Sunday, August 16, 2009

FILEM: Cold Prey 2

FILEM: Si Pelik kembali

MASIH ingatkah anda kepada Jason, si pelik yang membunuh sesiapa saja yang datang kepadanya menerusi kebanyakan filem thriller dari Barat? Menonton filem arahan Mats Stenberg ini, konsep ideanya bagaikan serupa dengan filem berkenaan.

Mengetengahkan kisah bayi lelaki yang dilahirkan luar biasa dan akhirnya membesar dalam keadaan berbeza daripada manusia menjadi inti pati utama cerita ini.

Bagaimanapun, jika kebanyakan cerita lalu mengisahkan adegan pembunuhan kejam di tapak perkhemahan dan hutan, Stenberg pula membawa penonton ke kawasan bersalji yang lebih dingin.

Apa yang menarik terhadap karya ini, filemnya tidak lagi memeningkan penonton seperti sesetengah filem bergenre sama. Malah, biasanya filem menampilkan sekuel seperti Cold Prey akan mengelirukan penontonnya, lebih-lebih lagi bagi yang tidak menonton filem pertama.

Begitupun, menerusi Cold Prey 2, penceritaannya meliputi segala aspek. Meskipun tidak menonton filem pertama, filem ini akan menerangkan kepada anda siapa dan bagaimana raksasa pembunuh itu terjadi dan apa menyebabkan dia membunuh sesuka hati.

Menyentuh soal lakonan, Ingrid Borso Berdal melakonkan wataknya dengan baik. Paling penting, tiada lagi ‘nilai’ seksi dipertaruhkan, malah hanya bakat menjadi perantara.

Selain itu, filem yang dikategorikan 18SG ini memaparkan aksi ganas dan babak pembunuhan kejam yang mengerikan. Adegan pembunuh membunuh mangsanya menggunakan alat pemadam api antara yang menakutkan.

Lebih menarik, tiada lagi ‘gimik’ yang membuatkan penonton meluat. Setiap satu babaknya dipaparkan dengan baik dan berkesan. Bagi peminat filem bertemakan pembunuhan dan thriller, filem ini tidak harus dilepaskan.


DATA
FILEM: Cold Prey 2
PENGARAH: Mats Stenberg
PELAKON: Ingrid Bolso Berdal, Kim Wifladt dan Marthe Snorresdotter Rovik
GENRE: Thriller / Seram
TAYANGAN: 13 Ogos 2009
ULASAN: Firdaus Sahat

No comments: