Sunday, August 9, 2009

FILEM: Kungfu Tootsie

FILEM: Kungfu komedi

SELAIN kisah ‘gangster’, pergaduhan, pembunuhan kejam, Kungfu Tootsie menjadi cerita menarik dan menghiburkan untuk ditonton.

Menonton filem ini, anda tidak akan tahu di manakah babak yang akan menggeletek anda. Malah, kebanyakan babaknya juga mempunyai komedi yang pasti membuatkan anda ketawa kuat.

Karya arahan sutradara Jaturong Mokjok ini mengisahkan kumpulan kongsi gelap yang berebut kuasa untuk menjadi yang terkuat di antara mereka. Pendek kata, jalan ceritanya bagaikan filem ‘Godfather’ di dalam versi Thailand tetapi garapannya pula seakan-akan Kungfu Hustle.

Dua elemen berkenaan pasti memberi impak besar kepada penonton yang suka aksi dan komedi diadun dalam satu cerita sama.

Menyentuh soal lakonan, semua pelakon berjaya membawa watak diamanahkan dengan baik. Daripada karakter orang suruhan dalam satu organisasi kongsi gelap hinggalah kepada watak ‘big boss’ dilakonkan dengan baik sekali.

Krew produksi juga melakukan tugas mereka dengan baik. Malah, mungkin pujian harus diberi kepada jurukamera yang memainkan peranan penting menghasilkan pelbagai ‘shot’ menarik.

Gaya arahan Jaturong juga perlu dipuji. Kombinasi komedi dan aksi diadun dengan baik. Bagaimanapun, anda mungkin lebih terhibur dengan komedi yang ditampilkan daripada babak aksinya.

Begitupun, penghujung ceritanya sedikit mengecewakan apabila beberapa babak penting yang sepatutnya ada dalam filem itu dipotong. Walaupun merencatkan pengakhiran cerita itu, ia masih lagi boleh menghiburkan penontonnya.

DATA

FILEM: Kungfu Tootsie
PENGARAH: Jaturong Mokjok
PELAKON: Jim Chauncheun, Koti Arambawy, Sittichai
GENRE: Komedi / Aksi
TAYANGAN: 6 Ogos 2009

No comments: