Sunday, August 16, 2009

Santai Selebriti buat rakaman program Aidilfitri

Santai Selebriti buat rakaman program Aidilfitri



Barisan artis bersama wakil penganjur dan media yang menjayakan Santai Selebriti.

MESKIPUN Ramadan belum menjelma tetapi persiapan untuk meraikan Syawal sudah dimulakan apabila artis mengambil peluang menghadiri rakaman program berkaitan sambutan Aidilfitri untuk disiarkan di stesen televisyen. Begitulah juga program Santai Selebriti membabitkan penyanyi dan pelakon yang berlangsung di Suria Resorts & Hotel, Stulang Laut Dalam, Johor Bahru, sempena siri keenam jelajah acara berkenaan, baru-baru ini.

Acara anjuran Anita Entertainment & Productions (AEP) itu mendapat kerjasama baik daripada penaja utama Auralife Perfume Selebriti dan Zaimin Network yang turut bertujuan untuk meraikan artis dan pihak media sesuai dengan kempen pelancongan domestik - Cuti Cuti Malaysia.

Menerusi kegiatan berkonsep berkampung selama tiga hari di Resorts & Hotel Stulang Laut, rakaman Riang Ria Hari Raya turut menyaksikan artis yang mengambil bahagian ialah Nash, Ibnor Riza, Shidee, Nassier Wahab, Roslan Shah, Lynn Malik, Azizi, Zouffi , Royce, Juril (vokalis kumpulan Duta) dan beberapa lagi bakat baru.

Rakaman berkaitan dibuat lebih awal supaya mengelak artis sibuk atau mengganggu masa mereka pada Ramadan nanti, selain ia lebih meriah kerana turut dihadiri pengunjung yang berada di hotel berkenaan.

Selain menyanyi dengan lagu bertemakan semangat Aidilfitri, artis dan wakil media turut menyertai kegiatan lain untuk rakaman televisyen seperti takbir raya selebriti bersama pengurusan hotel, penaja dan orang ramai, selain ziarah menziarahi di hari lebaran, membakar lemang, menganyam ketupat, mengacau dodol dan diakhiri persembahan hiburan pentas barisan selebriti menerusi dendangan Nash, Ibnor, Shidee dan Roslan.

Ia turut mendapat rakaman RTM bagi program Diva 1 dan TV Sensasi dari Singapura bagi siaran untuk hari lebaran kelak. Artis yang mengikuti acara berkenaan juga meluangkan masa mengunjungi Danga Bay untuk meninjau pelbagai produk seni kraf dan bertemu peminat.

Anita berkata, syarikat korporat dan swasta turut mengambil bahagian dalam penajaan siri Santai Selebriti keenam itu membabitkan Auralife Perfume Selebriti, selain dihadiri pengasasnya, Puan Zalina dan suami, Harris serta Zaimin Network, Suria Resort & Hotel, manakala pengangkutan rasmi oleh Discover Global Travel & Tours dan Event Plus Marketing Sdn Bhd.

"Penganjuran sebegini memberi impak yang cukup baik kerana ia mendekatkan artis dan selebriti serta pihak media dalam bidang hiburan dengan pihak yang terbabit dalam industri perhotelan, pelancongan, selain aktiviti riadah kesukanan dan persembahan akan terus mendapat sambutan daripada orang ramai yang hadir di hotel berkenaan.

"Santai Selebriti sebelum pernah diadakan di Aseania Resort Langkawi, Telok Dalam Resort, Pangkor, Tasik Bera dan Tasik Chini, Bukit Merah Laketown Resort serta siri kelima di Pulau Sibu, Mersing pada awal Julai lalu dengan kemeriahan aktiviti bersama bot laju, snorkeling, senamrobik, tarian poco poco, team building dan sukaneka.

"Bagi pihak penaja yang ingin turut serta dalam siri acara berikutnya sempena Ramadan ini, iaitu 'Santai Selebriti & Media Berbuka Puasa' iaitu majlis bersama bersama anak-anak yatim, fakir miskin,ibu tunggal, akan diadakan pada 4 September ini di Kuala Lumpur. Mereka boleh hubungi kami di talian 012-3618749 atau No. 016-6544109 atau layari laman sesawang: website www.aenp.webs.com.my atau www.satuniaga.com.my.

No comments: