Sunday, August 16, 2009

ALLAHYARHAM Ahmad Daud beraksi dalam filem Hollywood

Ahmad Daud beraksi dalam filem Hollywood

Oleh Hardi Effendi Yaacob

Datuk Ahmad Daud

JARANG pembabitan seniman ini dalam bidang lakonan dipaparkan media, kecuali penampilannya sebagai penyanyi, pelawak, pengacara televisyen dan penyampai radio, yang biasanya mendapat sambutan menggalakkan di kalangan peminat. Mungkin, atas sebab itu, tidak ramai mengetahui Datuk Ahmad Daud atau lebih gemar membahasakan dirinya sebagai 'Abang Mad' pernah diberikan watak penting oleh pengarah terkenal dunia, Mende Brown dalam sebuah filem Hollywood, Little Jungle Boy.

Selain Ahmad Daud, filem itu pernah disiarkan menerusi slot TV2, Sunday Matinee pada 1992, turut menampilkan beberapa pelakon tempatan lain termasuk Shariff Medan, Dollah Sarawak, Rahman Rahim, Salim Bachik dan Hamzah Hussien.

Ahmad Daud ketika mengimbas kembali kenangan pembabitannya dalam produksi itu, berkata Little Jungle Boy menjalani penggambaran di beberapa lokasi menarik sekitar Melaka, selain Singapura dan Australia.

Ahmad Daud yang juga suami kepada primadona terkenal, seniwati Saadiah pernah berkata, beliau sendiri tidak pasti bagaimana boleh terpilih membintangi produksi sebesar itu kerana kehebatannya berlakon tidaklah sehebat mana jika dibandingkan kerjaya nyanyian, selain pengacaraan dan deejay radio.

Mengimbas kembali pembabitannya dalam bidang seni, beliau berkata, semuanya bermula selepas menyertai satu pertandingan boria sebagai mewakili kampungnya di Kampung Rauna, Pulau Pinang, di mana beliau dipilih sebagai tukang karang dan pelawak terbaik. Beliau kemudian sering diundang rakannya, Ahmad Marican (Datuk) untuk mengadakan persembahan bersama kumpulannya, Pancaragam Perindu. Sejak itu, Ahmad Daud mula menyanyi secara profesional apabila Pancaragam Perindu Malam mendapat peluang beraksi di Hotel E & O, Pulau Pinang pada 1953 sebelum berhijrah ke Singapura pada 1954.

Selepas bersama Pancaragam Perindu Malam, Ahmad Daud menganggotai kumpulan Jimmy Boyle iaitu Boyle Quintet (Jimmy Boyle ialah pencipta lagu Putera Puteri). Disebabkan nyanyian juga, dia meninggalkan alam persekolahan di peringkat Junior Cambridge. Begitupun, beliau bernasib baik apabila diberi peluang merakam lagu pertamanya, Lagak Penari diikuti Tiada Berita dan Pengantin Bersanding.

Ahmad Daud juga terbabit dalam lakonan menerusi filem pertama, Siapa Besar arahan Omar Rojik pada 1962. Dia kemudian diberi peluang berlakon lebih 10 filem seperti Pusaka Pontianak, Aksi Kuching dan Permintaan Terakhir. Ahmad dan Saadiah berhijrah dari Singapura ke Kuala Lumpur pada 1974. Di ibu negara, dia bersama Saloma dan Jamali Shadat muncul dalam program TV, SAJ iaitu singkatan `Saloma, Ahmad Daud dan Jamali’ sebanyak 13 episod.

No comments: