Sunday, August 16, 2009

Bintang veteran tetap disayangi peminat

Bintang veteran tetap disayangi peminat

Oleh Suzan Ahmad

Barisan enam penerima anugerah khas Malam Anugerah Bintang Legenda.

SEMPENA Festival Filem Malaysia Ke-22 di Kota Kinabalu, minggu lalu, enam bintang filem Melayu era 1950-an dan 60-an, turut diangkat dan diiktiraf menerusi penghargaan khas. Mereka ialah Tony Castello untuk Bintang Lagenda Lelaki, Bintang Legenda Wanita (Latifah Omar), Bintang Legenda Komedi (Momo Latiff), Bintang Legenda Belakang Tabir (Kassim Masdor), Bintang Legenda Serba Boleh (Datuk Aziz Sattar) dan Bintang Legenda Hadiah Juri (Zaiton Abdullah). Masing-masing menerima RM5,000 berserta trofi dan sijil.

Hakikatnya, bukan anugerah yang dinanti, jauh sekali majlis makan malam, lawatan selain mendekati khalayak muda dan sebaya menerusi sesi bertemu peminat, sebaliknya semangat 30 ahli delegasi bintang legenda ini menjadi satu apabila mereka dikumpulkan bersama selepas sekian lama tidak bertemu.

Suasana di Kampung Budaya Linangkit, Tuaran, menjelaskan semuanya. Bukan sesuatu yang pelik jika aktor seperti Wahid Satay, S Roslee dan Tony Castello berpeluh sakan mencuba tarian buluh, tarian tradisional suku kaum Murut. Hakikatnya sejak muda belia lagi mereka memang ceria dan spontan. Kalangan aktres dan primadona seperti Neng Yatimah, Momo Latiff dan Raja Hamidah, lebih berasa selamat untuk sekadar bertepuk tangan dan berkongsi keseronokan tiga rakan mereka yang masih cergas di pentas.

Zaiton Abdullah menerima Bintang Legenda Hadiah Juri.

“Tidak mengapalah, kita tumpang seronok melihat rakan-rakan masih mampu berdiri tegap dan menari macam orang muda, hendak berdiri lama pun lutut sudah tidak kuat lagi,” kata Raja Hamidah.

Mungkin ramai melupai siapa Tony Castello. Dia adalah pelakon yang menonjol dengan watak kanak-kanak bernama Sazali dalam filem Melayu klasik terbitan 1956 arahan Phani Majumdar, Anakku Sazali. Bagi Tony yang segak dikenakan persalinan keraian suku kaum Murut selamba berkata: “Hidup hanya sekali, kalau ada apa-apa kecemasan ambulans dan pihak berkuasa tempatan sudah siap sedia menunggu, apa yang nak dibimbangkan. Tengok saja pakaian saya, segak bukan.”

“Layanan di sini memang sangat istimewa, perasaan itu bertambah lagi bila ia dikongsi bersama rakan-rakan seperjuangan yang entah esok atau lusa kalau tidak kita mereka yang akan pergi dulu,” kata Datuk Maria Menado.

Tatkala rakan seangkatan sibuk menari dan bertepuk tangan, aktor veteran dari Singapura, Wahid Satay pula lebih seronok memalu gendang mengiringi pemuzik tradisional di pentas. Linangkit turut menyaksikan sejarah diimbas kembali apabila pemilik Kampung Budaya mengejutkan tetamu istimewa dengan lukisan potret primadona Kasma Booty dalam pakaian tradisional wanita Murut ketika membuat persembahan di Tawau pada 1953. Sebelum berpisah, delegasi Bintang Legenda sempat lagi berjoget mengikut irama cak lempong.

Sesi petang hari ketiga FFM22, delegasi dibawa menjenguk pula Rumah Kebajikan Bukit Harapan, Inanam. Tiada rasa gundah di wajah penghuni rumah berkenaan, sebaliknya delegasi diceriakan dengan nyanyian dan tarian penuh ceria penghuninya. Apapun, kunjungan mungkin akan jadi lebih bermakna jika sumbangan dari segi kewangan mahupun makanan dan pakaian diuruskan secara lebih terancang.

Bagi delegasi yang pulang agak lewat, Kerajaan Sabah menaja lawatan ke beberapa lokasi menarik seperti Island Hoping ke Pulau Manukan dan Sapi juga Taman Kinabalu yang terletak di kaki Gunung Kinabalu. Nyatanya FFM22 kali ini bukan sekadar majlis anugerah tetapi ada 11 aktiviti yang boleh disertai semua ahli delegasi.

Seronok berjoget bersama masyarakat tempatan.

Sesuatu yang mengagumkan, ada ketikanya layanan dan sokongan masyarakat setempat lebih terarah kepada bintang veteran berbanding pelakon muda. Meskipun ada bintang veteran yang sudah lama tidak berlakon tetapi mereka tetap diserbu peminat untuk bersalaman, bergambar bersama dan mendapatkan tandatangan.

Latifah Omar yang sememangnya agak uzur kerana sakit di bahagian lutut, nyata turut bersemangat bersama rakan seperjuangan dan kehadirannya turut diberi perhatian lebih kerana sebelum ini beliau jarang muncul pada acara atau majlis berkaitan orang filem.

“Saya dah jadi antik baru terima anugerah, tapi apapun syukur kepada Allah pada usia senja pun generasi muda di Sabah masih kenal orang macam kami, mereka tahu menghargai sumbangan kami,” katanya yang kali terakhir berlakon menerusi filem Hati Batu pada 1973. Latifah akui kini dia sering kurang sihat akibat masalah lutut. Keputusan untuk berhenti berlakon dulu adalah pilihan hatinya memandangkan Studio Jalan Ampas ditutup pada 1967 dan tuntutan anak-anaknya yang masih kecil ketika itu.

“Biarpun sudah lama berhenti berlakon rasa cinta terhadap lakonan tetap kuat dan kerana itu juga saya tetap mengikuti perkembangan semasa industri perfileman tanah air,” jelasnya lagi yang kini menetap di Kuala Lumpur.

Apresiasi filem Keluarga Si Comat

Menerusi Simposium Perfileman berjudul ‘Filem Malaysia Ke Persada Dunia’ di Dewan Resital, Universiti Malaysia Sabah (UMS), sesuatu agak menarik datang daripada ulasan Pengurus Besar Irresistable Films yang berpangkalan di Hong Kong, Lorna Tee. Dia sebagai antara pembentang kertas kerja menjelaskan, tidak semua filem yang dihasilkan produksi tempatan sesuai untuk pasaran antarabangsa.

Justeru, penerbit tidak seharusnya terdesak untuk menjual filem tempatan di pasaran antarabangsa. Sebaliknya, penerbit perlu memberi lebih fokus untuk menguatkan pasaran di negara sendiri selain mencari sokongan masyarakat supaya dapat membina jaringan nama kukuh sebelum menembusi pasaran luar. Siri pembentangan kertas kerja turut dijayakan Ketua Pengarah Finas, Mohd Mahyidin Mustakim dan Timbalan Presiden Kanan Pengedaran Astro Entertainment, Teng Lee Yein.

Merujuk perkembangan sama, laporan panel juri FFM22 membabitkan Tan Sri Kamarul Ariffin (Ketua Juri) selain Senator Tan Sri Jins Shamsudin, Shuhaimi Baba, prof Dr Naim Ahmad dan Zainuri Misfar, mereka akur peningkatan jumlah penyertaan semakin baik, namun pada masa sama mendapati filem yang dipersembahkan mengandungi jalan cerita dan lawak jenaka tidak bersifat sejagat dan sukar difahami penonton luar.

Ini membawa kepada cadangan supaya Finas sebelum mengeluarkan Lesen Untuk Mengambil Bahagian Dalam Pengeluaran Filem di bawah peraturan yang ada, hendaklah bersama kumpulan pakar dari golongan berkaitan (ahli psikologi, tokoh agama atau para ikhtisas lain) meneliti skrip terlebih dulu bagi tujuan membantu penerbit menghasilkan lakon layar yang bukan saja memenuhi cita rasa penonton Malaysia tetapi penonton pelbagai kaum. Acara Apresiasi Filem pula mengenengahkan tokoh perfileman, Deddy M Borhan, yang juga produser filem Keluarga Si Comat serta dibarisi dua pelakon filem itu, Datuk Aziz Sattar dan Junainah M Amin.

No comments: