Sunday, August 9, 2009

Shima tak kisah menjanda pada usia muda

Shima tak kisah menjanda pada usia muda

HAMPIR dua tahun bersendirian selepas berpisah dengan bekas suaminya, Satiman Ismail pada Februari 1993, Ku Nazhatulshima Ku Kamarulzaman atau lebih dikenali sebagai Shima, mengakui masih belum menemui cinta baru, malah selesa hidup menjanda.

Walaupun pernah kecoh kisah percintaannya dengan seorang penyanyi, Kamal hingga menyentuh soal perkahwinan, namun kepastiannya masih samar, malah kedua-dua pihak enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Shima ketika ditemubual Harian Metro pada 8 Februari 1995 selepas menjalani dubbing filem lakonannya, Sutera Putih, berkata sejak berpisah dengan bekas suami, beliau tidak pernah terfikir mahu bercinta dan berkahwin lagi, sebaliknya lebih selesa bersendiri.

“Ada orang kata bersendirian itu membosankan, tetapi tidak kepada saya kerana apabila bersendirian, ia memberi peluang berfikir mengenai pelbagai perkara. Jika tahap bosan tiba, baru saya menghubungi rakan terdekat," katanya.

Katanya, ada juga rakan dan ahli keluarganya pelik apabila mendapati Shima cuma tinggal bersendirian di sebuah pangsapuri di ibu kota.

“Jika tinggal dengan kawan, khuatir pula jika apa yang kita lakukan tidak disenanginya. Tinggal bersendirian ini bukan bermakna saya mencari kesempatan, cuma kerjaya saya yang tidak tentu arah jadualnya,” katanya.

Shima berkata, terlintas juga untuk mengajak keluarga tinggal bersama tetapi hasrat itu terpaksa dilupakan kerana ibu dan adik beradiknya lebih selesa tinggal di kampung mereka di Banting, Selangor.

“Ibu saya rasa kekok kerana terpaksa naik turun apartment saya. Lagipun, ibu saya banyak kerja di kampung, selain menjaga adik-adik," katanya.

Mengimbau alam perkahwinan yang pernah dilalui, Shima tidak menyangka dirinya bergelar janda dalam usia muda, namun tidak pernah berkecil hati jika disapa oleh peminat atau kenalannya sebagai janda muda atau janda berhias.

“Apa orang nak cakap, cakaplah. Sudah takdir untuk saya menempuhnya dan lagipun hidup ini tidak seronok jika tidak usik-mengusik,” katanya.

Mengenai calon suami baru, katanya, seboleh-bolehnya beliau tidak mahu sikap materialistik mempengaruhi penilaiannya.

“Yang saya pentingkan biar lelaki itu waras dan ikhlas untuk menerima saya sebagai isteri," katanya yang turut sibuk dengan pembikinan album terbarunya ketika itu selepas berjaya mencuri perhatian umum melalui lagu hitsnya, Setelah Aku Kau Miliki.

No comments: