Sunday, August 16, 2009

MIG lamar Jo-Anna berlakon filem

MIG lamar Jo-Anna berlakon filem

Oleh Zubir Mohd Yunus
zubir@bharian.com.my

Jo-Anna bakal lanjut pelajaran di United Kingdom pada 2011

Syarikat filem terkenal berminat ambil Ratu Tadau Kaamatan Sabah jadi pelakon

SEBAIK saja Zubir menyiarkan artikel - Finalis bintang realiti 'ratu arak dan lesbian' di ruangan ini minggu lalu, bertalu-talu SMS dan kiriman e-mel yang Zubir terima, meminta supaya Zubir mendedahkan siapa gerangan 'ratu' berkenaan, bintang realiti dari program TV yang mana satu.

Namun, demi memelihara nama baik dan aib individu terbabit, Zubir tidak boleh mendedahkannya secara terang-terangan, memadai jika Zubir katakan, finalis berkenaan kononnya menyertai program realiti Gadis Melayu yang kini memasuki musim keduanya dan baru saja menemui penonton di TV9.

Penyebaran gambar seorang gadis yang sedang berseronok dengan teman-temannya di sebuah kelab hiburan sambil memegang botol arak dan aksi cium mulut sesama jantina, kini menjadi bualan hangat di internet. Namun, betul ke 'ratu arak & lesbian' itu adalah salah seorang finalis yang menyertai program realiti Gadis Melayu musim terbaru kali ini?

Menurut laporan Hip terbitan Berita Harian, 13 Ogos lalu, ketika diminta pengesahan daripada pihak pengurusan TV9, mereka mengambil sikap mengunci mulut, sekali gus keadaan itu terus mengundang tanda tanya, selain menambahkan spekulasi negatif daripada orang ramai. Justeru, Zubir harap TV9 segera tampil membuat penjelasan dan jika benar, bagaimana nasib finalis berkenaan, adakah dia bakal digugurkan atau sebaliknya?

Selain itu, Zubir juga ingin bercerita mengenai kiriman e-mel membabitkan dua keping gambar selebriti terkenal yang baru-baru ini dilihat menemani kekasihnya menyertai perlumbaan kereta. Mereka dilihat bergambar sebelah menyebelah dan ditemani dua lagi pelumba lain. Yang pasti, selebriti berkenaan dan kekasihnya itu tidak lagi menyembunyikan percintaan mereka dan khabarnya bakal melangsungkan perkahwinan tak lama lagi.

Pun begitu, Zubir teringat pengakuan selebriti itu kepada Metro Ahad terbitan 31 Mei lalu yang antara lainnya membuat pengakuan ciri-ciri lelaki pilihan hatinya: “Yang pasti, dia bukan suami orang, jauh lagi duda. Mungkin ada pihak mengandaikan saya dengan 'orang itu', tetapi bukan dia sebenarnya. Jangan salah sangka."

Selepas diamati gambar mereka sekali lagi, amat jelas lelaki yang didakwa sebagai kekasihnya itu ialah seorang duda berstatus VIP! Apa kes? Selebriti itu juga pernah membuat pengakuan dalam akhbar tabloid yang sama, dia bakal bertunang September ini sebelum berkahwin pada awal tahun depan sambil menunjukkan cincin tanda berbentuk hati yang tersarung di jari manis tangan kirinya. Sekali lagi kita tunggu dan lihat kesahihannya.

Baiklah, sebenarnya Zubir hendak bercerita mengenai Naib Johan Bintang RTM 2009, Jo-Anna Sue Henley-Rampas, 21 yang baru-baru ini mendapat tawaran berlakon filem, tapi Zubir melencong pula bercerita perihal artis dan kontroversi lain, biasalah tu... Menurut sumber rapat dengan Jo-Anna, khabarnya gadis jelita itu menarik perhatian MIG yang berminat melamarnya membintangi filem terbaru terbitan syarikat mereka.

"Rasanya awal minggu lalu, Jo-Anna dapat panggilan telefon daripada MIG yang memintanya mengirimkan biodata peribadi dan beberapa keping gambar terbarunya kepada mereka. Dia akan dipanggil untuk sesi uji bakat dan sekiranya berjaya, Jo-Anna dikatakan bakal membintangi sebuah filem terbaru terbitan MIG," kata sumber berkenaan.

Sekiranya perkhabaran ini menjadi kenyataan, tahniah Zubir ucapkan kepada Jo-Anna, baru saja dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular Bintang RTM2009, terus saja dia ditawarkan berduet bersama Raja Pop, Jamal Abdillah dalam konsert solonya, Konsert Jamal... Kembara Seniman di Istana Budaya (IB), baru-baru ini dan tak lama lagi bakal bergelar bintang filem pula, hai bertuahnya jadi orang cantik dan berbakat seperti Jo-Anna!

Sekiranya rezeki berpihak kepada Jo-Anna, dia diterima dalam industri lakonan, Zubir sebenarnya teringin sangat untuk melihat dia berlakon bersama bintang Akademi Fantasia 2 (AF2), Adam, ooops!

ZUBIR: Penyanyi dan pelakon popular salahkan pihak media massa apabila berdepan kes perceraian dengan suaminya, tidak berapa lama dulu.

No comments: