Sunday, August 16, 2009

CAK: Janji tinggal janji

CAK: Janji tinggal janji

INI lagi satu masalah yang bukan asing dalam pembikinan filem tempatan. Bab menipu dan tertipu jadi asam garam. Lain dijanjikan, lain pula jadinya, sehingga ramai artis takut untuk percaya dengan syarikat produksi baru.

Begini ceritanya, ketika pembikinan sebuah filem futuristik, macam-macam dijanjikan penerbit untuk menarik perhatian kru dan pelakon untuk bekerja dengannya.

Filem ini dibarisi nama besar dan tulang belakang pembikinan juga bukan calang-calang. Sudahnya bila tamat penggambaran, janji hanya tinggal janji.

Hingga kini pelakon dan kru belum menerima bayaran. Bila minta, penerbit bagi alasan kononnya duit habis. Pernah mereka menghubungi penerbit berkenaan dan isterinya, namun mereka terus ditabur dengan janji palsu. Janji penerbit itu buat sekian kalinya lagi, bila ada duit, semua bayaran akan dilangsaikan.

Ada yang tidak berpuas hati dengan mencari penerbit itu di pejabatnya yang terletak di Kota Damansara, tapi terkejut apabila melihat pejabat itu bertukar menjadi kedai buku. Lebih teruk, nombor telefon penerbit itu juga tidak dapat dihubungi.

Perkara ini dilaporkan kepada Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima), namun tiada tindakan diambil. Kata wakil Profima, laporan perlu dibuat beramai-ramai baru mereka boleh bertindak.

Sudahnya ramai mati kutu dan merungut, susahnya bila penerbit kaki putar belit. Penantian mereka ibarat menanti buah yang tak gugur.

Dalam perkara ini, kru dan pelakon kena bersatu hati. Cari jalan terbaik untuk menyelesaikan perkara ini dan diharap pihak bertanggungjawab memainkan peranan sewajarnya.

Bagi CAK, perkara sebegini tidak boleh dipandang ringan. Jika dibiarkan, bila industri boleh maju?

No comments: