Sunday, August 16, 2009

Borak Paknil: Nikah, rahsia dan artis

Borak Paknil: Nikah, rahsia dan artis

paknil@hmetro.com.my

ASSALAMUALAIKUM! Paknil ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat pengantin baru kepada sahabat dan yang Paknil anggap seperti adik juga dalam bidang seni ini, Norman Abd Halim (KRU) dan isterinya Dr Shereen.

Akhirnya Bang Long menamatkan juga zaman bujangnya selepas pelbagai spekulasi muncul mengenai pasangan pilihannya.

Yelah, Norman sering menjadi intipan media, lebih-lebih lagi bila adiknya Yusry dan Edry terlebih awal melangkah bendul.

Sejak zaman remajanya lagi, Norman gigih membina empayar KRU sehingga ada yang mengatakan Norman ‘berkahwin’ dengan kerjanya. Akhirnya 7 Ogos lalu terjawab teka-teki kita selama ini.

Ketika seseorang itu melangkahkan kaki ke gelanggang dunia seni ini, sebenarnya dia secara automatik membenarkan dirinya menjadi bahan teropong masyarakat dan media. Semua ingin diketahui dan dalam kes perkahwinan artis, wang hantaran turut menjadi perhatian.

Uniknya perkahwinan Norman, katanya, isterinya tidak menuntut apa-apa wang hantaran. Yang dipinta olehnya hanyalah sekeping hati! Ewah… jiwang pulak Bang Long ni kan?

Kalau Yusry dulu wang hantarannya RM33,333.33 yang turut menjadi gimik kepada majlis bersejarahnya. Ada juga artis yang merahsiakan jumlah sebenar wang hantaran dan tidak kurang hanya meminta senaskhah Al-Quran.

Cara mereka ini juga menjadi ikutan pula di kalangan peminat mereka apabila ada yang turut menggunakan bentuk hantaran perkahwinan yang mengikut cara artis kesukaan mereka.

Cerita perkahwinan artis sering menjadi tatapan peminat dan kalau dilihat daripada sejarah perkahwinan artis tanah air memang ada pelbagai cerita menarik dan kontroversi. Mahu tak mahu, mereka turut melakar sejarah dalam lipatan cerita artis tempatan.

Kalau di Amerika, cerita perkahwinan Britney Spears adalah yang paling tragik! Perkahwinannya seperti dilakukan secara spontan dengan hanya berpakaian selekeh dan bertopi besbol. Lebih hebat, perkahwinannya bertahan kurang 24 jam!

Di sini pula, kita pernah digegarkan dengan cerita perkahwinan aktres, Noorkumalasari satu ketika dulu.

Ini semua kerana ramai menyangka Noor masih anak dara semasa zaman dia memulakan kariernya sebagai model, pelakon dan penyanyi.

Noor sendiri menafikan dia berumahtangga. Setelah sekian lama menyembunyikan statusnya, akhirnya Noor akui pada kebenaran yang dirinya sebenarnya sudah lama berumahtangga!

Paknil pun tak tahulah apa tujuan sebenar apabila ada artis kita mengambil keputusan untuk menyembunyikan status mereka. Mungkin mereka takut populariti akan merudum jika peminat tahu mereka sudah berumahtangga.

Ada pendapat mengatakan peminat kita tidak bodoh dan akan tetap meminati seseorang artis walaupun sudah bernikah. Yang diminati adalah bakat, bukan statusnya. Adakah itu satu pendapat jujur atau hanya ayat untuk mengaburi hakikat?

Ramai juga artis di negara kita yang jatuh mendadak popularitinya apabila berumahtangga. Tidak perlu Paknil sebutkan nama mereka, tetapi jelas peminat setianya mulai beralih arah.

Mana dia kata janji peminat itu sehingga apa yang dilakukan oleh artis itu seolah-olah tidak menjadi berbanding pada zaman bujangnya?

Jika di Hong Kong, Taipei dan Bollywood, artis ada sebab untuk merahsiakan perkahwinan. Peminat mereka di sana ada yang nekad membunuh diri jika tahu artis pujaan mereka berkahwin.

Jadi untuk mengelak daripada kejadian pelik ini berlaku, artis dinasihatkan tidak mengumumkan perkahwinan mereka.

Paknil rasa peminat di sini tidaklah setaksub itu tetapi ada juga artis kita yang dari awal pembabitan tidak mahu berkongsi status mereka.

Ada yang sanggup berbohong dan berselindung di sebalik status semata-mata untuk memastikan mereka diterima peminat.

Sharifah Zarina antara artis yang akhirnya akur mengaku yang dirinya sebenar sudah berumahtangga dan ada anak pun! Paknil terbayang perasaan suami dan keluarga mentua bila Zarina terus-terusan mengakui masih anak dara dan belum berkahwin semasa mula-mula dikenali.

Begitu juga Eja, pelakon popular yang hanya sejak dia mula hamil baru-baru ini mengakui sebenarnya sudah lama mendirikan rumah tangga. Memanglah ada artis yang memberi alasan tidak mahu mencampur adukkan hal peribadi dengan kerjaya mereka, tetapi ada pula yang mengatakan artis itu adalah milik masyarakat.

Contoh paling klasik sekali adalah pernikahan Mas Idayu. Ada wartawan akhbar tabloid yang berhabis-habisan menggeledah kampung halaman Mas Idayu di Johor untuk mendapatkan berita eksklusif, siap temubual ibu bapa Mas Idayu.

Namun, sejauh mana dalam cerita itu digali, ia masih lagi tidak dianggap sahih selagi tuan punya badan tidak mengakuinya.

Mas Idayu sampai sudah tidak membuat apa-apa pengakuan mengenai pernikahannya dengan Aman Graseka sehingga selepas itu terdengar pula cerita Mas Idayu berehat lama dari dunia nyanyian kerana hamil dan melahirkan anak. Cukup pandai Mas Idayu menyimpan ceritanya kerana masih lagi berpegang kepada falsafah iaitu yang dijaja adalah bakatnya dan bukan cerita peribadinya.

Sehinggalah cerita kononnya Mas Idayu berpisah dengan Aman Graseka, masih lagi tiada pengesahan dan menjadi teka teki.

Paknil tak boleh nak komen kes ini sebab Mas Idayu tidak pernah menceritakan apa-apa kepada rakan artis dan Paknil tidak pernah bertanya akan hal ini.

Ada juga artis yang suka bermain tarik tali dengan wartawan mengenai tarikh dan waktu pernikahan. Alasan yang diberi kerana majlis itu dibuat secara tertutup dan hanya dihadiri oleh keluarga dua belah pihak.

Paknil pun tak tahulah apa yang mahu disorokkan. Pihak media hanya ingin melaporkan kerana bagi mereka, ini adalah satu berita baik. Mereka bukan kisah jika tidak dijemput makan, tetapi cukuplah jika mereka dapat merakam saat akad nikah untuk tatapan pembaca.

Yang paling hebat Paknil ketahui adalah ketika pernikahan Norman Hakim dan Abby Abadi. Wartawan seperti bermain kejar-kejar pula dengan pengantin. Khabar angin memberitakan majlis pernikahan akan berlangsung di satu tempat tetapi rupa-rupanya berlangsung di tempat lain.

Memang Paknil tahu ada wartawan kecil hati dengan tindakan mereka ketika itu, tetapi oleh kerana mereka berdua cepat meminta maaf dan berterus terang, akhirnya cerita panas itu sejuk begitu saja.

Itu belum lagi cerita pernikahan Yantzen dan Sharifah Hazlinda (Lyn) satu ketika dulu. Ketika itu Paknil bertugas sebagai penerbit Melodi. Paknil pastikan wartawan Melodi menjejaki pernikahan itu sebab dari awal lagi sudah kedengaran yang pernikahan itu ingin dirahsiakan.

Namun, negara kita ini kecil dan segala berita yang bertiup kencang mudah kami hidu. Memang berlaku kontroversi di majlis pernikahan itu kerana Yantzen siap pasang pengawal peribadi dan menghalau wartawan daripada menghadiri majlisnya.

Ada wartawan mengamuk di situ juga dan berikrar untuk bersatu hati memboikot Yantzen dan Lyn.

Kalau ingin dihuraikan kronologi perkahwinan artis di Malaysia, rasanya boleh buat buku tebal. Setiap artis mempunyai jalan cerita yang berbeza.

Ada artis yang membiarkan wartawan melukut tepi pagar ketika majlis berlangsung. Ada artis yang kahwin ekspres kerana usia rumah tangga yang singkat. Ada artis yang bernikah tanpa restu keluarga dan pelbagai lagi.

Namun begitu, siapalah kita untuk mempersoalkan tindakan mereka kerana itu hak mereka.

Mereka ada seribu satu alasan untuk melakukan apa saja kerana itu adalah majlis bersejarah mereka.

Paknil dengar-dengar cerita, kini ada pula rakan artis yang berbincang untuk naik pelamin tiga pasang serentak kerana ingin menjimatkan kos dan lagi pun senarai jemputan dari dunia hiburan ini lebih kurang sama saja. Senang sikit kerja wartawan! Wallahualam.

Sebelum menutup Borak minggu ini, Paknil ingin mengucapkan takziah buat keluarga Allahyarham Asri Ibrahim (Rabbani), semoga rohnya dicucuri rahmat!

No comments: