Sunday, August 9, 2009

Tak timbul soal singkir Dynas, Zulhuzaimy

Tak timbul soal singkir Dynas, Zulhuzaimy

Oleh Hardi Effendi Yaacob

Ahmad Idham menunjukkan poster untuk Impak Maksima Teater kepada Juhari Sharani dan Den Wahab di Istana Budaya.

Mereka cuma direhatkan daripada Impak Maksima - The Musical bagi menampilkan pembaharuan untuk penonton Singapura

WAN Intan Edrinaz Wan Mokhtar (Dynas) tidak pernah disingkirkan dari Impak Maksima - The Musical tetapi cuma direhatkan dari pementasan keduanya yang dijadualkan berlangsung di Esplanade, Singapura bermula 17 hingga 18 Oktober ini.

Kenyataan Pengarah Urusan Global Network Entertainment, Zaharuddin Abdul Wahab (Den Wahab) itu jelas menjawab segala teka-teki mengenai kedudukan model dan pelakon popular terbabit dalam muzikal berkenaan yang mendapat liputan meluas media sebelum ini.

“Bukan saya saja, malah Dynas sendiri terkejut dengan laporan kononnya beliau disingkirkan dari pementasan ini. Malah, cara laporan itu ditulis pun seolah-olah berlaku pergeseran antaranya dan pihak produksi hingga mencetuskan kontroversi.

Antara aksi menarik pementasan Impak Maksima- The Musical.

“Bagi saya, ini cuma salah faham dan isu penyingkiran itu tidak sepatutnya ditimbulkan. Tiada sebab pun kami menyingkirkannya, lebih-lebih lagi beliau adalah pelakon asal pementasan ini yang membawakan watak utama,” katanya kepada B*Pop.

Bagaimanapun, Den menjelaskan, Dynas terpaksa direhatkan sebagai memenuhi permintaan pengurusan Esplanade bagi memastikan pementasan kali ini mempunyai kelainan berbanding pementasan sulungnya di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

“Tempat Dynas akan digantikan salah seorang anggota Faboulous Cats, Wangi Juliada Indra Meida. Selain Dynas, turut direhatkan dalam pementasan kali ini ialah Zulhuzaimy Marzuki yang akan digantikan oleh pelakon baru, Kamal Adli.

“Dynas dan Zulhuzaimy akan kembali mengambil watak mereka dalam pementasan muzikal ini seterusnya yang dijadualkan berlangsung di Istana Budaya tahun depan. Perubahan sebegini biasa dalam mana-mana pementasan pun di seluruh dunia,” katanya.

Selain Wangi dan Kamal, turut beraksi dalam pementasan kali ini ialah Zed Zaidi, Zarina Zainoordin, (Faboulous Cats) dan Dina (Malaysian Idol), selain penampilan sulung Cat Farish yang berperanan sebagai penata muzik dalam pementasan sebelum ini.

Den menjelaskan, perubahan itu sudah dimaklumkan kepada kedua-dua pelakon berkenaan selepas mesyuarat pertama diadakan bersama pengurusan Esplanade yang berlangsung di Singapura, pertengahan Jun lalu.

“Banyak juga perubahan terpaksa dilakukan untuk pementasan di Singapura. Bukan setakat pada pelakonnya, malah jalan cerita dan penggunaan set serta props bagi memastikannya menepati spesifikasi teknikal di Esplanade. Namun, ia tidak menjejaskan muzikal ini secara keseluruhannya.

“Pada masa yang sama, pembaharuan turut dilakukan pada aspek tertentu bagi memastikan muzikal ini relevan dengan perkembangan semasa, selain memastikan tahap `kesegarannya’ buat tontonan penonton Singapura,” katanya.

Diterbitkan Global Network Entertainment dengan kerjasama Excellent Pictures, pementasan Impak Maksima - The Musical di Singapura turut mendapat sokongan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan melalui Istana Budaya.

Ia yang mencipta sejarah sebagai teater pemotoran pertama dipentaskan di dunia turut mengharumkan nama negara apabila muncul sebagai teater pertama tempatan dijemput ke pentas terkemuka itu sempena Formula 1 - GP Singapore 2008.

Lebih membanggakan, muzikal ala Broadway itu yang buat julung kalinya dipentaskan di seberang tambak dianggap antara aktiviti terpenting dalam Kalendar Pelancongan Singapura 2009, sekali gus membantu mempromosikan negara di peringkat antarabangsa.

“Sesuai dengan `demam F1’, saya menjangkakan muzikal ini akan mendapat sambutan menggalakkan di kalangan penonton di sana, terutama adegan drift. Jika diikutkan perancangan asal, adegan ini sepatutnya dipotong disebabkan ruang pentas yang terhad, tidak seperti di Istana Budaya.

“Namun, menyedari ia menjadi `trademark’ muzikal ini, adegan itu dikekalkan membabitkan pelumba drift berpengalaman tempatan yang hanya dikenali sebagai Apai. Lagipun, sukan drift kini menjadi kegilaan muda-mudi di republik itu,” katanya.

Diadaptasikan dari drama bersiri dan filemnya yang mendapat sambutan menggalakkan sebelum ini, Impak Maksima - The Musical secara ringkasnya mengisahkan kehidupan seorang pelajar kolej, Ayie, yang terbabit dalam kegiatan lumba haram.

Ayie sentiasa bersaing dengan musuh ketatnya, Ray untuk merebut gelaran `Raja Drift Jalanan' atau DK (Drift King). Di kolej, Ayie cuba mendekati seorang pelajar baru, Eva tanpa menyedari gadis itu adalah adik perempuan Ray. Apakah kesudahan muzikal ini, jangan lupa menantikan kemunculannya di Epslanade, Singapura nanti.

Bagi Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang juga pengarah muzikal ini pula, peluang itu lebih dianggapnya sebagai bukti karyanya bernilai di pasaran antarabangsa, sekali gus menjawab segala keraguan yang timbul ketika ia dipentaskan akhir tahun hingga ada yang menganggapnya `idea gila’.

“Ketika Impak Maksima - The Musical kali pertama menemui penonton tahun lalu, ramai juga yang memperlekehkannya. Ia bukan setakat dikatakan tidak mempunyai nilai seni, malah cuba merosakkan teater tempatan. Ada juga yang kata muzikal ini tidak boleh pergi jauh.

“Sedangkan, apa yang saya buat ini semata-mata mahu melakukan pembaharuan terhadap pementasan kita dengan harapan dapat menarik lebih ramai penonton, terutama golongan muda menontonnya,” katanya.

Namun, mengenali pengarah berpengalaman ini, beliau tidak mudah melatah terhadap segala kritikan dilemparkan kepadanya, sebaliknya membiarkan hasil kerjanya gus mengagumkan setiap penonton yang hadir sepanjang pementasan itu berlangsung.

“Biar orang mahu cakap pun... saya lebih suka membiarkan karya saya `bercakap’. Inilah hasilnya... tiket habis ditempah setiap malam. Malah, jemputan beraksi di sana (Singapura) turut menjawab pandangan cetek segelintir pihak kononnya muzikal ini tidak berpotensi ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Info Produksi

Program: Impak Maksima - The Musical

Konsep: Ala-Broadway

Tarikh: 17 - 18 Oktober 2009

Masa: 8 malam

Lokasi: The Esplanade, Singapura

Pelakon: Kamal Adli, Wangi Julianda, Zarina Zainoordin, Zed Zaidi, Cat Farish, Adeeb (Fabolous Cats) dan Dina (Malaysian Idol)

Penerbit Eksekutif: Den Wahab/Nora Tamam

Pengarah/Penulis Skrip: Ahmad Idham Ahmad Nadzri

Jurulatih Vokal/Seni Lakon: Zulhuzaimy Marzuki

Pengurus Pentas: Ramli Rani

Koreografer: Suhaili Micheline Ahmad Kamil

Pengarah Muzik: Shamsul Zain

Pengarah Multimedia: Jamaluddin Md Nor

Pengarah Artistik: Irwan Ismadi Shahrin

Set/Props: Mohamad Tarmizi

Penyelaras Projek: Norani Harun

No comments: