Sunday, August 16, 2009

Ramziela serik jadi artis rakaman

Ramziela serik jadi artis rakaman

Oleh Hardi Effendi Yaacob

KALAU diikutkan, beliau enggan menyanyi lagi atas alasan serik ditindas syarikat rakaman tetapi disebabkan dorongan anggota keluarga dan beberapa kenalan rapat, Ramziela kembali ke arena muzik tanah air selepas bersara seketika sebelum ini.

Dalam temubual bersama Berita Harian pada 19 Februari 1995, beliau memberitahu: "Memang saya serik jadi artis rakaman sebab memikirkan syarikat rakaman hanya mahu mempermainkan artis. Namun, segala pengalaman pahit sebelum ini saya jadikan panduan untuk terus aktif dalam bidang ini," katanya.

Ramziela adalah antara bekas artis Redirec, sebuah syarikat rakaman milik Redifussion Sdn Bhd yang ditutup pada 1993.

Katanya, selepas Redirec dihentikan operasinya, beliau ada menerima tawaran daripada beberapa syarikat rakaman tetapi menolaknya kerana ketika itu tidak terfikir mahu meneruskan kerjaya seninya itu.

"Saya betul-betul kecewa apabila syarikat itu tutup kerana ia berlaku ketika album saya Gemilang berada di kemuncak. Saya anggap album itu baik, tetapi nasib tidak menyebelahi saya," katanya.

Dari detik Redirec ditutup, iaitu pertengahan 1993 sehingga 1995, selain menjauhkan diri daripada publisiti kerana tiada apa yang mahu diceritakan kepada umum, dengan sepenuh masanya ditumpukan kepada kerjaya penyanyi kelab malam dan majlis rasmi.

Nasibnya baik kerana pengalaman 15 tahun menyanyi di pub dan lounge masih membolehkan beliau menyanyi.

No comments: