Sunday, August 16, 2009

Afdlin, Liyana terbaik

Afdlin, Liyana terbaik

Oleh SHAKILAWATI ABD RAHMAN
shakilawati@hmetro.com.my

“SAYA sanggup mati untuk orang yang saya sayangi. Apa saja untuk membahagiakan mereka,” luah pelakon dan pengarah tersohor, Afdlin Shauki apabila membicarakan soal keluarga.

Kasih sayang terhadap anak dan isteri diabadikan dalam filem terbarunya, Papadom yang mencatat kejayaan besar dalam Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22) pada 8 Ogos lalu di bumi Bawah Bayu apabila mengungguli kategori Filem Terbaik, selain Aktres Terbaik menerusi kemenangan Liyana Jasmay dan Skor Muzik Terbaik (Syed Ahmad Faizal atau Pacai).

Papadom terbitan Tayangan Unggul Sdn Bhd (TUSB) turut menyaksikan keunggulan Afdlin sebagai Aktor Terbaik buat kali ketiga selepas memenanginya di FFM15 dan FFM19 dan mengiktirafnya dalam kategori Cerita Asal Terbaik.

Afdlin berkata, Papadom diilhamkan daripada kisah peribadinya yang terlalu sibuk membina karier sehingga masa bersama keluarga terbatas. Ketika membawa isteri dan anak bercuti, terdetik persoalan bagaimana hidupnya jika isteri tiada satu hari nanti.

“Saya terfikir apa yang akan berlaku kepada anak dan bagaimana saya mahu menjaga mereka? Adakah saya perlu menghantar mereka ke asrama atau melakukan pengorbanan besar dengan menumpukan sepenuh perhatian kepada mereka? Ia memberi ilham kepada saya untuk menghasilkan Papadom yang sekali gus menjadi jawapan jujur kepada soalan itu.

“Saya sedar, sejak dua tiga tahun lalu fokus saya lebih kepada kerjaya. Walaupun berjumpa setiap hari, saya tidak dapat melihat perkembangan anak. Banyak yang saya ketinggalan, mujur ada isteri yang memahami.

“Saya percaya mungkin ketika ini kebanyakan bapa tidak berdepan masalah itu kerana masih ada isteri, tetapi apa akan terjadi bila isteri mereka tiada?

“Dalam Papadom, Saadom yang kehilangan isteri mengambil keputusan radikal melakukan perubahan demi anak kesayangannya, Miasara. Andai perkara sama berlaku kepada saya, saya tidak teragak-agak mengambil tindakan sama. Saya sanggup berhenti kerja untuk menjaga anak,” katanya yang turut memaklumkan, selain melihat daripada perspektif seorang bapa, Papadom tidak ketinggalan mengetengahkan suara hati remaja yang memberontak inginkan kebebasan.

Akuinya, meskipun terdetik perasaan bersalah di hati, dia tidak mampu mengelak realiti dan perlu meneruskan rutin seperti biasa kerana sebagai ketua keluarga, menjadi tanggungjawabnya mencari rezeki serta memberi kehidupan lebih baik kepada famili tercinta.

Itulah dilema yang dihadapi kebanyakan bapa dan diharap Papadom dapat membuka mata ramai bahawa manusia banyak kekurangan.

“Tidak meluangkan banyak masa bukan bermakna saya tidak sayangkan anak. Merekalah permata hati saya dan apa yang saya lakukan kini adalah pengorbanan seorang bapa.

“Filem ini sangat dekat di hati saya kerana ia cerita saya. Terima kasih kepada TUSB kerana percayakan cerita saya yang sangat ‘simple’ ini.

“Saya percaya pasti ramai tertanya-tanya kenapa filem ini menang, sedangkan ia belum ditayangkan. Diharap pertanyaan itu membuatkan mereka teruja untuk menontonnya apabila keluar di pawagam 8 Oktober depan.

“Saya buat filem ini bukan untuk mengaut keuntungan atau dambakan wang yang banyak, sebaliknya mahu orang menontonnya. Saya sentiasa berusaha memberi idea terbaik dan mahu berkongsi dengan orang ramai,” katanya yang mengagumi karya Kabir Bhatia dan Allahyarham Yasmin Ahmad.

Selasa lalu, bermulalah dimensi baru sisi karier Afdlin apabila mengarah filem serius pertama berjudul Jalan Lama. Filem bergenre drama thriller itu mengisahkan perjalanan penuh misteri dua beradik yang dibintangi Que Haidar sebagai Ilya dan Hans Isaac (Indra).

“Saya memang meminati genre ini dan sampai masanya saya mencabar kemampuan diri. Sewajarnya sebagai pengarah, saya mesti boleh menghasilkan apa saja genre.

“Ia mengisahkan Indra yang sudah lama tidak pulang ke kampung menerima berita kematian bapanya. Dia diminta membawa pulang adiknya, Ilya yang mengalami masalah gangguan obsesi konpulsif (OCD).

“Dalam perjalanan, dua beradik ini akan berdepan pelbagai perkara, termasuk kejadian aneh.

“Selain Que dan Hans, filem ini dibintangi Namron, Nasir Bilal Khan, Vanidah Imrah dan Marion Counter. Saya ada dalam filem ini, tapi mungkin peminat tidak perasan kerana kemunculan saya sekejap saja,” katanya.

Aktor berusia 38 tahun ini dikatakan banyak persamaan dengan Tan Sri P Ramlee, malah tidak mustahil dia akan jadi sehebat seniman negara itu. Apabila perkara ini diajukan kepadanya, Afdlin pantas menjawab, P Ramlee tidak ada pengganti.

“Tan Sri P Ramlee genius, mana mungkin saya akan menggantikan tempatnya. Mungkin persamaan kami daripada segi teruja menghasilkan filem. Itu tidak saya nafikan, tapi selebihnya tidak boleh dijadikan perbandingan.

“Saya sangat menyanjung tinggi karya beliau. Saya tidak akan ada di sini jika dia tiada. Saya cuba bawa apa yang saya ada dan berusaha memperbaiki diri setiap hari.

“Jika diukur, pencapaian saya tidak seberapa, malah perjalanan seni saya masih jauh,” katanya yang juga peminat setia Harun Salim Bachik.

Sementara itu, bagi Liyana Jasmay, bekerja dengan Afdlin sangat menyenangkan. Afdlin yang dianggap seperti bapa sendiri bukan saja profesional, tidak lokek berkongsi ilmu, lucu tetapi insan penyayang.

“Saya gembira dapat melakonkan watak Miasara. Untuk lebih menjiwai karektor, saya menghabiskan masa bersama Afdlin dan Miasara untuk melihat lebih dekat bagaimana hubungan antara bapa dan anak itu.

“Jujur, selepas menyusuri sisi peribadinya, saya lebih mengagumi Afdlin. Ternyata dia bapa dan suami yang sangat baik. Saya bangga menjadi sebahagian daripada ‘kisah peribadinya’ yang diangkat ke layar perak.

“Hingga hari ini saya masih terbawa-bawa perasaan sayang seorang anak terhadap Afdlin,” katanya.

Mengulas lanjut kemenangan di FFM22, Liyana berkata, dia tidak pernah berharap kerana sedar saingan kali ini sungguh sengit. Baginya, kemenangan ini berkat doa ibu bapa, Afdlin dan warga TUSB.

“Tak semestinya menang bermakna kita sudah bagus. Hakikatnya, bila menerima pengiktirafan sebegini, tanggungjawab lebih berat, malah ia memberi lebih tekanan untuk menghasilkan persembahan lebih baik.

“Harapan orang juga lebih tinggi selepas ini. Namun saya masih muda dan banyak lagi perlu dipelajari. Bagi saya, bagus andai buat salah daripada terus ada di puncak.

“Watak yang saya bawa kali ini berbeza daripada sebelum ini. Ia ‘simple’ tapi semakin mudah watak itu, semakin mencabar buat saya. Saya harap abang Rosyam dan Bade yang mula-mula menggilap bakat saya turut gembira dengan kemenangan ini,” katanya yang pernah dicalonkan bagi kategori Pelakon Harapan menerusi filem Castello tiga tahun lalu.

No comments: