Sunday, August 16, 2009

Zee TV pilih Intan

Zee TV pilih Intan

Oleh FIRDAUS SAHAT
firdaussahat@hmetro.com.my

BEBERAPA tahun lalu filem Bollywood sangat digemari penonton di negara ini. Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini lenggok tarian, lagu, persoalan cinta dan persahabatan yang sering dipaparkan menerusi cerita Bollywood kurang mendapat tempat di hati penonton.

Entah apa fenomenanya, industri seni di sana semakin terpinggir daripada perhatian penonton tempatan. Menyedari hakikat itu, Zee TV menerusi saluran 108 di Astro cuba menarik kembali minat masyarakat terhadap pelbagai program Bollywood.

Kalau selama ini saluran itu hanya mengimport dari India sebagai isinya, kini mereka mula melakukan pendekatan dengan memasukkan elemen tempatan.

Untuk itu, pencarian pengacara baru menerusi Anchor Hunt diadakan sejak Julai lalu bagi mencari bakat tempatan bagi mengacarakan program terbaru di saluran berkenaan.

Daripada 300 penyertaan, 50 peserta disenarai pendekkan dan kemudian 20 peserta. Saringan diadakan selama tiga hari dari Jumaat hingga Ahad lalu yang menyaksikan enam finalis bersaing.

Menurut Ketua Pemasaran & Jualan Zee TV Malaysia, Pramila Rajagopal, program dijalankan mendapat sambutan menggalakkan.

“Daripada jumlah penyertaan, akhirnya kami berjaya memilih seorang pemenang untuk program ini, iaitu Intan Liyana Yusoff Izzudin.

“Perwatakannya yang menarik dan sentiasa ceria, berpengetahuan luas mendalam dalam bidang Bollywood dan bijak memainkan peranan di depan lensa kamera membuatnya lebih menonjol daripada peserta lain.

“Bagaimanapun, pada mulanya kami sukar memilih pemenang kerana keenam-enam mereka berbakat. Kerana itu kami terpaksa melihat peserta daripada beberapa sudut lain dan akhirnya Intan Liyana ditabalkan juara,” katanya.

Tambah Pramila, Intan Liyana akan mengikat kontrak bersama Zee TV selama setahun, malah gadis berusia 23 tahun itu juga akan mengacarakan sebuah program berbentuk bual bicara sebanyak 13 episod yang memaparkan perkembangan di Bollywood untuk tatapan penonton di sini.

Pramila turut menerangkan, rangkaian saluran TV berkenaan akan mengadakan pelbagai program baru supaya lebih dekat dengan penonton di negara ini.

“Menurut kajian, lebih 70 peratus penonton yang menonton Zee TV adalah kaum Melayu. Jadi, untuk menarik minat lebih ramai penonton, kami akan mengadakan lebih banyak program sendiri.

“Anchor Hunt menjadi satu daripadanya. Malah, kami juga sibuk merangka pelbagai program baru, antaranya program realiti yang akan turut membawa penonton sebagai peserta, sekali gus merapatkan kembali jurang antara generasi muda dengan elemen ‘Bollywood’.

“Selain itu, kami di Zee TV mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Sen-Q kerana menjadi penaja utama untuk Anchor Hunt. Jika tiada aral, program ini akan diteruskan lagi tahun depan,” katanya.

Bagi yang mahu melihat aksi peserta Anchor Hunt, Zee TV bakal menayangkan kembali rakaman uji bakat itu bermula 22 Ogos ini.

Program yang akan disiarkan selama enam episod itu bakal menghiasi hari penonton saluran berkenaan tepat jam 7 malam, setiap Sabtu dan Ahad.

No comments: