk penonton sempena Ramadan.

Menghormati bulan mulia itu, adalah wajar pengusaha stesen berkenaan mengurangkan hiburan yang tidak berteraskan ilmiah dan membina kerohanian sebagai usaha dalam mengimarahkannya.

Justeru, Astro Entertainment menerusi empat salurannya iaitu Oasis, Ria, Prima dan Ceria mengambil inisiatif menayangkan program bermutu dan relevan sepanjang Ramadan yang bakal tiba.

Menyelidiki strategi lebih teliti menerusi pemilihan program, 16 program baru berdurasi 173 jam diperuntukkan bagi memenuhi slot kempen Raikan Ramadan menerusi empat saluran berbahasa Melayu utamanya.

Menurut Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn Bhd, Zainir Aminullah, tahun ini Oasis dipilih sebagai peneraju utama dalam penayangan program menarik seperti drama bersiri, siri animasi, dokumentari dan siaran langsung solat Tarawih dari Masjid Nabawi, Madinah selain bacaan ayat suci al-Quran yang diperdengarkan oleh ikon Oasis.

Mengekalkan slot Indahnya Iman yang mendapat sambutan hangat sejak diperkenalkan, kini saluran itu mengorak langkah bermula Ramadan ini dengan memperkenalkan program berunsur fiksyen berbeza sebelum ini yang lebih kepada fakta.

“Berbeza tahun lepas, Astro Oasis yang mempunyai kelompok penonton tersendiri akan dihiasi dengan terbitan drama yang jalan ceritanya ditapis lebih teliti, khususnya berunsurkan kerohanian dan mengandungi mesej positif.

“Cuma kita tampilkan sedikit nilai komersial untuk menarik minat penonton beralih ke saluran ini, sekali gus membuka peluang kepada penggiat drama berkarya menerusi drama fiksyen di saluran ini,” kata Zainir ketika ditemui pada majlis Indahnya Ramadan yang berlangsung di Wisma Penyayang, baru-baru ini.

Menurutnya, keterbukaan Astro kepada pihak penerbit yang ingin terbabit dalam pembikinan program menerusi Astro Oasis bagaimanapun bergantung kepada jalan cerita serta kemampuan penerbit mengolah program supaya bersesuaian.

Menyentuh mengenai keistimewaan waktu tayangan program pada Ramadan ini, Astro turut sensitif mengenainya lantas mengkaji detik penayangan paling sesuai berdasarkan kecenderungan kesempatan menonton.

“Astro sangat menghormati penonton memandangkan jadual sepanjang Ramadan berbeza dengan bulan lain kerana lazimnya bulan puasa adalah waktu seluruh keluarga berkumpul, menjadikannya sangat istimewa.

“Oleh itu pihak kami membuat susunan khas yang sesuai pada setiap waktu, sebagai contoh drama bersiri disiarkan jam 3 petang kerana kami tahu itu masa lapang, khususnya suri rumah, menonton TV sebelum sibuk semula untuk penyediaan juadah berbuka puasa,” kata Zainir.

Saluran Ria dan Prima turut menayangkan drama bersiri dan telefilem yang menyuntik unsur kerohanian, selain rancangan bersifat keilmuan untuk kanak-kanak.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul, saluran kendaliannya turut memberi kerjasama kepada kempen Raikan Ramadan dengan mengurangkan program yang memaparkan unsur hiburan keterlaluan untuk menghormati bulan mulia itu.

“Walaupun Ria adalah saluran hiburan, pada Ramadan ini kita mengurangkan sedikit tayangan program yang mungkin unsur hiburannya keterlaluan untuk memberi laluan kepada program lebih sesuai,” kata Khairul.

Astro Ria bakal menayangkan telefilem hebat seperti Kristal Hitam dan Antara Dua Jalan lakonan Noorkhiriah, Sharifah Amani, Mariani, Jalil Hamid, Fezrol Khan, Fouziah Ghous, selain beberapa telefilem menerusi Astro Prima yang turut dibintangi nama besar seperti Nasir Bilal Khan, Safura, Elly Suriati, Zulkifli Zain, Adi Putra, Gambit, Catriona Ross, Jue Aziz dan Mislina Mustaffa.

No comments: