Sunday, August 16, 2009

Tiz banyak menangis demi watak

Tiz banyak menangis demi watak

Saya juga kasihan kepada watak wanita itu yang penyabar, berhati lembut dan sanggup berkorban apa sahaja demi keluarga




PEMBAWAKAN gadis ini dalam siri pertama yang menampilkan dirinya sebagai pelakon utama terlihat matang dan manis.

Nur Kasih yang sekarang masih bersiaran di TV3 berjaya menumpahkan rasa kasih dan kasihan buat Nur Amina lakonan hebat Tiz Zaqyah Abdul Razak, 21.

Bagi yang pernah menonton siri Impian Ilyana untuk musim kedua dan ketiga, wajah Tiz sudah biasa dilihat.

“Siapalah yang tidak jatuh cinta dengan Nur Amina. Malah saya juga kasihan kepada watak wanita itu yang penyabar, berhati lembut dan sanggup berkorban apa sahaja demi keluarga,” terang Tiz.

Dia mengaku punya persamaan dengan Nur Amina iaitu berhati lembut dan mudah terasa.

Jujur Tiz, dia sebenarnya adalah gadis biasa yang suka mengacau teman-teman, kuat berbicara dan kadangkala nakal. Jauh ibarat langit dengan bumi antara dirinya dan Nur Amina.

Namun, kelainan itulah yang merupakan cabaran terbesar buat Tiz menyemarakkan diri dalam dunia lakonan.


TIZ selesa memainkan pelbagai karakter demi memantapkan bakatnya.


Bakat Tiz nyata memikat pandangan pengarah terkenal, Kabir Bhatia.

Selepas berjaya membawakan satu watak kecil dalam siri Hantu Raya, Tiz mendapat pelawaan untuk menguji bakatnya dalam siri arahan Kabir sekali lagi.

“Saya diuji bakat sebanyak dua kali. Selepas dua bulan, saya mendapat panggilan telefon daripada pihak produksi yang menyatakan saya mendapat watak dalam siri Nur Kasih.

“Tak sangka saya dapat watak utama,” ujarnya yang mengaku banyak menangis dalam siri tersebut.

Gadis yang lahir pada Oktober 1988 ini sedar masih jauh perjalanan yang perlu ditempuhinya baik dalam kehidupan mahupun bidang lakonan yang dicintainya.

Bercita-cita untuk menyambung pelajaran, Tiz juga mahu memastikan jangka hayat dan perjalanan lakonannya berterusan.

Menjadikan Azean Irdawaty dan Ida Nerina sebagai idola, genre filem pilihan dan kegemarannya jauh dengan jiwa watak yang dibawakannya sekarang.

Tiz gemarkan filem yang bertemakan seram. Namun, variasi ini membuatkan dirinya mahukan sesuatu yang terus mencabar dan tidak bersifat stereotaip.

Dalam nada syukur dia begitu mengagumi pengarah, Kabir Bhatia yang banyak membantunya mendalami karakter yang diberikan kepadanya.

“Kabir relaks dan dia tahu apa yang dia mahukan. Saya sangat banyak belajar di bawah bimbingannya.”

No comments: