Sunday, August 16, 2009

Strategi AESB

Strategi AESB
Oleh FIRDAUS SAHAT
firdaussahat@hmetro.com.my

MEMBINA tapak dalam bidang seni bukan mudah. Malah, untuk mengekalkannya pula lebih sukar. Tidak hairan jika sebelum ini ramai artis baru kecundang sebelum sempat meraih populariti.

Bagaimanapun, penyanyi popular turut tidak terkecuali merasai bahang itu. Fenomena populariti yang ada kalanya naik dan turun tetap menghantui mereka. Mahu atau tidak, tindakan perlu diambil supaya kesinambungan kerjaya nyanyian itu sentiasa terjamin.

Untuk itu, Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB) merangka strategi untuk artis naungan mereka. Selain vokal dan audio yang sinonim dengan pentas nyanyian, visual turut meningkatkan populariti seseorang artis itu.

Berdasarkan formula berkenaan, AESB tampil dengan beberapa klip video untuk Mawi, Stacy, Hafiz dan Akim.

Menurut Pengurus Artis dan Strategi AESB, Norizan Abu Samah, pihaknya menerbitkan klip video sebagai satu daripada bentuk pelaburan.

“Dalam merangka kejayaan seseorang artis itu, kita perlu tampil dengan pelbagai strategi demi mengukuhkan ingatan peminat terhadap penyanyi kegemaran mereka.

“Melihat kelebihan yang ada pada AESB iaitu keupayaan menayangkan muzik video di pelbagai saluran Astro dengan kekerapan berjadual memberi idea kepada kami untuk mengetengahkan artis AESB sendiri.

“Secara tidak langsung, pendekatan sebegini turut membantu memanjangkan hayat populariti lagu artis berkenaan,” katanya.

Tambah Norizan, AESB melancarkan klip video bintang kelahiran Akademi Fantasia menerusi slot Tayangan Perdana Muzik Video Terkini yang bermula 14 Ogos lalu dan diulang tayang secara berkala menerusi saluran Astro Ria, Astro Prima, Astro Warna, Astro Citra dan Hitz.

“Bagi penonton yang terlepas tayangan perdana itu, mereka masih boleh menonton klip video keempat-empat artis berkenaan menerusi pelbagai saluran Astro yang lain. Masanya tidak ditetapkan kerana klip video ini disiarkan mengikut kesesuaian program.

“Bagi peminat Mawi, anda dapat menonton Raja SMS itu dalam klip video Sujud, ciptaan dan lirik oleh Edry. Muzik video lagu bergenre nasyid moden ini diterbitkan secara usaha sama di antara AESB dan KRU.

“Bersesuaian dengan lirik berkonsepkan ketuhanan, Sujud banyak memberi fokus kepada keindahan alam, keluasan langit bagai tanpa garisan penghujung dan menggambarkan kerendahan hati manusia kepada Allah yang Maha Esa,” katanya.

Selain itu, Stacy yang dikenali dengan kelincahan gerak tari dan persembahan bertenaga akan menghiburkan penonton menerusi video Pakai Buang. Video berkenaan menonjolkan kelebihan gadis berkenaan menguasai pentas dengan tarian yang pastinya menghiburkan.

Dengan kreativiti AESB, Hafiz menceritakan mengenai kebingungan hati seorang jejaka yang mencintai dan merindui kekasihnya menerusi video Masih Jelas. Dalam masa sama, ia memberi peluang kepada Hafiz selaku pendatang baru dalam dunia seni tempatan.

Akhir sekali, AESB turut menampilkan suara jantan Akim, pemenang tempat ketiga AF7, menerusi lagu Bengang.

Seperti tajuknya juga, Akim melahirkan perasaan kecewanya dipermainkan kekasih dan fokus visual lebih tertumpu kepada ekspresi wajah suram Akim, disudahi dengan api marak apabila dia cuba membakar kereta yang banyak membawa memori manis antara mereka berdua.

No comments: